[KOLUMNIS] Risiko tersembunyi pinjaman Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China
Mohd Imran Tamrin
September 1, 2023 16:29 MYT
September 1, 2023 16:29 MYT
RANCANGAN infrastruktur global China ini mungkin kelihatan menarik bagi negara-negara membangun, tetapi kesan jangka panjangnya memerlukan perhatian serius.
Selama beberapa tahun, “Belt and Road Initiative” atau “Inisiatif Jalur dan Laluan” (BRI) China, sebuah projek infrastruktur global mega, telah diuar-uarkan sebagai peluang keemasan untuk negara-negara membangun.
Dicadangkan oleh Presiden China Xi Jinping pada tahun 2013, beliau berjanji untuk membina sebuah "Jalur Sutera" baharu yang akan menghubungkan China dengan Eropah, Afrika, dan seluruh Asia. Sekilas pandang, BRI tampak seperti situasi menang-menang: China, ekonomi terbesar kedua di dunia, menyediakan pembiayaan yang sangat diperlukan untuk projek-projek kritikal di negara-negara membangun.
Namun, di bawah sebalik Jalur Sutera moden ini terdapat potensi risiko - kewangan, geopolitik, dan alam sekitar - yang tidak boleh diabaikan.
Beban Hutang yang Tidak Mapan
Salah satu kebimbangan utama mengenai BRI adalah ia sering kali mengakibatkan beban hutang yang tidak mapan bagi negara-negara tuan rumah.
Menurut laporan oleh Pusat untuk Pembangunan Global pada tahun 2018, lapan negara telah dikenal pasti sebagai berisiko tinggi terjebak dalam "kesulitan hutang" akibat pinjaman BRI. Ini termasuk Djibouti, di mana pembiayaan China mencapai kira-kira 75% daripada GDP negara itu, dan Maldives, di mana pinjaman China membentuk kira-kira 45% daripada keseluruhan hutang negara.
Realiti 'Diplomasi Perangkap Hutang'
Pengkritik terhadap China telah mencipta istilah “debt-trap diplomacy" atau “perangkap hutang diplomasi " untuk menggambarkan strategi di mana China sengaja memberikan kredit berlebihan kepada negara peminjam dengan tujuan mengekstrak konsesi ekonomi atau politik apabila negara tersebut tidak dapat memenuhi kewajipan pembayaran hutangnya.
Teori ini mendapat perhatian apabila Sri Lanka terpaksa menyerahkan pelabuhannya, Hambantota, kepada China dalam pajakan selama 99 tahun pada tahun 2017 kerana tidak dapat membayar balik pinjamannya.
Keterlibatan Malaysia dengan BRI
Malaysia adalah contoh terbaik apabila bercakap mengenai peluang dan risiko penyertaan BRI. Semasa pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, China membiayai sebanyak AS$22 bilion dalam pelbagai projek mega Malaysia, termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Pendalaman Pelabuhan Kuantan, dan banyak lagi.
Namun, landskap politik berubah secara dramatik selepas pertukaran kerajaan yang berlaku usai Pilihan Raya Umum ke-14 apabila Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu, Lim Guan Eng dan Mahathir, membatalkan dua kontrak bernilai kira-kira AS$2.795 bilion dengan China Petroleum Pipeline Bureau pada bulan September 2018.
Kontrak ini telah dikritik sebagai mahal, tidak perlu, tidak kompetitif, dan dilakukan tanpa melalui tatakelola sewajarnya. Malahan, Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu, Liew Chin Tong, telah menzahirkan kebimbangan berkenaan minat strategik China di rantau ini, dengan merujuk kepada strategi String of Pearls.
"Malaysia yang kecil ini, bersama dengan Selat Melaka, adalah penting kepada rancangan China dalam membina pelabuhan dan pelaburan merentasi Lautan Hindi," katanya.
Walaupun terdapat kebimbangan tersebut, Malaysia kemudiannya telah merunding semula pinjaman dan juga berjaya mendapatkan jaminan pelaburan dari China berjumlah RM170 bilion (AS$38 bilion), menunjukkan hubungan kompleks dan ambivalen antara peluang ekonomi dan risiko strategik.
Pada tahun 2022, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion dan pelaburan langsung berjumlah AS$12.5 bilion.
Walaupun angka-angka ini kelihatan menakjubkan, ia juga memperlihatkan pengaruh kuat yang dimiliki China terhadap ekonomi Malaysia, menjadikannya semakin sukar bagi Malaysia untuk mempertahankan kepentingannya secara bebas.
Terkini, Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim dalam kenyataan beliau sejurus selepas lawatan rasmi ke China, menyambut baik penglibatan China dalam Lembah Automotif Teknologi Tinggi Malaysia dan sektor-sektor lain.
Namun, walaupun ada jaminan lisan bahawa peluang pekerjaan akan lebih memberi tumpuan kepada tenaga kerja tempatan, kesan jangka panjang projek-projek ini terhadap kepentingan nasional Malaysia masih belum diketahui. Forest City di Johor antaranya, adalah contoh nyata kegagalan pelaburan BRI yang memberi kesan jangkan panjang kepada negara.
Risiko Kepada Kedaulatan Negara
Tahap hutang yang tinggi juga menimbulkan ancaman terhadap kedaulatan negara. Artikel 41 dari Konvensyen Wina mengenai Hubungan Diplomatik menegaskan prinsip kedaulatan dalam undang-undang antarabangsa, menyatakan bahawa sebuah negara tidak boleh membiarkan wilayahnya digunakan dengan cara yang membahayakan negara lain.
Namun, terlalu bergantung pada hutang merosakkan prinsip utama ini, berpotensi menjadikan negara peminjam tunduk kepada kepentingan pemberi hutang - China - dalam apa disebut sebagai contoh nyata “diplomasi perangkap hutang”.
Melihatkan “kesabaran” Malaysia dalam memberikan sebarang ulasan terhadap pencerobohan nyata oleh kapal-kapal perang dan peronda milikan China yang kerap berlaku di Laut China Selatan, ini mungkin juga ada kaitan rapat dengan pelbagai “habuan” pelaburan diplomasi yang dijanjikan.
Kos Alam Sekitar
Aspek lain yang membimbangkan dalam BRI adalah kesannya terhadap alam sekitar. Satu kajian yang diterbitkan dalam Nature Communications pada tahun 2019 menunjukkan bahawa sekitar 16% projek BRI terletak di kawasan biodiversiti utama, 30% bertindih dengan habitat burung yang penting, dan hampir 40% berada di kawasan dengan tekanan air yang tinggi.
Projek-projek ini meningkatkan risiko kemusnahan alam sekitar, yang akan meninggalkan kesan langsung kekal pencemaran selama berpuluh-puluh tahun.
Bahaya Perangkap Hutang Diplomasi BRI di Seberang Laut
Penglibatan Indonesia dalam BRI adalah contoh yang dekat dan jelas tentang bahaya ekonomi yang dibawa inisiatif China ini, sesuatu yang patut diberikan perhatian oleh Malaysia. Pusat pemikiran ekonomi, Celios, telah mengeluarkan amaran bahawa negara itu berada di ambang perangkap hutang China.
Menurut data terkini mereka, hutang yang berkaitan dengan BRI telah melonjak kepada jumlah yang sangat besar iaitu AS$20.2 bilion pada tahun 2022, yang merangkumi 71 projek infrastruktur .
Zulkifar Rakhmat, Ketua Pengarah untuk pengajian China-Indonesia di Celios, menyatakan, "Pada masa sekarang, ekonomi kita boleh menangani perangkap hutang, berbeza dengan negara-negara lain seperti Sri Lanka." Namun, beliau juga menyatakan terdapat tanda-tanda perangkap hutang yang "berlegar di atas negara ini," terutamanya jika kerajaan tidak berhati-hati.
Secara ketara, pelaburan China di negara itu telah mengalami peningkatan yang signifikan: penurunan mendadak pada 2021 diikuti oleh peningkatan kepada AS$8.2 bilion pada tahun 2022 daripada hanya AS$ 3 bilion pada tahun sebelumnya.
Negara itu juga menarik AS$4.8 bilion pelaburan China pada tahun2020. Zulkifar memberi bayangan bahawa sistem politik yang lemah dan terlalu bergantung terhadap pelaburan China adalah tanda-tanda awal untuk jatuh ke dalam perangkap hutang, sesuatu yang seharusnya menjadi kebimbangan bagi pemimpin Malaysia, selaku jiran serantau yang mempunyai hubungan dinamik hampir serupa dengan China.
Keperluan untuk Pendekatan Seimbang
Jelas dan nyata bahawa, walaupun BRI menawarkan beberapa kelebihan kepada negara-negara membangun, kesan jangka panjangnya penuh dengan risiko. Oleh itu, adalah penting bagi negara-negara seperti Malaysia untuk memahami sepenuhnya potensi risiko yang dikaitkan dengan pinjaman BRI, termasuk risiko terjebak dalam kitaran perangkap hutang diplomasi.
Berdasarkan kepada aspek risiko terhadap kepentingan negara yang tinggi, Malaysia wajib berunding dengan panel yang terdiri daripada pakar undang-undang dan kewangan antarabangsa sebelum menandantangani mana-mana perjanjian BRI.
Kerajaan juga wajar menggesa China untuk sentiasa memastikan proses perolehan yang lebih mampan dan telus untuk memastikan bahawa Inisiatif Jalur dan Laluan benar-benar boleh menjadi situasi menang-menang untuk semua pihak yang terlibat.
Sudah tiba masanya untuk menoktahkan naratif yang menjenamakan BRI sebagai sesuatu yang baik tanpa syarat bagi negara-negara membangun dan mula memperhalusi risiko besar yang dibawanya. Seluas mana pun jalan untuk menuju kemajuan, ia tidak sepatutnya membawa kepada jalan mati.
* Datuk Mohd Imran Tamrin merupakan peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.