[KOLUMNIS] PRK Sungai Bakap: Medan ujian naratif baharu Kerajaan Perpaduan

Kolumnis AWANI
Julai 3, 2024 23:56 MYT
Keputusan PRK Sungai Bakap akan menjadi penentu kepada hala tuju politik seterusnya, sama ada kita terus maju dengan sinergi yang telah dibina atau kembali kepada templat lama yang tidak lagi relevan. - Gambar fail/Bernama
SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-15, landskap politik Malaysia disajikan dengan beberapa pilihan raya kecil termasuk pilihan raya enam negeri.
Selain Pilihan Raya DUN Tioman dan Parlimen Padang Serai yang boleh dikategorikan sebagai pilihan raya umum, Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan rekod yang cemerlang dengan skor 5-2.
Namun, analisis kasar menunjukkan bahawa parti pemenang dalam pilihan raya kecil hanya berjaya mengekalkan kerusi yang dipegang sebelum kematian atau hilang kelayakan penyandang. Tiada kerusi yang berjaya dirampas daripada pihak lawan.
Bagaimanapun, satu aspek menarik dalam menilai strategi beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini adalah perubahan strategi Kerajaan Perpaduan untuk meletakkan calon yang bukan dari kalangan pemimpin politik setempat.
Ini berbeza dengan strategi Perikatan Nasional (PN) yang lebih cenderung mengekalkan calon daripada pemimpin parti politik daripada kawasan tersebut. PN tampak lebih selesa dengan templat lama dan tidak mahu mencuba sesuatu yang uar daripada kebiasaan.
Tindakan Kerajaan Perpaduan meletakkan seorang calon wanita muda DAP di Kuala Kubu Bharu dan seorang guru pencen di Sungai Bakap perlu dinilai daripada sudut komunikasi yang lebih strategik.
Meskipun mendapat tentangan awal daripada akar umbi, tahap kebolehmenangan kedua-dua calon ini dinilai sebagai lebih tinggi di kalangan pengundi atas pagar. Strategi ini dinilai sebagai lebih sesuai memandangkan blok terbesar pengundi adalah terdiri daripada pengundi atas pagar dengan angka mencecah sehingga 50 peratus.
Perihal ini juga tidak lain kerana pindaan undang-undang pada 2019 dikenali sebagai Undi 18 yang telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya juga kepada 18 tahun.
Situasi ini sekali gus telah membuka ruang kepada anak muda yang lebih tidak mendapat pendedahan politik dan polisi yang meluas membuat pilihan berdasarkan populariti dan trend semasa.
Selain itu, dinamika politik pasca 2018 memperlihatkan setiap parti politik utama di negara ini telah membentuk kerajaan. Bermula dengan Pakatan Harapan 1.0, Perikatan Nasional – PPBM, Perikatan Nasional – BN dan kini, Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) telah memberi gambaran kepada pengundi bagaimanakah corak pentadbiran di setiap gabungan tersebut.
Pengalaman ini telah membentuk psike pengundi yang kini mampu untuk membandingkan prestasi pentadbiran. Persoalannya, adakah pengalaman hidup di setiap zaman tersebut menjadikan para pengundi lebih matang untuk membuat perkiraan politik yang lebih menguntungkan atau terperangkap dengan permainan propaganda dan persepsi politik sempit dan ekstrim?
Separuh masa kedua
Terkini, kempen Pilihan Raya Kecil N.20 Sungai Bakap, Pulau Pinang telah memasuki separuh masa kedua berkempen. Kurang daripada 72 jam sahaja, para pengundi di Sungai Bakap akan menentukan sama ada DUN tersebut akan kekal membawa suara pembangkang atau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan demi mencorakkan pembangunan yang lebih inklusif.
Satu pendapat umum menyatakan bahawa terdapat tiga faktor dalam menentukan kemenangan pilihan raya iaitu mobilisasi jentera, permainan nombor dan persepsi semasa. Pelbagai program, gerak kerja, aktiviti, ceramah kempen dan sebagainya diatur untuk memenuhi tiga aspek tersebut dalam usaha untuk menyantuni seramai mungkin pengundi di seluruh lapan pusat daerah mengundi (PDM) di Sungai Bakap.
Progam dan aktiviti berskala kecil dan besar giat dilaksanakan di setiap pelosok kawasan dan pelbagai reaksi yang diperoleh daripada pengundi. Lebih ketara lagi program berskala kecil yang menyantuni langsung ke pengundi seperti ziarah rumah ke rumah. Kebanyakan daripada aktiviti ini digerakkan oleh jentera pilihan raya daripada setiap parti yang terlibat.
Namun, satu dinamika politik yang harus diperhatikan adalah sikap pengundi di kalangan ahli UMNO. Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini telah menyatakan bahawa terdapat 5,015 orang ahli UMNO di Bahagian Nibong Tebal layak untuk mengundi pada PRK N.20 kali ini.
Jumlah ini mewakili hampir 12 peratus keseluruhan pengundi dan sudah pasti ia akan menyumbang kepada faktor menang-kalah calon Kerajaan Perpaduan.
Pilihan Raya Negeri ke-15 yang lalu memberi petunjuk bahawa tidak semestinya apabila PH dan BN membentuk koalisi politik, jumlah undi akan turut bergabung. Berdasarkan analisis terperinci, didapati bahawa terdapat sebilangan pengundi di kalangan ahli UMNO yang mengambil keputusan untuk mengundi pihak lawan atau tidak keluar mengundi.
Senario ini telah diteliti oleh pucuk pimpinan UMNO dan siri jelajah penerangan telah dimulakan untuk menyusun naratif politik baharu.
Jelas melalui PRK Kuala Kubu Bharu sebelum ini, naratif tersebut menampakkan kesannya. Jentera UMNO boleh dikatakan telah kembali memberi sokongan dan dokongan padu dalam usaha memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.
Kerja keras jentera UMNO ini telah sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan undi Melayu di PRK tersebut. Kerjasama antara jentera UMNO bersama rakan Kerajaan Perpaduan terjalin dengan baik dan mencerminkan semangat perpaduan yang utuh.
Sinergi yang sama ini telah dibawa ke Sungai Bakap dan ia jelas memperlihatkan keberhasilan yang positif setakat ini. Tiada serangan sesama sendiri di kalangan jentera politik dan masing-masing jelas bahawa lawan politik mereka adalah Perikatan Nasional.
Pelaksanaan program dan aktiviti disusun mengikut kawasan serta diserahkan kepada parti yang memiliki pengaruh terbesar di kawasan tersebut.
Fasa kedua bagi menawan DUN Sungai Bakap ini adalah untuk memastikan 5,015 orang ahli UMNO untuk turun mengundi dan memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan. Berdasarkan reaksi awal, dilihat bahawa terdapat kesediaan untuk mereka kembali mengundi calon Kerajaan Perpaduan.
Antara faktor yang menjadi pertimbangan adalah untuk memastikan kawasan mereka seiring dengan kerajaan yang memerintah. Secara asasnya, mereka sedar bahawa melalui seorang wakil rakyat mewakili kerajaan, tadbir urus menjadi lebih cekap dan berkesan, komunikasi bersama kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan menjadi lebih mudah serta akses terhadap kemudahan yang disediakan adalah lebih meluas.
Ahli UMNO juga mulai sedar bahawa pada hakikat yang sebenar, parti itu tidak menguasai gabungan Kerajaan Perpaduan. Dengan hanya 30 kerusi sahaja, kuasa di meja perundingan juga terhad dan sebarang tuntutan mungkin tidak menjadi keutamaan segera untuk dilaksanakan.
Melalui peningkatan undi orang Melayu yang dimulakan dengan kembalinya undi ahli UMNO kepada Kerajaan Perpaduan, ini akan meningkatkan imej dan integriti UMNO untuk berdiri sama tinggi dengan rakan gabungan yang lain.
Kuasa tawar-menawar juga akan meningkat dan tuntutan daripada akar umbi UMNO boleh dinilai semula keutamaannya.
Seterusnya, naratif PN yang dimainkan sebelum ini bahawa kononnya agenda Melayu-Islam digadaikan apabila UMNO bersama Kerajaan Perpaduan juga semakin hilang cengkamannya. Manakan tidak apabila bersama Kerajaan Perpaduan dan hanya berbekalkan 30 kerusi sahaja, UMNO masih tegas mempertahankan agenda Melayu-Islam.
Perkara ini jelas kelihatan apabila terdapat beberapa cadangan yang kurang sensitif daripada rakan Kerajaan Perpaduan mengenai status warisan Kampung Baru Cina ditentang kuat oleh UMNO. UMNO juga dilihat ke hadapan melalui Ketua Pemudanya, Dr Akmal Salleh yang lantang dalam isu berkaitan agama Islam.
Presiden UMNO juga melalui jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah berjaya meletakkan agenda Melayu Islam di hadapan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memperakui peranan tersebut dengan memberi amanah dan kepercayaan kepada Ahmad Zahid untuk menerajui Kongres Ekonomi Bumiputera termasuk beberapa inisiatif lain yang penting seperti Dasar TVET, Dasar Tahfiz, dan Majlis Halal Kebangsaan serta pelbagai lagi usaha lain.
Melihat kepada prestasi tersebut, pengundi dari kalangan ahli UMNO amat yakin sekiranya undi Melayu dapat dikembalikan kepada UMNO, kuasa dan pengaruh UMNO di Kerajaan Perpaduan akan turut meningkat dan seterusnya memastikan bahawa agenda Melayu-Islam terus terpelihara.
’Troublemaker’ kepada ’kingmaker’
Secara kolektifnya, dapat dilihat terdapat perubahan sikap pengundi di kalangan ahli UMNO yang kini telah beralih daripada berfikiran ’troublemaker’ kepada ’kingmaker’ dan perubahan sikap ini dikongsi bersama oleh pengundi Melayu atas pagar.
Kebanyakkan tidak lagi melihat terhadap sentimen atau emosi sesuatu isu. Sebaliknya, mereka kini lebih fokus pada manfaat jangka panjang yang diperoleh dengan menyokong calon Kerajaan Perpaduan.
Strategi yang digunakan oleh Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional dalam pemilihan calon mencerminkan pergeseran yang lebih luas dalam landskap politik Malaysia. Kepentingan yang semakin meningkat dari pengundi atas pagar memerlukan pendekatan inovatif yang mengutamakan keutamaan pengundi semakin berkembang.
Ketika arena politik terus berkembang, keupayaan untuk menyesuaikan diri dan menerima strategi baharu akan menjadi penting untuk kejayaan.
Pilihan Raya Kecil N.20 Sungai Bakap adalah lebih daripada sekadar satu lagi pilihan raya kecil. Ia adalah medan untuk UMNO dan Kerajaan Perpaduan membuktikan bahawa strategi yang berani dan berpandangan jauh mampu mengubah landskap politik Malaysia.
Keputusan PRK ini akan menjadi penentu kepada hala tuju politik seterusnya, sama ada kita terus maju dengan sinergi yang telah dibina atau kembali kepada templat lama yang tidak lagi relevan.
Semoga pengundi di Sungai Bakap membuat pilihan yang bijak, demi masa depan yang lebih cerah dan stabil untuk semua.

*Ahmad Raziz Rashid adalah bekas Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri dan kini perunding komunikasi strategik.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan #PRK Sungai Bakap #Perikatan Nasional
;