[KOLUMNIS] Ramadan, pemberian agung daripada Allah
Mohd Zamrus Mohd Ali
April 2, 2022 16:00 MYT
April 2, 2022 16:00 MYT
MARHABAN Ya Ramadan, ketibaan bulan yang amat dinantikan bagi yang merinduinya.
Ramadan dalam Islam sangat luar biasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga.
Allah mendatangkan pakej istimewa untuk hamba-hambaNya yang menghayati puasa lebih daripada sekadar tuntutan ibadah kerana ada 1,001 rahsia yang tersurat lagi tersirat dalam hikmah puasa sebulan ini.
Hikmahnya ibarat luas lautan yang tiada bertepi iaitu mencakupi aspek perubatan, kesihatan, pemakanan, perekonomian, pembasmian kemiskinan, keadilan serta perpaduan sosial dan banyak lagi.
Hakikat Ramadan, sebuah hadiah daripada Allah sebagai pemberian yang paling agung dan bermakna.
Umat Islam hanya perlu sedikit kudrat untuk realisasikan Ramadan sebagai satu bulan istimewa berbanding bulan-bulan lain dengan mengamalkan ajaran Islam sebaik-baiknya walaupun hanya memberi orang berbuka dengan sebiji tamar.
Kemeriahan bulan ini hanya akan dirasai oleh orang yang berpuasa, kegembiraan ketika berbuka setelah berpenat-penat seketika dan berlapar, disambung dengan berterawih di masjid atau surau.
Tidak lupa juga yang gembira dan bersyukur setelah dibenarkan beroperasinya bazar-bazar Ramadan.
Ucapkanlah Alhamdulillah sebagai tanda syukur dengan segala nikmat yang tidak dapat dinafikan ini.
Telah diriwayatkan, tatkala tibanya bulan ini, Rasulullah akan mengingatkan para sahabat akan ketinggian nilai bulan yang mulia ini.
Semuanya adalah untuk menyedarkan kita agar mengambil peluang yang dibuka seluas-luasnya oleh Allah.
Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia telah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla berpuasa.
“Pada bulan itu pintu syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para syaitan dibelenggu. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. Hadith riwayat al-Nasa’i.”
Lebih 1,400 tahun yang lalu, tatkala Baginda Nabi SAW menerima wahyu kawajipan berpuasa, umat Islam yang terdiri daripada para sahabat menahan lapar dan dahaga serta menjauhi segala perkara yang boleh membatalkannya semata-mata teguh dengan prinsip ‘sami’na wa ‘ato’na’ iaitu kami mendengar (seruan-Mu Ya Allah) dan kami juga akur akannya.
Baginda mendidik para sahabat dan ahli keluarga melalui tarbiah Ramadan agar perbanyakkan amalan berinfaq, tilawah al-Quran dan berdoa khususnya memohon keampunan kepada Allah.
Baginda turut mengingatkan kita untuk menjadi orang yang dermawan dan lebih bermurah hati lagi pada
bulan ini bahkan yang paling penting agar tidak mengabaikan kewajipan menunaikan zakat fitrah.
Biar apapun amalan yang dilaksanakan oleh individu Muslim pada bulan barakah ini, yang afdalnya ialah kita melaksanakan semua itu dengan penuh pengharapan kepada Allah agar diterima dan digandakan
amalan tersebut lebih daripada bulan-bulan yang lain.
Hal ini berdasarkan hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita Ansar yang bermaksud: “Sekiranya telah tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji.
Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah SAW).
Pada Januari 1994, pakar-pakar sains kesihatan dunia bersidang dan telah membentangkan hasil kajian di “The First International Congress on Health and Ramadhan” bertempat di Casablanca, Maghribi.
Dalam kongres ini sebanyak 50 kertas kerja dibentangkan dan kesemuanya meyakini bahawa amalan berpuasa Ramadan mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai penyakit.
Beberapa orang saintis berkongsi kajian mereka berkaitan puasa antaranya ialah dari Universiti Hospital di Amman, Jordan, Dr Soliman dan Dr F. Azizi bersama beberapa rakannya dari Universiti Sains Perubatan Tehran, Iran.
Mereka melakukan uji kaji terhadap beberapa orang lelaki dan wanita Islam yang sedang berpuasa.
Hasil kajian mendapati puasa memberi kesan positif terhadap metabolisme tubuh badan dan mencegah daripada serangan pelbagai penyakit khususnya akibat gejala lebihan gula dan lemak melalui proses detoksifikasi atau penyahtoksidan.
Maha Suci Allah, apabila kita melakukan ketaatan kepada Allah tanpa berdolak dalih maka kita sebenarnya mendapat bonus pemberian Allah seperti puasa ini.
Jadi, tidak hairanlah agama lain turut berpuasa demi menjaga kesihatan sebagaimana agama Kristian Ortodoks dan Hindu yang dinyatakan dalam artikel “The religious fasting on human health.”
Begitu juga umat-umat agama Samawi terdahulu melakukan ibadah puasa seperti yang terdapat dalam kitab Injil, Zabur dan Taurat. Firman Allah melalui Kalam Suci surah al Baqarah, ayat 183: yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum daripada kamu agar kamu bertakwa.”
Oleh itu, sebagai umat Nabi Muhammad SAW hadiah terbaik kurniaan Allah melalui ibadah puasa ini ialah taqwa.
Ketakwaan yang disebut dalam ayat al-Quran ini akan menjadikan kita umat yang unggul dan ampuh daripada sebarang cabaran, lebih kukuh dan teguh bersandarkan keimanan.
Semua hambaNya yang beriman mengharapkan Jannatul Firdausi iaitu syurga yang tertinggi dan kita yakin untuk bertemu Allah dalam keadaan bersih daripada sebarang palitan dosa dan noda selepas diampunkan.
Semuanya melalui pengajaran dan pendidikan yang diperolehi dalam bulan Ramadan al-Karim ini.
* Dr Mohd Zamrus Mohd Ali ialah Pensyarah di Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.