[KOLUMNIS] Pemimpin dan pentadbir dalam mengurus negara maju dengan jiwa merdeka
Yahaya Abdullah
Ogos 30, 2024 23:58 MYT
Ogos 30, 2024 23:58 MYT
NEGARA ini pernah diurus oleh penjajah. Misi mereka mengaut kesuburan dan hasil negara serta mempamerkan kehebatan dengan bermotivasikan 3G yakni 'God, Glory, Gold'.
Begitulah Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu telah dijajah selama lebih kurang 446 tahun. Penjajahan bermula dengan kedatangan Portugis pada tahun 1511, diikuti oleh Belanda dan Jepun kemudian British.
Penjajahan British secara rasmi bermula pada awal abad ke-19 dan berlanjutan sehingga Malaya yang jumlah rakyatnya ketika itu hampir enam juta orang sewaktu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Tarikh itu sehingga kini terpahat dalam jiwa warganegara Malaysia kerana dengan kemerdekaan inilah negara mulai maju setapak melalui satu tempoh pengurusan yang dikenali sebagai 'Malayanisation' yang merujuk kepada proses penyesuaian atau pengintegrasian elemen-elemen budaya, sosial dan politik yang berkaitan dengan identiti Melayu di Malaysia.
Istilah ini sering digunakan dalam konteks pembangunan negara, pendidikan dan penggubalan dasar awam untuk mengutamakan identiti Melayu serta memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat.
Proses ini melibatkan pengukuhan bahasa Melayu, tradisi dan nilai-nilai budaya dalam masyarakat yang pelbagai etnik di Malaysia. Waktu inilah juga, pada 1963 Malaysia ditubuhkan.
Mulai tempoh ini, pengurusan negara diterajui oleh pemimpin dan pentadbir anak watan Malaysia. Pentadbir mulai mendapat latihan dan pendedahan bagi mereka mulai mengurus pengisian erti kemerdekaan.
Banyak sekali cabaran, ujian getir, pengorbanan, sengketa, bencana, penjajahan ideologi, pendatang tanpa izin yang ditangani oleh pemimpin dan pentadbir ketika itu dengan sokongan dan dokongan kesetiaan anggota keselamatan.
Jasa-jasa mereka begitu dihargai sehingga kini lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad bertajuk 'Warisan' masih membekal tenaga dan semangat jati diri anak bangsa.
'The Journey of Malaysia' telah melakar perjalanan sejarah, perkembangan sosial, budaya dan ekonomi hingga ke tahap yang baik dan terpuji. Ini termasuk proses pembentukan negara, integrasi pelbagai etnik, dan pencapaian yang dihadapi oleh Malaysia di samping mempromosikan identiti nasional, pemuliharaan warisan dan pembangunan negara dalam konteks global.
Begitulah motivasi pemimpin dan pentadbir dalam usaha mencapai WAWASAN 2020.
Kini di tahun 2024, kita bukan lagi mengurus pengisian kemerdekaan tetapi dalam proses mengurus negara maju dengan mengambil iktibar akan kepayahan dan megahnya menjadi negara yang merdeka.
Mengurus negara maju merujuk kepada proses dan strategi yang digunakan oleh kerajaan khusus oleh pemimpin dan pentadbir ketika ini dalam usaha memaju dan memacukan negara dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial, politik dan budaya.
Ini termasuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan, penciptaan pekerjaan dan inovasi. Di samping itu, terus menggubal dasar-dasar dan perundangan yang memastikan kesejahteraan rakyat dalam pendidikan, kesihatan dan perumahan.
Semua ini sudah termaktub dalam Blueprint Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merangka reka bentuk terperinci dan digunakan sebagai panduan untuk merancang serta melaksanakan projek atau inisiatif.
Selaku Perdana Menteri, beliau dengan ikhlas dan mesra menegaskan bahawa perkhidmatan awam adalah tonggak utama dalam menyokong usaha menjadikan Malaysia negara terpuji khusus selepas negara melepasi cabaran pandemik yang menakutkan.
Begitupun, beliau mengakui bahawa kunci kepada kejayaan ialah untuk memulihkan keadaan negatif khusus kepada hal integriti dan bagaimana tatakelola perlu dipatuhi serta dilaksanakan.
Dalam buku penulisan oleh Mark Trowell bertajuk Anwar Triumphs disebut “Anwar needs to give Malaysia more confidence in itself and develop and promote a concrete vision for the country, which has grown tired of political machinations and tribal politics. That surely must come about through a period of political stability, sensible reform and good governance.”
Perdana Menteri telah membuat pengumuman pada bulan Ogos 2024 mengenai ganjaran kepada perkhidmatan awam melalui penyesuaian gaji dan pada masa yang sama diumumkan pelantikan Ketua Setiausaha Negara yang baharu iaitu Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar. Ketua Setiausaha Negara yang baharu telah menegaskan bahawa beliau memulakan amanah dan tugas bervisi dengan meletakkan prinsip taat setia.
Tentunya taat setia ini adalah akar kepada kenikmatan yang kita capai pada ketika kita merdeka. Beliau mahukan kepimpinan yang berkesan bagi memastikan pentadbir mendokong visi dan mampu mengurus sumber dengan baik dalam proses pembuatan keputusan.
Sambil itu, ciri-ciri pengurusan yang diharapkan harus berlandaskan kepada mengamalkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.
Justeru, dalam mengurus negara maju dengan jiwa merdeka, pemimpin dan pentadbir memainkan peranan yang sangat penting. Ia bukan sahaja melibatkan kebebasan dari penjajahan, tetapi juga mencakupi aspek pemikiran, tindakan dan tanggungjawab.
Ada empat teras dalam mengurus negara maju bersama jiwa yang merdeka;
1. Jiwa merdeka
Jiwa merdeka merujuk kepada semangat kebebasan yang lahir dalam diri individu dan masyarakat. Ia melibatkan sikap berani untuk berfikir secara kritis, bertindak dengan tanggungjawab dan berusaha untuk mencapai aspirasi negara. Jiwa merdeka juga melibatkan kesedaran untuk menghargai nilai-nilai kebudayaan, warisan dan perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan negara.
2. Kepentingan jiwa merdeka dalam pengurusan negara
Mengurus negara maju memerlukan pemimpin dan pentadbir yang mempunyai visi serta misi yang jelas. Jiwa merdeka membolehkan mereka untuk membuat keputusan yang berani dan inovatif dalam menghadapi cabaran global. Dengan jiwa merdeka, mereka dapat merangka dasar yang berpihak kepada rakyat dan mempromosikan keadilan sosial. Apabila rakyat berjiwa merdeka, mereka akan lebih berperanan dalam proses pembangunan negara. Kesedaran sivik yang tinggi akan mendorong mereka untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti masyarakat, memberikan pendapat dan menyumbang kepada keputusan yang mempengaruhi masa depan negara.
3. Peranan pendidikan dalam memupuk jiwa merdeka
Pendidikan adalah alat yang paling berkesan dalam memupuk jiwa merdeka. Kurikulum yang menekankan nilai-nilai kebangsaan, sejarah negara dan kepentingan toleransi serta perpaduan akan membantu generasi muda memahami serta menghargai erti kemerdekaan. Program-program pendidikan luar bilik darjah seperti kem kepimpinan dan aktiviti kebudayaan juga dapat merangsang semangat patriotisme dalam kalangan pelajar dan anak muda. Selain itu, pendidikan kritis akan melahirkan individu yang berani berfikir dan bersuara. Ini penting dalam konteks negara maju di mana inovasi dan kreativiti diperlukan untuk bersaing di peringkat global dan dunia digital.
4. Cabaran dalam Mengurus Negara Maju
Walaupun negara telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang, terdapat cabaran yang perlu dihadapi. Masalah seperti ketidaksamarataan ekonomi, isu persekitaran dan ketidakadilan sosial memerlukan pendekatan yang holistik juga berkesan. Dalam hal ini, jiwa merdeka memainkan peranan penting. Dengan semangat yang merdeka, pemimpin, pentadbir dan rakyat dapat bersama-sama mencari penyelesaian yang berdaya saing serta mampan. Selain itu, cabaran global seperti perubahan iklim dan pandemik memerlukan kerjasama antarabangsa. Jiwa merdeka juga bermaksud keterbukaan untuk menerima idea-idea baharu dan belajar dari pengalaman negara lain, tanpa mengabaikan identiti serta nilai-nilai tempatan.
Secara kesimpulannya, mengurus negara maju dengan jiwa merdeka adalah suatu proses yang memerlukan kerjasama antara pemimpin, pentadbir dan rakyat. Faktor kefahaman, pertautan dan inspirasi sentiasa menjadi pedoman dalam menilai sesuatu gerak kerja. Setiap individu perlu memainkan peranan mereka dalam memastikan kemajuan yang dikecapi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Dengan memupuk jiwa merdeka, Malaysia bukan sahaja dapat mengekalkan kemajuan yang dicapai, tetapi juga dapat membina masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk generasi akan datang.
Hanya dengan cara ini, Malaysia boleh kekal sebagai sebuah negara maju yang dihormati di persada dunia.
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir JASA dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.