[KOLUMNIS] Potensi tenaga boleh diperbaharui di Malaysia

Hasimi Muhamad
Jun 3, 2024 10:10 MYT
Sebagai contoh tenaga solar - kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa membolehkan negara ini menerima cahaya matahari sepanjang tahun. - Gambar hiasan.
PADA 25 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035.
Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah langkah itu dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 10 juta tan setahun.
Malah, Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (PETRA) juga berhasrat meningkatkan kapasiti RE dalam campuran bahan api sehingga 100 peratus pada 2050.
Melihat kepada komitmen tersebut, Malaysia sangat menyedari bahawa RE memainkan peranan penting dalam pembangunan yang lestari dan membantu mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Setiap negara mempunyai sumber-sumber yang berbeza bergantung kepada geografi dan iklim mereka.
Malaysia, yang berkeluasan lebih 330,000 kilometer persegi (km²), dengan jumlah penduduk lebih 32 juta orang, antara negara yang berpotensi besar dalam industri ini.
Sebagai contoh tenaga solar - kedudukan Malaysia yang terletak berhampiran garisan khatulistiwa membolehkan negara ini menerima cahaya matahari sepanjang tahun.
Selain itu di Malaysia, projek solar adalah RE yang paling meluas kerana kos pengeluaran peralatan fotovoltaik (PV) yang lebih rendah dan ketersediaan pembiayaan yang mudah bagi projek hijau.
Apa itu RE?
RE merujuk kepada sebarang bentuk tenaga primer yang berasal daripada sumber yang tidak habis seperti tenaga solar, angin, hidro, biojisim, serta geoterma.
Penggunaan RE semakin meningkat di seluruh dunia kerana ia merupakan alternatif yang bersih dan mesra alam berbanding dengan bahan api fosil yang terhad dan mencemarkan.
Terdapat empat sumber tenaga yang berpotensi tinggi untuk dimajukan di dalam sektor penjanaan kuasa Malaysia iaitu tenaga solar, angin, hidro dan biojisim.
Manfaat RE dan keuntungan buat negara?
RE dijangka menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040.
Menurut laman web Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), beberapa projek RE telah diluluskan pada 2021.
Ia antaranya melibatkan 826 projek tenaga solar berjumlah RM2.8 bilion; lapan projek solar berskala besar bernilai RM2.1 bilion; serta 14 projek biogas (RM196.3 juta).
Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada Ogos 2023, Kerajaan Malaysia juga meletak matlamat untuk mencapai 70 peratus kapasiti pemasangan RE menjelang 2050.
Sementara itu, memetik laporan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) pada Mac 2023 mendedahkan, keupayaan Malaysia untuk mencapai matlamat sifar bersih dengan peningkatan penggunaan RE tempatan dan mampu milik.
Menurut penemuan laporan itu, peralihan kepada RE akan menjimatkan Malaysia antara AS$9 bilion dan AS$13 bilion setahun menjelang 2050 dalam kos tenaga, iklim, serta kesihatan.
Permintaan hidrogen di Malaysia juga dijangka meningkat dengan ketara sehingga 1.5 juta tan hidrogen bersih menjelang 2050.
Selain itu, negara ini perlu memanfaatkan pelbagai potensi biojisim.
Peningkatan penggunaan biojisim yang mampan dapat membantu transformasi sektor pengangkutan, industri dan sektor bukan tenaga memandangkan ia menyumbang sekitar 16 peratus kepada jumlah penggunaan tenaga akhir Malaysia sehingga 2050.
Tidak keterlaluan jika negeri-negeri lain di Malaysia boleh mengambil contoh Sarawak.
Bumi Kenyalang itu - yang kaya dengan minyak, gas dan kayu balak satu-satu negeri di negara ini, dengan lebih 70 peratus RE dalam campuran tenaga terutamanya daripada empangan hidroelektrik.
Negeri itu mempunyai tiga empangan hidroelektrik berskala besar yang beroperasi, dengan empangan keempat iaitu Baleh dijangka beroperasi pada 2028.
Tahun lepas, Sarawak mengumumkan rancangan untuk menjual satu gigawatt RE kepada Singapura melalui kabel dasar laut sepanjang 700km menjelang tahun 2032.
Bayangkan betapa besar potensi industri ini jika ia dimajukan secara mampan di Malaysia?
Malaysia komited berubah ke arah RE
Pada Oktober tahun lalu, Kerajaan Perpaduan melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR), dengan sasaran meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam peralihan tenaga dan menjadi peneraju serantau dalam industri RE.
Memetik laporan media, Fadillah, yang menyampaikan ucap tama perasmian bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kejayaan pelaksanaan HETR akan membolehkan Malaysia meneroka pasaran hidrogen hijau global yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya US$189.19 bilion (RM824 bilion) menjelang 2050.
Selain menjana pendapatan, pelaksanaan HETR dijangka mewujudkan lebih 45,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Kesungguhan Malaysia dalam bidang RE juga diterjemahkan dengan komitmen untuk bekerjasama dengan Arab Saudi, dan ia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia, memetik Fadillah baru-baru ini.
Perjanjian Paris 2015
PETRA antara kementerian yang berusaha mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik melalui inisiatif seperti peningkatan kapasiti RE, menghentikan loji janakuasa arang batu serta meningkatkan kekuatan grid sistem.
Malah, kementerian itu juga komited mengurangkan ketumpatan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus pada 2025 dan 60 peratus pada 2035 berbanding 2005 selari dengan komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris 2015.
Perjanjian Paris (COP21) dimeterai 169 negara dunia - yang sepakat memastikan had pemanasan global di bawah dua, sebolehnya pada 1.5 darjah Celsius berbanding paras zaman praperindustrian.
Salah satu ramalan yang membimbangkan adalah peningkatan suhu bumi yang dijangka mencapai 2.7 darjah Celsius menjelang akhir abad ini.
Rakyat berminat dengan RE?
Pepatah Melayu berkata, 'Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya'.
Dengan pelbagai usaha dan inisiatif yang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia - adalah satu 'kerugian' jika ia tidak disambut dengan baik oleh rakyat, khususnya golongan muda mengenai potensi RE.
Faktor kesedaran alam sekitar, insentif kerajaan, penjimatan kos, kemajuan teknologi, sokongan komuniti, dan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga fosil - ini semuanya memainkan peranan penting dalam meningkatkan minat rakyat.
Bagi memastikan minat ini terus berkembang, adalah penting untuk kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat terus bekerjasama dalam mempromosikan dan mempermudahkan penggunaan RE.

* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Potensi tenaga boleh diperbaharui #RE di Malaysia #Sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia #Renewable Energy
;