[KOLUMNIS] Perolehan aset terpakai: Pilihan praktikal pertahanan

Nur Farhani Samasu
November 26, 2024 12:30 MYT
Pembelian aset terpakai ini terbukti mampu menawarkan jalan tengah yang pantas dan efektif. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dalam siri dokumentari ketenteraan terbitan Netflix bertajuk 'Toughest Forces on Earth', pasukan komando gerak khas Malaysia diiktiraf sebagai antara ‘toughest forces’ di dunia, hasil daripada latihan ketenteraan yang diakui antara paling mencabar.
Ini bukan sekadar pengiktirafan kosong, tetapi jika diimbas, mereka mempunyai rekod cemerlang di lapangan.
Peranan pasukan komando negara pada tahun 1993 dalam Pertempuran Mogadishu di Somalia menjadi bukti apabila komando kita menyelamatkan anggota Tentera Darat Amerika Syarikat, termasuk Army Rangers dan Delta Force, yang terperangkap di pasar Bakhara.
Apa yang jelas, semua itu secara tidak langsung membuktikan bahawa ketumbukan kita bukan sahaja dilengkapi pakej kesiagaan untuk bertempur, bahkan kemampuan mereka dalam operasi bertaraf antarabangsa.
Perlu diakui pasukan keselamatan kita masih kekal antara ketumbukan yang diiktiraf di dunia.
Namun, keadaan aset-aset ketenteraan kita yang ketinggalan, usang dan tidak mencukupi dalam mendepani arus peredaran zaman merupakan satu yang mesti diuruskan dengan segera.
Jika dilihat dalam penjelasan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang dalam langkah agresif memodenkan aset-aset negara.
Malah, dilaporkan yang MINDEF telah menandatangani 40 memorandum persefahaman (MoU), surat setuju terima SST, surat niat (LOI) dengan kontrak bernilai RM7.3 bilion untuk mendapatkan pelbagai aset ketenteraan.
Namun, proses penerimaan aset baharu ini tidak mengambil masa yang singkat.
Sepanjang proses menunggu itu, kebanyakan negara hari ini mula mengambil pendekatan untuk mendapatkan aset ketenteraan terpakai sebagai mekanisme penyelesaian sementara.
Di peringkat global, perolehan aset ketenteraan terpakai (second hand) bukanlah satu perkara yang pelik dan terkebelakang.
Malah, negara-negara maju kini mula mempertimbangkan langkah tersebut dalam memenuhi keperluan pertahanan mereka. Biarpun perolehan aset terpakai kedengaran tidak popular, namun pendekatan ini boleh dikatakan sebagai antara kaedah paling realistik dan praktikal untuk dipertimbangkan.
Ia merupakan pendekatan pragmatik dalam memastikan agenda pertahanan dapat terus berfungsi pada kadar maksimum.
Berfungsi sebagai Gap-Filler
Realitinya, banyak negara kini memilih aset terpakai sebagai penyelesaian praktikal tanpa perlu menghentikan operasi sementara menunggu aset baharu diperoleh.
Kanada, contohnya, meskipun berada dalam kelas ekonomi maju, mereka tetap memilih pendekatan perolehan aset terpakai.
Ini dapat dilihat menerusi pembelian 25 pesawat F/A-18 Hornet terpakai dari Australia bagi memenuhi keperluan operasinya.
Ia sama tidak bermakna mereka tidak mampu membeli pesawat baharu. Strategi ini diambil berdasarkan pertimbangan untuk memastikan kesediaan angkatan udara mereka dalam tempoh kritikal, sementara menunggu pesawat F-35 yang baharu.
Pembelian aset terpakai ini terbukti mampu menawarkan jalan tengah yang pantas dan efektif.
Selain Kanada, Poland turut mengambil pendekatan yang sama apabila berdepan dengan kekangan pada kereta kebal T-72M dan PT-91 Twardy yang sudah ketinggalan zaman.
Sebagai anggota NATO, Poland perlu memastikan mereka mematuhi piawaian pertahanan yang ketat sambil meningkatkan keupayaan darat mereka.
Dalam keadaan ini, Poland membuat keputusan untuk membeli 128 kereta kebal Leopard 2A4 terpakai dari Jerman.
Malah, mereka turut diberi peluang untuk memilih unit terbaik daripada 600 kereta kebal di gudang penyimpanan Jerman, memastikan hanya aset berkualiti tinggi yang diterima.
Dengan kadar penggunaan yang rendah, sekitar 20 hingga 30 peratus, kereta kebal ini hampir seperti baharu, tetapi diperoleh pada kos yang jauh lebih rendah.
Alah Membeli Menang Memakai
Kos merupakan faktor utama yang mendorong banyak negara memilih aset terpakai.
Dalam sektor pertahanan, perbelanjaan ketenteraan sering memberi tekanan besar kepada bajet negara.
Dalam keadaan ekonomi global yang tidak stabil, langkah berhemat bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Filipina, misalnya, membeli kapal perang terpakai dari Korea Selatan, termasuk frigat kelas Pohang.
Walaupun bukan baharu, kapal-kapal ini telah dinaik taraf dan sesuai untuk keperluan pertahanan maritim Filipina.
Langkah ini membolehkan Filipina memperkukuhkan armada mereka tanpa membebankan kewangan negara secara berlebihan.
Namun, terdapat tanggapan bahawa aset terpakai ini usang atau kurang efisien.
Hakikatnya, banyak aset seperti ini masih dalam keadaan baik dan sesuai digunakan.
Ambil contoh pesawat F/A-18 yang dibeli Kanada daripada Australia.
Pesawat ini kekal dalam keadaan baik kerana rekod penerbangannya rendah.
Jumlah pesawat yang besar dalam armada Australia membolehkan setiap unit digunakan secara bergilir dan berada dalam keadaan baik.
Satu lagi negara maju, Jepun, turut mengambil tindakan sama melalui perolehan aset terpakai dari Amerika Syarikat menerusi program Foreign Military Sales (FMS).
Aset yang dibeli ini masih memenuhi piawaian keselamatan Jepun dan terus berfungsi dengan baik.
Apa yang dilakukan negara-negara tersebut ini sebenarnya boleh dilihat sebagai ‘pilot-test’ yang boleh dirujuk dan dipertimbang secara serius oleh Malaysia.
Apatah lagi dalam keadaan kedudukan kewangan kita yang tidak mengizinkan untuk membeli semua aset baharu secara maksimum.
Jika negara-negara maju berpendapatan tinggi melakukan strategi sama, mengapa tidak kita?
Bagi Malaysia, strategi perolehan aset terpakai ini sangat sesuai, terutama ketika Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memerlukan tambahan pesawat tempur.
Menurut Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled, Malaysia kini mengoperasikan pesawat F/A-18 Hornet versi D. Dan, negara seperti Kuwait, turut mengoperasikan model ini.
Ini bermakna, ketetapan untuk kita membeli aset terpakai dari negara tersebut adalah wajar dan berasas.
Langkah ini tidak hanya menjimatkan kos pembelian, tetapi menjimatkan kos penyelenggaraan kerana TUDM mempunyai pakej alat ganti yang serasi.
Sekiranya diteliti, pengoperasiannya kumpulan pesawat pejuang oleh pasukan tentera udara Kuwait ini mempunyai 90 peratus persamaan dengan rangkaian pesawat Hornet TUDM.
Ini bermakna, kita tidak memerlukan latihan tambahan selain konfigurasi minimum.
Lebih menguntungkan, berdasarkan lawatan dan tinjauan oleh Mohamed Khaled di Kuwait sendiri, beliau mengesahkan yang pesawat-pesawat terpakai ini telah melalui proses naik taraf sistem persenjataan serta avionik yang baik dan bersesuaian dengan keperluan TUDM.
Malah, Menteri Pertahanan sendiri mengakui bahawa tahap penerbangan serta status semasa kesemua pesawat pejuang tersebut adalah jauh lebih baik daripada aset dalam kelas yang sama milik TUDM kita.
Walau apa jua hujahnya, kita perlu berbalik kepada realiti bahawasa hal ehwal keselamatan negara tidak boleh dikompromikan.
Ia tidak boleh ditunda, diambil mudah dan diabaikan hanya atas alasan menunggu perolehan aset baharu dan terkini.
Sekarang adalah waktu untuk kita mempertimbangkan perolehan aset terpakai secara lebih serius dan strategik sesuai dengan saranan Mohamed Khaled yang menekankan pendekatan 'gap filler' sebagai strategi semasa yang mesti diusahakan secara berkesan.

* Nur Farhani Samasu merupakan pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sarawak.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#aset terpakai #ATM #Mohamed Khaled Nordin #pasukan keselamatan
;