[KOLUMNIS] PRK Kuala Kubu Baharu: Pertandingan untuk tawan atau tahan
Astro Awani
April 28, 2024 16:03 MYT
April 28, 2024 16:03 MYT
DALAM mana-mana pilihan raya, sudah tentu kita lihat ada pihak yang akan bertahan (retain) dan ada pihak yang akan menawan (regain).
Sama seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, strategi ini dapat dilihat dari kempen-kempen yang akan berlangsung sehingga hari pengundian bersasarkan kepada matlamat tawan dan tahan.
Dalam strategi tahan yang bakal digunakan, kita dapat lihat ada beberapa kelebihan kepada calon yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) kerana individu ini sebenarnya adalah penerus kepada usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong yang meninggal dunia dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu sejak tahun 2013.
Ternyata kelebihan ini akan menjadi penyumbang utama kepada keyakinan pengundi dan meneruskan semua yang sudah dirancang kepada calon baharu di bawah parti yang sama adalah satu ikhtiar.
Kebetulan juga, calon PH, Pang Sock Tao atau lebih mesra dengan panggilan Xiao Tau dan XT, tidak banyak beza dengan pilihan pengundi sebelum ini, seorang wanita dan dari parti yang sama.
Sekiranya mendiang dikatakan berprestasi dan menang dalam beberapa siri pilihan raya, sudah tentu calon ini juga akan mengikuti track record sama dan paling cepat bertindak untuk meneruskan segala usaha pembangunan yang sudah dirancang sebelum ini.
Manakala kelebihan kepada strategi untuk tawan pasti diintai kepada tiga pihak lain; Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
Dari sudut ini, kita melihat penggunaan jentera yang besar serta megah akan digunakan PN kerana mereka telah menawan Parlimen Ulu Selangor selain DUN Ulu Bernam dan DUN Batang Kali.
Begitupun, kita lihat PN ini membawa satu motto kepada usaha kemenangan dengan tagline 4-0 mereka.
Namun begitu, apa yang membezakan di sini adalah kelebihan setiap calon itu sendiri. Jelas kelebihan dan kekurangan jika dinilai termasuk dalam aspek komunikasi lisan yang merangkumi pendekatan kepada pengundi sepanjang minggu kempen. Ia boleh juga dinilai dalam aspek seseorang calon menghampiri kaum Cina dan India dalam komunikasi lisan terutama mendekati pengundi dengan bahasa seharian mereka.
Selain itu, pemahaman terhadap demografi Kuala Kubu Baharu ini juga boleh dipertimbangkan sebagai faktor kejayaan parti bertanding kali ini. Kawasan yang mewakili 47 perkampungan dengan kira-kira 10 kampung mewakili warga emas serta pesara turut tidak boleh dipinggirkan.
Dalam hal ini, penggunaan media sosial sebagai bahan kempen parti berkenaan perlu diselaraskan dengan lenggok bahasa warga emas selain menyentuh isu semasa di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga tentu berbeza.
Dua pendekatan
Dua pendekatan ini merupakan asas kepada kempen yang akan dijalankan selama dua minggu di Kuala Kubu Baharu. Sudah tentulah masing-masing akan menggunakan pendekatan yang berbeza demi mencapai hasrat kemenangan masing-masing.
Kepada pihak yang hendak merampas, mereka akan menimbulkan satu mesej untuk menyampaikan referendum kepada kerajaan pemerintah, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.
Isu yang akan dibangkitkan pastinya tidak boleh menyentuh perkara sensitif termasuk isu 3R (agama, raja dan bangsa).
Pihak yang bertahan mempunyai kelebihan kerana tidak perlu lagi mengemukakan agenda, manifesto baharu kerana apa yang sudah digariskan mendiang sudah jelas difahami penduduk dan hanya perlu diteruskan dengan tambahan janji menumpukan kepada anak muda dan wanita seperti yang dimaklumkan calon PH.
Setakat ini juga, PN masih belum mengemukakan manifesto jelas namun mereka pasti akan membangkitkan beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat termasuk isu cukai dan tahap produktiviti pihak berkuasa atau agensi tertentu.
Semua mesej ini akan diberi penekanan supaya pengundi dapat memilih calon mereka seterusnya dari kumpulan yang mahu bertahan atau menawan.
Dalam dua minggu ini juga, mood pengundi perlu diambil kira, pertamanya kita masih dalam mood hari raya dan pastinya banyak lawatan lebaran diadakan selain kemeriahan bendera kempen dan acara kecil-kecilan yang berasaskan kepada aktiviti budaya rakyat negara ini.
Apa yang jelas, pendekatan kempen agresif di Kuala Kubu Baharu hanya akan merugikan mana-mana pihak dan perlu dielakkan demi memastikan keamanan suasana sepanjang dua minggu sebelum hari pembuangan undi.
Kalau dilihat pula dari gandingan parti tertentu yang dahulu musuh namun kini menjadi kawan, dahulu tidak selari perjuangan dan kini di jalan sama, Kuala Kubu Baharu adalah petanda baharu, pembentukan baharu dan asas baharu untuk pertautan berkenaan.
Secara umumnya dalam semangat yang ada hari ini, aspirasi Kerajaan Perpaduan ini boleh dipupuk dan dikembangkan dalam PRK Kuala Kubu Baharu serta dalam pilihan raya yang akan datang.
Jika ditanya peluang kemenangan, sudah tentu pengundi tahu dan akan membuat keputusan matang kerana PRK ini bukan dibuat oleh penyandang tetapi takdir yang menimpa wakil rakyat mereka.
Kematian bukan boleh diduga. Sementara kita mengingati serta mengenang pemergian mendiang, langkah terus ke hadapan dan siri kempen perlu dijalankan dengan strategi tawan serta tahan yang terbaik daripada calon parti masing-masing.
* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.