[KOLUMNIS] Pemerkasaan TVET melalui Majlis Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Negara
AWANI Columnist
Disember 8, 2023 12:00 MYT
Disember 8, 2023 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: APABILA kita bercakap mengenai technical, vocational education and training (TVET), kita tidak boleh mengelak daripada bercakap mengenai the future of jobs atau masa hadapan pasaran kerja secara menyeluruh.
Dalam konteks semasa, pasaran kerja negara harus segera melaksanakan pelbagai inisiatif dan insentif yang bersesuaian untuk ia kekal relevan dalam perubahan-perubahan semasa yang sedang berlaku. Antara perubahan tersebut adalah automasi.
Setakat 2017, hampir 50 peratus masa pekerjaan (working time) di Malaysia adalah highly automatable activities.
Pada 2030, diramalkan 25 peratus daripada masa pekerjaan tersebut akan diautomasikan dan memberi kesan kepada 4.5 juta pekerja.
Meskipun begitu, pengautomasian pekerjaan juga akan mewujudkan 1.7 juta pekerjaan baharu, terutama sekali dalam sektor peralihan tenaga, dan industri berasaskan teknologi.
Oleh yang demikian, kerajaan harus memastikan dasar beserta insentif dan insiatif yang berkaitan dapat membuahkan impak dan kesan yang positif kepada pekerja-pekerja di Malaysia pada masa hadapan.
Perlu diingatkan bahawa wacana politik mengenai the future of jobs atau masa hadapan pasaran kerja di Malaysia masih lagi terhad dan dianggap kurang mustahak, walaupun banyak data yang menunjukkan bahawa, dinamika pasaran kerja Malaysia dan rantau ASEAN amat terdedah kepada perubahan-perubahan ekonomi dan sosial semasa.
Sesungguhnya, ia menuntut satu tindakan dan sinergi yang khusus dari kerajaan, sektor awam dan sektor swasta bagi merungkai solusi yang ampuh dalam menghadapi isu-isu berbangkit berkait pasaran kerja Malaysia.
Antara penyelesaian pokok bagi mendepani perubahan-perubahan dan isu berkenaan masa hadapan pasaran kerja Malaysia adalah dengan mengukuhkan keberkesanan latihan teknikal dan vokasional negara.
Dalam erti tersebut, sinergi tersusun melalui Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara perlu dilipatgandakan.
Kerjasama dengan Jerman, seperti yang dirintis oleh kerajaan bagi membangunkan sebuah pelan tindakan untuk TVET amatlah bertepatan dengan keperluan semasa.
Bukan itu sahaja, Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara juga telah merintis kerjasama dalam konteks pembangunan TVET bersama German Chamber of Commerce and Industry (DIHK).
Secara keseluruhannya, pemilihan Jerman sebagai negara yang didekati Malaysia untuk pembangunan TVET amatlah bersesuaian, melihat kepada keupayaan negara itu sendiri.
Budaya ‘Made in Germany’ yang telah berakar dalam naratif ekonomi negara tersebut antara lain merupakan suatu kelebihan yang harus cepat direbut Malaysia.
Jika dahulu kita ada Dasar Pandang ke Timur untuk meningkatkan kepakaran modal insan negara, sudah tiba masanya kita melihat kepada sesetengah negara Eropah dan negara maju dengan pelaburan research and development (R&D) serta eksport produk berteknologi tinggi yang memberangsangkan bagi memenuhi tujuan yang sama.
Dalam konteks Jerman, contohnya, untuk tahun 2019, peruntukan sektor awam dan swasta (public and private spending) dalam bidang R&D adalah sebanyak 3.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu ketiga di Eropah dan terkehadapan berbanding United Kingdom, Perancis dan beberapa negara Kesatuan Eropah lain.
Tentu sekali pelaburan besar tersebut akan membuahkan manfaat kepada penguasaan ilmu kemahiran dan teknikal yang baharu dan kalis masa hadapan.
Malaysia, sebagai sebuah negara berpendapatan menengah atas yang terdedah kepada perubahan-perubahan yang disumbangkan oleh automasi dan pengwujudan teknologi baharu amat memerlukan penyelesaian tuntas untuk mengelola pasaran kerja Malaysia.
Oleh itu, mempelajari dari negara maju dan lebih terkehadapan dari kita merupakan satu tuntutan yang perlu dipenuhi.
Pekerjaan, sebagai sebuah keperluan asasi manusia untuk terus hidup dan berkembang sedang giat berubah.
Satu anjakan yang cepat dan luwes perlu diambil kerajaan, terutama sekali menerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara dengan mengambil amalan dan tatakelola TVET dari negara lebih maju dan berpengalaman daripada kita.
Adalah diharapkan agar peranan aktif majlis tersebut dan kolaborasi yang dirintisnya dapat memastikan modal Malaysia sentiasa relevan dalam perjalanan ekonomi global.
* Abdullah Afiq ialah Pegawai Khas kepada mantan Menteri Besar Johor,dan perunding di Fourseven Consulting.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.