[KOLUMNIS] Peranan penting unit penyelidikan kepada kecemerlangan akademik universiti

Khairul Anuar Abdul Malik
Julai 11, 2024 16:29 MYT
Unit penyelidikan di bawah SMMTC ditubuhkan bagi menyerlahkan kepakaran pusat pengajian di dalam bidang teknologi media dan komunikasi serta merentas disiplin bagi melonjakkan kecemerlangan akademik.
SECARA umumnya, sebuah unit penyelidikan ditafsirkan sebagai satu entiti di bawah institusi akademik atau organisasi yang komited melaksanakan penyelidikan dan menyokong sebarang aktiviti berkaitan penyelidikan.
Anggota sesebuah unit penyelidikan di bawah institusi akademik kebiasaannya terdiri daripada anggota fakulti, pensyarah, penyelidik dan pelajar yang fokus kepada usaha meneroka ilmu pengetahuan baharu di dalam bidang-bidang yang khusus atau antara disiplin.
Manakala, definisi umum kepada aktiviti penyelidikan adalah merujuk kepada satu siasatan terperinci dan bersistematik yang dilaksanakan untuk mencari maklumat baharu, mengesahkan ilmu pengetahuan sedia ada atau mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah.
Penyelidikan melibatkan penggunaan kaedah saintifik untuk menggambarkan, menerangkan, meramal dan mengurus sesuatu fenomena.
Aktiviti penyelidikan mampu menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan di dalam sesuatu bidang.
Dengan itu, penubuhan pusat atau unit penyelidikan oleh sesebuah pusat pengajian pendidikan tinggi dapat melengkapkan peranan dan meningkatkan kemahirannya dari segi sumbangan ke arah pembangunan negara.
Ini kerana, sesebuah pusat penyelidikan dapat menyumbang kepada penerokaan ilmu pengetahuan baharu di dalam bidang akademik, membantu menghasilkan kandungan penerbitan berkualiti tinggi selain memberi peluang kepada pensyarah dan mahasiswa terlibat di dalam projek-projek penyelidikan.
Dengan adanya unit penyelidikan, ia dapat membantu anggota fakulti mengembangkan lagi minat kepada penyelidikan dari segi usaha mendapatkan geran dan penajaan penyelidikan.
Kajian berimpak tinggi yang dihasilkan oleh unit-unit penyelidikan ini seterusnya dapat menyumbang kepada pengukuhan imej atau reputasi sesebuah pusat pengajian universiti sama ada awam atau swasta.
Kesan positif lain daripada penubuhan unit penyelidikan ini adalah mewujudkan satu budaya menghargai usaha penyelidikan selain menggalakkan perkembangan intelektualisme.
Dari segi sumbangan kepada masyarakat pula, penyelidikan dapat dimanfaatkan bagi mengenal pasti cabaran dan mencari jalan penyelesaian masalah dihadapi oleh sesuatu komuniti.
Hasil daripada kajian itu, dapat digunakan sebagai cadangan kepada penggubal dasar untuk merangka dasar-dasar yang sesuai serta bertepatan dengan keperluan masyarakat.
Menurut Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad, penubuhan tiga unit penyelidikan di bawah SMMTC secara tidak langsung memperlihatkan kepakaran pusat pengajian di dalam bidang penyelidikan berkaitan media dan komunikasi.
Penubuhan unit penyelidikan ini melengkapkan peranan SMMTC dan meningkatkan keterlibatan pusat pengajian dari segi memahami perubahan-perubahan yang berlaku di dalam lanskap komunikasi, media konvensional dan media baharu peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Sebagai contoh, apabila ledakan teknologi memberi impak yang besar kepada bidang media dan komunikasi, unit penyelidikan akan mencari jawapan dan mengenal pasti perubahan tersebut secara saintifik menerusi kajian akademik.
Hasilnya, pemahaman mendalam mengenai sesuatu senario dapat menyumbang kepada penambahbaikan kurikulum supaya mahasiswa diberikan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian dengan ekosistem industri dan seiring dengan perubahan-perubahan yang berlaku.
Pengetahuan itu juga dapat dimanfaatkan pihak industri dan juga masyarakat untuk berkembang mengikut arus pembaharuan.
“Salah satu faktor universiti terlibat di dalam bidang penyelidikan adalah bertujuan memperkemaskan aspek pembelajaran dan pengajaran serta penemuan baharu.
Kejayaan di dalam bidang penyelidikan dapat mengukuhkan lagi bidang pengajaran dan pembelajaran sama ada kepada tenaga akademik atau pelajar sesebuah universiti.
Pada masa sama, penyelidikan membolehkan penemuan ilmu-ilmu baharu dan isu-isu yang kompleks dapat difahami secara saintifik apabila ia turut menggabungkan disiplin-disiplin bidang lain di dalam sesuatu projek kajian.
Kemajuan ilmu pengetahuan ini sangat diperlukan bagi membina tamadun dan pemikiran masyarakat yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
“Di bawah SMMTC, kami mempunyai Civic Media Research Unit (CMRU), Advanced Communication Research Unit (ACRU) dan Multimedia Innovation and Digital Humanities (MIDH).
Setiap unit penyelidikan ini mewakili kepakaran pusat pengajian kami dan ketiga-tiganya diketuai sendiri oleh pensyarah berpengalaman SMMTC yang juga mempunyai latar belakang penyelidikan yang mantap.
Hasrat ketiga-tiga unit penyelidikan ini selaras dan menyokong visi SMMTC untuk menjadi pusat kecemerlangan dan rujukan utama dalam bidang pengurusan teknologi multimedia dan komunikasi.
Sejak ketiga-tiga unit ini ditubuhkan, kami terlibat dalam banyak penyelidikan di dalam bidang berkaitan kepakaran kami.
Terima kasih kepada penaja, pemberi geran dan penyumbang dana penyelidikan yang membolehkan kami bergerak aktif di dalam bidang penyelidikan bukan sahaja berkaitan media dan komunikasi tetapi juga penyelidikan merentas disiplin ilmu,” jelas Dr Mohd Khairie.
Sementara itu, Ketua CMRU, Prof Madya Dr Norsiah Abdul Hamid berkata, sebanyak 204 penyelidikan telah dijalankan oleh 18 ahli CMRU sejak ia ditubuhkan sehingga kini yang merangkumi pelbagai bidang berkaitan teknologi media dan komunikasi.
“Sejak ditubuhkan, CMRU menyumbang kepada perkembangan pusat pengajian dari segi geran penyelidikan dan perundingan yang diperoleh daripada pelbagai agensi serta pihak industri.
Selain itu, sumbangan juga terdiri daripada penerbitan buku, bab dalam buku, artikel dalam jurnal berimpak dan berwasit serta artikel majalah yang bermatlamat menambahkan ilmu pengetahuan kepada pembaca serta bidang akademik.
Menerusi penyelidikan ini juga, pemindahan pengetahuan boleh dibuat melibatkan komuniti, menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah dan industri.
CMRU juga aktif menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi kepada golongan sasaran.
“Sesuai dengan objektif penubuhan CMRU, kami pada masa sekarang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan impak penyelidikan kepada komuniti. Bagi tujuan itu, kami mahu menjalin lebih banyak kerjasama dengan kerajaan negeri, sekolah, institusi keagamaan seperti masjid, industri dan pihak berkuasa.
"Kami juga menetapkan sasaran untuk meningkatkan penerbitan artikel mengenai hasil dapatan kajian anggota CMRU supaya pemindahan pengetahuan berlaku lebih meluas.
"CMRU juga bercadang memperbanyakkan sesi dialog dengan komuniti bagi tujuan memperkasa masyarakat dan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi komunikasi pada hari ini.
“Revolusi Internet dan media sosial merupakan satu inovasi yang memberi impak besar kepada kehidupan hari ini, termasuk juga kesan negatif yang dibawa oleh teknologi media.
"Bagi mengimbangi situasi ini, tamadun media juga perlu ditingkatkan supaya penggunaan teknologi media lebih berhemah dan memberi banyak manfaat kepada pengguna berbanding kesan negatif kepada masyarakat,” jelas Dr Norsiah.
Berbeza dengan CMRU, unit penyelidikan ACRU di bawah SMMTC ini pula, menumpukan penyelidikan kepada pelbagai aspek berkaitan komunikasi. Ketuanya, Prof Madya Dr Syarizan Dalib berkata, ACRU banyak terlibat dengan kajian berkaitan pengaruh budaya terhadap interaksi atau komunikasi manusia.
Antaranya ialah kajian mengenai kompetensi antara budaya dalam kalangan pekerja asing di Malaysia.
Kajian itu memperlihatkan bagaimana kepakaran beliau di dalam bidang komunikasi antara budaya dapat dimanfaatkan untuk merangka strategi menangani pelbagai isu berkaitan pekerja asing di negara ini.
“Kajian ini dapat membantu agensi berkaitan untuk mengatasi masalah mengenai pekerja asing.
"Menerusi penyelidikan ini, kita dapat memahami secara terperinci bagaimana pekerja asing boleh menyesuaikan diri di dalam negara kita.
"Menerusi penyelidikan, kita dapat mencari jalan penyelesaian supaya pekerja asing ini diberi pendedahan mengenai budaya Malaysia.
"Ini akan memudahkan mereka bekerja tanpa mencetuskan masalah terutama melibatkan rakyat tempatan kerana mereka sudah memahami budaya tempatan.
“Penyelidikan dapat mempromosikan kepakaran pusat pengajian dan sesebuah universiti itu sendiri.
"Saya pernah bertemu pelajar yang datang ke UUM disebabkan adanya kepakaran pensyarah yang sesuai dengan bidang yang ingin diterokai beliau.
"Walaupun pelajar itu mempunyai banyak pilihan dari segi universiti, dia tetap memilih UUM kerana adanya tenaga pakar yang dapat membimbing beliau bagi mendalami bidang yang diminatinya.
"Ini adalah salah satu faktor kenapa pentingnya aspek penyelidikan kepada sesebuah pusat pengajian. Hasil kajian biasanya diterbitkan di dalam jurnal-jurnal penyelidikan dan boleh diakses dari seluruh dunia.
"Pelajar di negara lain dapat mengenal pasti kepakaran seseorang pensyarah daripada penulisan jurnal.
"Ini, sekali gus dapat menarik minat pelajar asing datang ke Malaysia bagi menyambung pengajian di dalam bidang yang mereka sukai,” katanya lagi.
Kajian budaya di ACRU turut melibatkan fenomena baharu komunikasi seperti proses dan impak digitalisasi.
Beberapa penyelidik ACRU telah terlibat dengan kajian seperti penambahbaikan perkhidmatan televisyen digital di Malaysia serta literasi digital dalam organisasi mahupun masyarakat.
Hasil kajian tersebut telah diterjemahkan dalam bentuk bengkel dan latihan celik digital dalam kalngan pelbagai peringkat masyarakat.
Salah satu unit yang berperanan aktif di dalam pembangunan inovasi pembelajaran dan pengajaran serta produk interaktif lain dengan fokus kepada pengalaman pengguna adalah MIDH yang diketuai Prof Ts Dr Ariffin Abdul Mutalib.
Sebagai pakar di dalam bidang multimedia, unit penyelidikan MIDH memfokuskan kepada interaksi manusia-komputer yang turut dikenali sebagai pengalaman pengguna menggunakan pelbagai aplikasi berkaitan teknologi pengkomputeran.
MIDH menjadi platform kepada pensyarah dan penyelidik di dalam bidang multimedia untuk mendalami aspek antara muka pengguna atau user interface.
Seperti diketahui umum, penggunaan komputer dan perkembangan teknologi sangat meluas pada hari ini.
Senario ini menyediakan satu ruang penyelidikan kepada MIDH untuk mengkaji pengalaman pengguna dan seterusnya membuat penambahbaikan supaya penggunaan komputer dapat meningkatkan lagi produktiviti pengguna.
Selain itu, penelitian terhadap inovasi menjadi satu ciri unik kepada unit penyelidikan MIDH di bawah SMMTC ini.
Hasil kajian inovasi ini kemudian dipindahkan kepada komuniti bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka.
”Antara muka atau interface ini menjadi komponen penting dalam penggunaan komputer yang dinamakan sebagai peringkat interaksi manusia dan komputer.
"MIDH menjalankan penyelidikan berkaitan pengalaman pengguna dari banyak sudut.
"Kebanyakan penyelidikan dilakukan bersama pelajar Doktor Falsafah seperti membina bahan pembelajaran untuk orang cacat pendengaran.
"Sebelum ini, kami juga menghasilkan bahan pembelajaran untuk pelajar yang mengalami rabun teruk dan bahan pembelajaran untuk pelajar lembam.
"Penyelidikan kami di MIDH akan melihat bagaimana kesesuaian inovasi yang dibangunkan ini dari pelbagai sudut supaya golongan sasaran mendapat manfaat daripada penyelidikan ini.
“MIDH juga pernah melakukan penyelidikan membangunkan sistem komputer untuk membantu guru pelatih menggunakan bahan bantu mengajar dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengajaran kepada murid-murid.
"Sehingga kini, MIDH telah melakukan lebih 40 penyelidikan dengan 90 peratus daripadanya berkaitan interaksi manusia dan komputer.
"Kami menerima berbagai geran seperti industri, institusi pengajian tinggi antarabangsa dan agensi kerajaan.
"MIDH bersama pasukan penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa pernah menerima geran penyelidikan bernilai hampir RM500,000 dan dilantik sebagai perunding kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atau MATRADE.
"Ketika itu, kami diberi tugas untuk membangunkan sistem pembelajaran elektronik atau e-pembelajaran untuk membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran mengikut masa mereka sendiri sepenuhnya.
"Projek tersebut dijayakan oleh 8 anggota penyelidik Program Multimedia SMMTC yang bergabung tenaga dengan penyedia kandungan dan penyelidik dari Pusat Pengajian Antarabangsa UUM.
“MIDH menggalakkan anggotanya untuk mempromosi kepakaran mereka terutama di peringkat komuniti. Kepakaran yang dimiliki penyelidik dan MIDH tidak sewajarnya terpendam di dalam kampus semata-mata.
"MIDH mahu melihat hasil penyelidikan terutama berkaitan inovasi memberi manfaat kepada komuniti menerusi program pameran, latihan dan pembangunan kemahiran kepada masyarakat yang secara langsungnya meningkatkan keterlibatan universiti dengan komuniti.
"Antara program berimpak yang baharu dilaksanakan adalah pameran Realiti Maya Imersif (IVR) di kawasan-kawasan setempat yang dijayakan dengan dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Kedah, dan operator telekomunikasi (telco),” jelas Prof Ariffin menutup temu bual dengan Astro AWANI.
Penubuhan unit-unit penyelidikan merupakan tunjang kepada kecemerlangan akademik sesebuah institusi pengajian tinggi kerana ia menggalakkan pemikiran kritikal, meningkatkan hasil sektor pendidikan dan memacu inovasi.
Unit-unit penyelidikan ini akan sentiasa berevolusi sesuai dengan arus perkembangan semasa sekali gus mendorong kepada pemahaman terhadap cabaran-cabaran global yang kompleks.
Oleh itu, sangat penting bagi unit-unit penyelidikan ini terus menerima sokongan dari segi dana-dana penyelidikan.
Ini membolehkan mereka melaksanakan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan ilmu pengetahuan dan penemuan baharu yang impaknya tidak terhad kepada dunia akademik semata-mata tetapi turut memberi manfaat kepada komuniti dan negara.

Khairul Anuar Abdul Malik bertugas sebagai Felo di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Institusi Pengajian Tinggi #unit penyelidikan #kecemerlangan akademik universiti #geran dan penajaan penyelidikan
;