[KOLUMNIS] PRU15: Satu jari melakar sejarah baharu

G Manimaran, Zaini Othman
November 18, 2022 03:43 MYT
Esok rakyat Malaysia akan keluar sekali lagi untuk membuang undi dan menetapkan mandat baharu. - Gambar BERNAMA
KEMPEN akan berakhir dalam tempoh beberapa jam lagi.
Berdasarkan syarat undang-undang pilihan raya kempen perlu dihentikan menjelang pukul 12 tengah malam ini.
Jam-jam terakhir pecutan untuk mengakhiri persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelihatan rancak di seluruh negara selepas fasa pertama kempen amat lesu dan tidak memberangsangkan daripada segi pengisian, bendera dan pertemuan dengan pengundi.
Dari awal-awal lagi PRU15 ini dilangsungkan di bawah satu gelombang bersejarah yang tersendiri dalam pelbagai segi - perundangan, sistem pilihan raya, jumlah parti dan gabungan yang bertarung, bilangan calon yang teramai termasuk calon-calon bebas, jumlah pengundi teramai dan kehadiran pengundi berusia 18 tahun ke atas, yang turut mempunyai hak untuk bertanding serta pemberian hak sebagai pengundi secara automatik, satu langkah yang telah memasukkan lebih empat juta orang yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi dan tidak menunaikan tanggungawab mereka sebagai rakyat sebuah negara demokratik.
PRU15 ini dipanggil dengan penggubalan undang-undang yang melarang wakil rakyat daripada melompat parti.
Satu perubahan besar selepas lebih tiga dekad menjadi perhatian dan tuntutan dikemukakan oleh pelbagai pihak.
Undang-undang itu hanya meliputi wakil rakyat individu, bukannya gabungan atau parti komponen dalam gabungan.
Undang-undang baharu ini yang menjadi harapan akan membantu kita merasai kestabilan dalam pentadbiran negara turut mencetuskan pemulihan sentimen dalam kalangan rakyat untuk menyertai kembali pilihan raya dengan yakin, sekali gus mengubati kekecewaan dalam kalangan dengan apa yang berlaku sepanjang tempoh pasca-PRU14.
Ramai pengundi meluangkan pendirian kecewa dengan tindak-tanduk wakil rakyat, di kedua-dua peringkat Pusat dan negeri.
Kekecewaan akibat perubahan kerajaan yang menurut mereka bertentangan dengan hasrat mereka yang sebenar pada 9 Mei 2018.
Walaupun parti-parti politik melaungkan mahu menyediakan kestabilan dan politiking dengan keluar daripada gabungan utama pada awal tahun 2020, perubahan itu tidak membawa kepada kestabilan dan kemakmuran negara yang dijanjikan.
Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kesannya dirasai sehingga kini.
Buat pertama kali negara diberikan tiga Perdana Menteri selepas PRU14.
Begitu juga di kebanyakan negeri yang turut menyaksikan perubahan Menteri Besar dan Ketua Menteri. Perubahan kerajaan dan ketua kerajaan berubah tangan. Kita perlu meletakkan noktah.
PRU15 adalah peluangnya. Pengundi perlu membuat keputusan konkrit untuk mencapai hasrat itu.
Esok rakyat akan keluar sekali lagi untuk membuang undi dan menetapkan mandat baharu.
Jika tiada perkembangan luar dugaan atau aral melintang pengundi akan keluar untuk mencipta sejarah baharu. Akan keluar untuk memberikan mandat baharu untuk memastikan undi mereka dinilai dan dihargai.
Pengundi meletakkan harapan untuk melihat sebuah pentadbiran yang stabil bagi membawa negara ke arah kegemilangan, sekali gus menyediakan kehidupan berkualiti kepada 33 juta rakyat.
Dua pertiga daripada mereka merupakan pengundi. Lebih 21 juta pengundi akan menentukan masa depan negara dengan menghulurkan mandat baharu.
PRU15 ini memang unik. Sebagaimana telah digariskan, pada kali ini kita melihat ada banyak keunikan dan kelainan.
Kita memasuki gelanggang persaingan dengan pelbagai keunikan dan kelainan. Pilihan raya diadakan di sebalik kerisauan dan kebimbangan akan kesan buruk musim tengkujuh.
Jika di akhir tahun lepas dan awal tahun ini, kita bimbang mengenai kesan buruk yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19, kali ini kemungkinan banjir masih menghantui sehingga kini.
Dua hari lalu, selepas genap empat dekad, pilihan raya umum merekodkan satu lagi detik dalam lipatan sejarah.
Seorang calon kerusi Parlimen meninggal dunia dan proses pengundian ditangguhkan bagi kawasan Padang Serai, selari dengan peruntukan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh-tarikh baharu pilihan raya hari ini.
Justeru, kita dapat melihat PRU15 sedang dilangsungkan di sebalik pelbagai teori, spekulasi dan teka-teki. Ia ditambah dengan pelbagai keunikan dan kelainan yang telah mewarnai PRU15.
Sejarah baharu esok akan menambah senarai warna-warni itu, yang akan menjadi penentu asas kepada masa depan lebih baik yang diharapkan.
Banyak perkembangan sepanjang dua minggu berkempen meninggalkan kesan besar dalam kalangan rakyat, terutama lebih 21 juta orang pengundi.
Mesej kempen akan membantu pengundi dalam membuat keputusan bijak lagi konkrit.
Ketika tulisan ini sedang dihasilkan kira-kira 80 peratus pengundi dilihat sudah bersiap sedia untuk keluar mengundi.
Pengundi-pengundi ini sudah membuat keputusan parti dan calon yang menjadi pilihan mereka. Di sebalik mengadakan pilihan raya kita mempunyai tugas besar untuk mendidik pengundi.
Kepentingan membentuk kerajaan yang stabil selepas PRU15, sebagai syarat utama kepada proses pemulihan negara pascapandemik COVID-19.
Jika rakyat memilih untuk sebuah kerajaan yang "tergantung" ia bakal menyebabkan proses pemulihan negara terencat.
Sebagai contoh, tiga kali pertukaran kepimpinan negara telah membawa kepada ketidakstabilan kerajaan dan membantutkan proses pemulihan ekonomi negara yang terkesan ekoran daripada pandemik COVID-19.
Maka, untuk Malaysia kembali pulih dengan baik, negara perlu kepada sebuah kerajaan yang stabil.
PRU15 adalah sangat penting untuk tujuan tersebut, krisis nilai Ringgit yang jauh merudum berbanding mata wang Singapura, Indonesia, Brunei, Amerika Syarikat dan Pound Sterling, menunjukkan kita memerlukan satu perubahan besar dalam kalangan barisan wakil rakyat, kerajaan dan ketua kerajaan.
Kita memerlukan kepimpinan yang berkarisma, bertenaga dan berintegriti.
Kita memerlukan wakil rakyat dan anggota pentadbiran yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Pengundi kena berani membuat keputusan. Ini masanya.
Satu undi akan membawa kepada tiga keputusan penting iaitu wakil rakyat, kerajaan dan Perdana Menteri yang berkualiti.
Pilihan raya diadakan oleh rakyat, menerusi gandingan jutaan rakyat dan demi rakyat.
Tanpa kerajaan yang stabil, punya majoriti yang jelas dominan, Malaysia pasca-PRU15 bakal "kembali ke asal" iaitu apa yang disaksikan sepanjang 55 bulan lalu.
Perkembangan sepanjang tempoh itu sudah tentu telah memberikan satu bentuk pengajaran dan pendidikan pilihan raya (politik) yang amat berguna kepada rakyat.
Kita perlu bergerak ke hadapan dengan yakin berani dan optimistik. PRU15 adalah platformnya. Keputusan di jari kita, yang berkuasa menentukan nasib kita.
Sangat penting untuk rakyat terutama pengundi menggunakan kebijaksanaan dan pengetahuan politik bagi memlilih sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh bagi menjamin kecepatan proses pemulihan sosioekonomi negara pasca-COVID-19. Sudah pasti sama-sama berganding melahirkan negara berintegriti.

* Prof. Madya Dr. Zaini Othman ialah Felo Penyelidik, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir .
** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya kedua-dua penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Kolumnis AWANI #Malaysia Memilih #esok PRU15 #calon PM Malaysia