[KOLUMNIS] PRN15: Kenapa perlu keluar mengundi?

Azmi Ramli
Ogos 11, 2023 12:00 MYT
Mengundi dalam pilihan raya satu usaha kita untuk mengubah atau mengekalkan kerajaan yang sediada demi pentadbiran negeri/negara yang lebih baik. - Gambar fail
KURANG 24 jam sebelum hari mengundi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) yang bakal berlangsung pada hari Sabtu ini (esok), mungkin ada segelintir yang berada di persimpangan sama ada untuk keluar mengundi atau tidak atas sebab-sebab tertentu.
Penulis mengajak semua pengundi berdaftar di enam negeri terbabit untuk kita keluar mengundi demi UNDI - Usaha, Negara, Demokrasi dan Impian kita semua.
Penulis akan cuba menjelaskan empat sebab tersebut secara yang mudah difahami.
Sebab pertama ialah tentang usaha kita. Mengundi dalam pilihan raya satu usaha kita untuk mengubah atau mengekalkan kerajaan yang sediada demi pentadbiran negeri/negara yang lebih baik.
Dalam hidup ini kita buat apa yang kita mampu. Jika tak buat semua, jangan kita tinggal semua.
Sejarah dan rekod pencapaian baik dan buruk calon serta parti bertanding kita jadikan panduan untuk membuat pilihan calon/ parti yang mana menjadi pilihan.
Yakinlah usaha ini sangat besar nilainya, kerana sebab usaha kita mungkin akan membawa kebaikan atau sebaliknya kepada negeri dan negara kita di masa depan.
Di saat semua amalan akan ditanya di akhirat, tanyakan diri kita apa usaha kita yang mungkin boleh memberi kebaikan kepada ummah dan negara dalam PRN15 kali ini.
Sebab kedua ialah kerana negara kita. Kita sering mendengar kata-kata keramat berikut (yang pernah diungkap oleh John F. Kennedy): “Jangan tanya apa negara boleh sumbang untuk kamu, tetapi tanyalah pada diri apa kamu dapat sumbangkan untuk negara.”
Sebagai pengundi semua kita ada peranan besar untuk menyumbang kepada negara dan negeri dengan memilih calon wakil rakyat yang paling layak untuk memimpin rakyat dan negeri ini untuk lima tahun akan datang.
Sebanyak mana sumbangan pemimpin yang kita pilih selepas ini (jika ada), undi kita lah menjadi satu sebab untuk setiap sumbangan mereka kepada negara nanti.
Jika pemimpin yang kita pilih nanti seorang yang baik, jujur serta mengotakan apa yang dijanjikan maka kita harap Allah memberi kita pahala dan kebaikan di dunia dan akhirat kerana membantu kepada kebaikan.
Jadi tiliklah dengan hati dan akal yang jernih dan waras agar pilihan kita adalah yang terbaik dan dapat membawa kebaikan untuk semua.
Sebab ketiga ialah demokrasi yang perlu disuburkan. Anak muda hari ini mungkin jarang mendengar atau agak asing dengan istilah "menang tanpa bertanding."
Bagi PRN15 kali ini semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan antara parti-parti bertanding, satu petanda betapa sengitnya persaingan politik semasa.
Kesedaran politik yang semakin baik dalam kalangan rakyat ini menyebabkan satu kawasan pilihan raya tidak lagi didominasi oleh parti-parti tertentu sahaja seperti di era 50-an hingga 80-an dahulu.
Kesedaran politik ini perlu diterjemah ke dalam kotak undi supaya suara kita menjadi penentu kepada kalah atau menang sesuatu parti/ gabungan.
Sekadar menang sorak atau "likes" di media sosial tidak bererti jika anda yang layak mengundi tidak keluar mengundi.
Ada yang berkata: "malas nak keluar mengundi, orang politik ini sama saja, semua berebut kuasa untuk parti mereka."
Matlamat politik untuk mendapat kuasa itu jelas, tidak perlu timbul polemik, tohmahan atau alasan untuk menjauhkan diri.
Menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat memilih siapa yang layak untuk diberi kuasa.
Jika mereka yang tidak layak diberi kuasa kita sebagai rakyat akan sengsara, nasib agama, bangsa dan negara kita mungkin tidak terbela seperti sepatutnya.
Kita juga biasa dengar kata-kata jika orang baik berdiam diri maka kita memberi peluang 'orang jahat' untuk bercakap dan membuat keputusan.
Jadi anda sebagai orang baik tentu sekali tidak mahu 'orang jahat' menjadi pemimpin anda!
Sebab terakhir ialah kerana impian. Semua kita tentunya ada impian masing-masing, seperti juga calon dan parti bertanding.
Satu cara membantu merealisasikan impian kita ialah dengan mengundi calon dan parti pilihan dalam PRN15 kali ini.
Mereka mungkin bukan yang terbaik, tetapi pilihlah yang lebih baik antara mereka.
Jika kita rasa tertipu dengan janji dan manifesto yang tidak dilaksanakan, maka tolak mereka yang berjanji bulan dan bintang atau mereka yang mempunyai rekod buruk dalam melaksanakan janji.
Atau jika kita meluat dengan amalan cacian dan kata-kata kesat mereka, maka jangan pilih mereka kali ini.
Jika sukar memilih kerana ramai yang bercakap bohong, maka tolak lah yang paling banyak berbohong!
Untuk memilih calon yang lebih baik antara yang bertanding, kita sebagai pengundi perlu ada ilmu dan pengetahuan yang mencukupi.
Setiap bakal Yang Berhormat boleh bercakap apa sahaja, namun kita perlu bijak menapis setiap kata-kata, janji atau ‘iklan’ mereka. Ingatlah ketika ini kita paling berkuasa.
Jangan sewenangnya memberi kuasa tersebut kepada sebarangan calon/ parti politik agar kita tidak menyesal di kemudian hari.
Apa impian anda untuk agama, bangsa dan negara tercinta? Jawablah ia di kotak undi pada 12 Ogos ini.
Satu impian murni saya agar di ‘hari raya’ nanti (hari mengundi), kita semua keluar mengundi dengan penuh harmoni dan senang hati tanpa rasa syak wasangka antara satu sama lain.
Apa pun keputusan selepas itu terima ia dengan hati terbuka kerana kita semua adalah pemenang. Tanpa satu undi daripada kita semua calon-calon bertanding tidak mungkin bergelar YB!
Selamat mengundi untuk semua!

*Azmi Ramli adalah peminat setia Astro Awani dan penulis buku “Bersedia Melawan Jin” (2019) dan “Mudahnya Mengumpul Pahala” (2020).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #PRN15 #kuasa mengundi #Dewan Undangan Negeri
;