[KOLUMNIS] Pelepasan air Fukushima: Adakah ia merbahaya?

Dr Mohd Idzat Idris
Ogos 27, 2023 09:30 MYT
Kedudukan Malaysia yang sangat jauh tidak mungkin akan mengalami kesan daripada pelepasan air yang telah dirawat dari Fukushima ini kerana telah dicairkan.
BEBERAPA hari lalu kita dimaklumkan bahawa air dari Fukushima ini akan dilepaskan ke laut.
Adakah tindakan ini wajar dan akan menjejaskan ekosistem kehidupan laut seterusnya akan memberi kesan kesihatan kepada manusia yang menggunakan sumber laut sebagai sumber makanan utama?
Sebelum saya mengupas perbincangan ini, baiklah kita ingat mengimbau kembali sejarah hitam kemalangan reaktor yang berlaku di Fukushima, Jepun ini dan apa kaitannya dengan air laut yang menjadi isu pada masa ini.
Sejarah kemalangan reaktor Fukushima
Kemalangan reaktor Fukushima ini berlaku pada 11 Mac 2011.
Ketika ini saya menunggu untuk pulang ke Malaysia setelah habis pengajian di Kyushu University dalam bidang kejuruteraan nuklear.
Kedudukan yang jauh antara Kyushu dan Fukushima lebih kurang 1,500 kilometer tidak dirasai gegarannya tetapi perlu berhati-hati dan bersedia mengambil langkah berjaga-jaga.
Kemalangan ini sebenarnya adalah kemalangan reaktor ketika era moden selepas berlaku kemalangan reaktor Chernobyl pada tahun 1986. Sudah tentu kemalangan Fukushima ini memberi impak yang sangat negatif kepada industri nuklear di dunia.
Ketika tsunami ini melanda pantai Timur Pulau Honshu, reaktor di Fukushima berjaya ditutup dan dikawal dengan baik.
Malangnya, badai tsunami kedua yang berukuran lebih 13 meter sekali lagi melanda dan merosakkan generator dan sumber elektrik bagi tujuan penyejukan reaktor.
Untuk makluman, reaktor nuklear menggunakan Uranium-235 di dalam reaktor core sebagai bahan bakar untuk menjana tenaga elektrik.
Uranium-235 akan mengalami proses dipanggil pembelahan (fission) dan ketika ini tenaga haba, neutron, dan fission product akan terhasil. Haba lebihan yang terhasil perlu disejukkan menggunakan sistem penyejukan.
Akan tetapi, bila mana generator dan sumber elektrik tidak berfungsi, maka proses penyejukan tidak berlaku dan menyebabkan reaktor core berada dalam keadaan panas yang sangat ekstrim sehingga boleh mencapai suhu lebih 2,500 celcius.
Letupan hidrogen berlaku di reaktor menyebabkan pelepasan fission product dan ia tersebar ke utara Barat Fukushima menyebabkan sebahagian besar kawasan ini tercemar dan tidak boleh diduduki lagi.
Pada masa yang sama, reaktor core perlu di sejukkan secara manual menggunakan bantuan dari pihak bomba dan pelbagai agensi yang menggunakan air kolam dan air laut untuk disembur ke reaktor core ini.
Apabila air ini terkena bahan radioaktif ia akan tercemar kerana mengandungi pelbagai radionuklid dan perlu di simpan dan rawat sebelum dilepaskan.
Antara radionuklid yang ada adalah tritium. (radionuklid adalah atom yang tidak stabil dan melepaskan sinaran seperti alfa, beta atau gama untuk menjadi stabil).
Apa itu tritium?
Semua benda terhasil daripada atom. Atom yang mempunyai jumlah proton yang sama tetapi jumlah neutron berbeza dipanggil isotop.
Tritium adalah hidrogen-3 yang mengandungi 1 proton dan 2 neutron (hidrogen stabil mempunyai 1 proton). Tritium adalah bahan radioaktif semula jadi hidrogen yang terhasil dari pelanggaran sinar kosmik dengan molekul air di atmosfera dan terdapat juga di dalam air laut secara semula jadi.
Ia juga terkandung dalam air paip (1 Bq/L) dan tubuh badan manusia (10 – 90 Bq/L) (Bq: becquerel adalah unit untuk mengukur radioaktiviti). Tritium mempunyai separuh hayat (half-life) 12.32 tahun bermaksud radioakativiti akan menjadi separuh selepas 12.32 tahun.
Sebagai contoh, tritium yang mengandungi radioaktivit 10 Bq akan berkurang menjadi 5 Bq selepas 12.32 tahun. Tritium melepaskan sinar beta yang lemah dan tidak boleh menembusi kulit manusia. Walaubagaimanapun, ia akan menjadi hazad jika mengambil secara berlebihan melalui pemakanan dan minuman.
Rawatan air tercemar
Air tercemar dari Fukushima ini perlu dirawat menggunakan Advanced Liquid Processing System (ALPS).
Sistem ini mempunyai sistem tapisan menggunakan beberapa siri tindak balas kimia untuk mengasingkan 62 jenis radionuklid yang ada dalam air tercemar.
Walaubagaimanapun, ALPS tidak mampu untuk mengasingkan tritium kerana jumlahnya yang sangat sedikit dan menyamai jumlah hampir sama dengan tritium yang wujud secara semula jadi.
Secara teknikalnya, tritium adalah hidrogen isotop dan mempunyai ciri hampir sama dengan hidrogen dalam air.
Jadi teknologi ALPS hanya boleh mengasingkan tritum yang pekat (concentrated) sahaja dengan jumlah air yang sedikit.
Selepas kemalangan reaktor berlaku, air tercemar disimpan di dalam tanki yang disediakan oleh pihak Tokyo Electric Power Company (TEPCO).
Sebanyak 1,000 tanki disediakan dengan jumlah 1.3 juta meter cubic. Setelah disimpan lebih dari separuh hayat tritium (12.32 tahun), air tercemar ini dirawat, dicairkan dan perlu dilepaskan.
Teknologi ini telah diperiksa dan dipantau oleh pihak berkuasa antarabangsa iaitu International Atomic Energy Agency (IAEA) bermula bermula pada tahun 2021 dan telah diluluskan setelah semua syarat yang ketat dipatuhi.
Nilai bacaan adalah sangat rendah iaitu 50 kali ganda dibawah paras had yang ditetapkan oleh pihak antarabangsa.
Kesemua maklumat dan laporan boleh dibaca di IAEA Comprehensive Report on the Safety Review of the ALPS-treated Water at the Fukushima Daiichi Nuclear Power Plant.
Malah data pelepasan air ini boleh dilihat secara live di laman web yang disediakan https://www.iaea.org/topics/response/fukushima-daiichi-nuclear-accident/fukushima-daiichi-alps-treated-water-discharge/tepco-data
Tindakan Malaysia dalam menangani isu ini
Seperti yang saya maklum, ketika kejadian kemalangan reaktor Fukushima ini berlaku, saya masih di Kyushu, Jepun yang jaraknya lebih kurang 1,500 kilometer.
Maklumat yang kami terima adalah supaya berjaga-jaga jika ada gempa bumi dan tsunami susulan.
Maklumat kemalangan reaktor diterima, tetapi tidaklah sampai perlu memakai pelitup muka atau berkurung di dalam rumah bagi mengelak kesan sinaran.
Kawasan yang sangat terkesan adalah di utara barat Fukushima dalam radius 50 kilometer dari tapak kemalangan.
Penduduk perlu berpindah dan sehingga sekarang masih belum dibenarkan pulang kerana masih dalam proses rawatan dan proses ini mungkin akan menjangkau sehingga 20 tahun lagi.
Apa yang saya nak sampaikan ialah kedudukan Malaysia yang sangat jauh tidak mungkin akan mengalami kesan daripada pelepasan air yang telah dirawat dari Fukushima ini kerana telah dicairkan.
Malah saya mahu tekankan, air yang telah dirawat itu sudah selamat dan kandungan tritium dalam air ini jauh lebih rendah dari had yang ditetapkan oleh pihak antarabangsa.
Untuk meyakinkan orang awam juga, pihak Jabatan Tenaga Atom, Agensi Nuklear Malaysia, pihak univesiti dan pihak berwajib lain boleh memainkan peranan dalam menganalisis sampel air dan produk makanan laut dari Jepun untuk mengesahkan data yang diterima.
Pengalaman hidup 7.5 tahun di Jepun meyakinkan saya bahawa pihak berwajib mereka sangat bertanggungjawab dalam mengurus hal kebajikan rakyat dan alam sekitar.
Rakyat Jepun lebih mengharapkan sumber makanan laut untuk dijadikan sebagai sushi.
Tidak mungkin mereka akan mencemar laut mereka sendiri tanpa dirawat terlebih dahulu.
Malah, saya sendiri melihat longkang mereka bersih, jernih dan paling terkejutnya terisi dengan ikan Koi!
Dengan teknologi yang canggih, disiplin dan kepakaran mereka, saya yakin mereka mampu untuk mengatasi masalah ini malah mereka sendiri yang memanggil pihak IAEA untuk menyemak proses rawatan air ini.
Malaysia boleh memainkan peranan dalam memantau kedudukan semasa perairan laut dan paling penting belajar dari pihak Jepun bagaimana berdisiplin dalam menjaga alam sekitar.

* Ts. Dr Mohd Idzat Idris merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia yang pernah mengikuti program felo khas bersama IAEA.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #pelepasan air Fukushima #kemalangan reaktor #reaktor nuklear
;