[KOLUMNIS] PRK KKB: Beza realiti dan retorik politik

Yahaya Abdullah
Mei 10, 2024 09:58 MYT
Realiti dan retorik politik harus dibezakan dengan jelas, jangan kempen digunakan untuk mencelarukan pemikiran rakyat. - Gambar fail/Bernama
KEMPEN Pilihan Raya Kecil N.06 Kuala Kubu Baharu (PRK KKB) kini sudah menghampiri penamatnya.
Sepanjang pengamatan, kebanyakan kempen yang dijalankan oleh parti yang bertanding memilih haluan yang berbeza bagi memenuhi aspirasi pengundi di KKB. Mari kita tabayyun bersama-sama.
Meskipun Kerajaan Perpaduan berdepan dengan prasangka isu perkauman oleh sesetengah rakyat, namun, kerajaan tidak pernah melatah dan tetap konsisten membawa agenda perpaduan melalui Malaysia MADANI.
Sudah dibuktikan, apa sahaja konflik berasaskan bangsa dan agama dalam negara ini dikendalikan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang bentuk perpecahan.
Sebagai rakyat, kita sebenarnya terlalu selesa dengan keadaan begini sehingga ada yang menuntut pemimpin untuk 'memilih bulu' semata-mata demi kepentingan diri sendiri.
Sudah jelas, kita tahu bahawa Malaysia merupakan model perpaduan terbaik berbanding negara-negara yang lain.
Kempen perpaduan
Dari satu sudut, kempen yang menyeru kepada perpaduan akan memfokuskan kepada semua golongan dan menyantuni semua lapisan masyarakat termasuk Orang Asli.
Keluhan dan saranan masyarakat setempat diraikan, dalam masa yang sama diusahakan demi kepentingan semua. Tiada satu pun kempen memburukkan bangsa atau kepercayaan yang lain.
Sebaliknya, sentiasa dilaung seruan agar kawasan ini membangun dengan semangat perpaduan dalam kemakmuran dengan diketahui Malaysia terbina daripada asas perpaduan dan kerjasama antara semua bangsa.
Situasi berbeza berbanding kempen yang membawa naratif bersifat perkauman. Dengan bujukan untuk meraih simpati, banyak isu dimainkan semata-mata untuk melagakan serta menghancurkan perpaduan.
Walaupun bukan semua rakyat akan termakan dengan hasutan tersebut, tetapi kerana percaya akan bangsa, agama dan negara yang kononnya tertindas, jalan perpecahan jua yang menjadi jawapan.
PRK KKB ternyata di kalangan ahli-ahli politik dan juga parti yang bertanding adalah pertembungan paling kritikal setakat ini untuk tahun 2024 selain merupakan kunci kepada hala tuju parti berkenaan begitu juga pedoman kepada calon yang berjaya.
Ternyata kempen di pekan kecil ini menjadi panas pada saat-saat akhir, namun mesej atau penyampaian kepada pengundi yang tersasar menjadi agak tidak sehaluan seperti mana ia dapat memimpin pengundi dan dapat berfikir serta membuat keputusan tepat pada hari pengundian.
Pengundian tepat secara logiknya bermula dengan asas situasi terjadinya PRK - 'patah tumbuh hilang berganti' yang membawa maksud, siapa yang sudah dipilih perlu diteruskan misinya dengan keputusan pengundian.
Mana mungkin apabila ada sesuatu kejadian kematian, pengundi perlu berfikir untuk kali kedua, adakah keputusan yang dibuat sebelum ini tidak tepat?
Ini menjadi persoalan pengundi yang mencari jawapan dari ceramah-ceramah, siaran-siaran media, mengikuti bisik-bisik di kedai kopi dan perbualan di mana-mana kawasan pilihan di pusat daerah mengundi (PDM) KKB.
Ramai yang tidak melihat mesej apa yang mahu disampaikan dan dihasratkan pengundi.
Pertamanya, pengundi mahu mesej keperluan mereka disampaikan segera di tangan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Agak jauh jika difikirkan, apa yang boleh disampaikan kerajaan negeri dan persekutuan, pengundi sebenarnya mahu tindakan segera dan jelas bukan projek yang mega.
Kalau dianalisa perbualan daripada pengundi, mereka hanya menyampaikan perkara berkaitan kehidupan dan harapan harian.
Jadi, jika sudah jelas itu yang disampaikan pengundi, mengapa perlu berbicara perkara-perkara besar dan akhirnya melihatkan ia hanya pentas mengambil kesempatan untuk meluah rasa gusar dan kekecewaan.
Tempoh berkempen tidak dapat meresapi perkara yang dimahukan pengundi dalam isu besar, sekali pandang kita lihat KKB adalah pentas untuk disebar luaskan perkara melibatkan peringkat negeri atau persekutuan.
Jadinya, sekiranya penduduk KKB sebagai masyarakat yang berhajat mahu kehidupan sederhana, permintaan mereka boleh dilaksanakan melalui pemilhan seorang wakil pada tahap yang lebih tinggi dari yang ada sekarang.
Masa ini, pengundi perlu membuat penelitian, jika tidak mendapat sambutan atau kolaborasi daripada pihak berkaitan, maka agak payahlah sesuatu yang dihasratkan pengundi mahu dilaksanakan secepat mungkin.
Kolaborasi ini boleh disebut satu cara agar pihak dipilih nanti menjadi pemudah cara kepada rayuan mudah oleh rakyat.
Rakyat tidak akan terus menerus menyampaikan isu besar dan semakin menakutkan dengan menyentuh hal-hal yang tidak memberi impak besar dalam kehidupan harian mereka di KKB.
Sebagai contoh, isu polisi, ekonomi, kebudayaan, alam sekitar yang jelas besar dan bertererusan.
Sudah jelas, isu-isu besar ini sedang dipandu Anwar dengan sokongan hebat daripada rakyat dan kemajuan ini boleh dijangka dalam sedikit masa lagi.
Meneliti manifesto
Setiap manifesto memerlukan panduan, baik dari Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), bergantung kepada tawaran yang diberi, ada yang menghidangkan tajuk luas dan mungkin tidak diminati pengundi.
Sedia jelas, pengundi mahu isu ringkas dan tepat diselesaikan segera.
Ini dapat dilihat dengan tanggungjawab memilih ADUN, memahami keupayaannya yang terbatas kepada kawasan KKB.
Sekiranya rakyat hendak menyampaikan isu kepada pihak yang paling tinggi, maka pilihlah calon yang boleh menyampaikannya kepada kerajaan negeri yang sehaluan dengan calon berkenaan.
Begitu juga terus membawa isu itu ke peringkat persekutuan.
Ramai juga yang menyentuh isu pembangunan akan datang, seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Ia termasuklah aspek ekonomi selepas pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada masyarakat serta negara secara keseluruhannya.
Realiti dan retorik politik harus dibezakan dengan jelas, jangan kempen digunakan untuk mencelarukan pemikiran rakyat.
Jelas, permainan emosi sebegini lebih banyak membawa perpecahan dari unsur perpaduan.
PRK bukan medan mencetus perpecahan, ia peluang dan ruang mencari kebaikan dan akan dinilai oleh pihak yang mahu membina serta memacu negara agar kita dapat kembali ke zaman kegemilangan sebelum ini.
Tentunya, ini bukan perihal politik semata-mata, namun rakyat juga berhak memandang ke hadapan nasib negara ini.
Kita juga khuatir jika generasi akan datang lahir dengan penyakit stigma dan prasangka sesama mereka. Ia malapetaka yang dahsyat. Penawarnya harus disediakan sekarang dan kitalah penggeraknya.
Allah telah berfirman melalui surah Al-Ra'd ayat 11;
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka.
Perpaduan atau perpecahan adalah pilihan. Suara dan pandangan melalui kertas undi amat penting kepada tamsilan masa hadapan negara.
Janganlah kerana populariti, kita menidakkan kredibiliti calon yang berdedikasi. Pengundi pasti akan rugi.
Semuanya terletak pada diri kita. Pengundi di KKB boleh menghantar mesej yang jelas bahawa rakyat akan terus mempertahankan perpaduan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Selamat memilih.

* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014) dan kini menjadi pemerhati serta pengulas isu-isu semasa politik.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#PRK Kuala Kubu Baharu #agenda perpaduan #aspirasi pengundi #memilih bulu
;