[KOLUMNIS] Nuzul Quran pencetus budaya ilmu

Dr Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali
April 19, 2022 01:00 MYT
Pelatih Madrasah Darul Solihin Al Qadiri membaca ayat suci Al-Quran sempena Hari Nuzul Quran ketika tinjauan di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, 18 Apr 2022. - Gambar hiasan/BERNAMA
SETIAP tahun, umat Islam di Malaysia akan meraikan sambutan Nuzul Quran dalam bulan Ramadan.
Kerajaan Malaysia telah menetapkan tarikh 17 Ramadan pada setiap tahun Hijrah sebagai hari sambutan Nuzul Quran.
Hari Nuzul Quran ini juga adalah hari cuti umum bagi negeri-negeri berikut iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya; Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu.
Nuzul Quran adalah sebuah peristiwa yang amat agung dan sangat penting dalam ajaran Islam.
Selain daripada menandakan secara langsung pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah SAW, peristiwa Nuzul Quran ini juga memberitakan penurunan al-Quran daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia dan penerimaan wahyu pertama oleh Baginda SAW.
Peristiwa bersejarah ini berlaku di Gua Hira, di mana Rasulullah SAW telah didatangi Malaikat Jibril AS untuk membacakan lima ayat pertama daripada Surah al-Alaq, surah ke-96 dalam al-Quran al-Karim.
Berkali-kali Malaikat Jibril AS memerintahkan Rasulullah SAW untuk membacakan wahyu pertama ini, namun ditolak secara lembut oleh Rasul yang mulia kerana Baginda adalah seorang yang ummi, yakni tidak tahu membaca dan menulis.
Peristiwa ini sengaja dicatatkan buat pelajaran kepada seluruh umat. Ini menunjukkan al-Quran bukanlah ciptaan Nabi Muhammad SAW dan merupakan sebenar-benarnya wahyu daripada Allah SWT buat Rasul-Nya yang terakhir ini.
Pencetus Budaya Ilmu
Penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW merupakan petunjuk penting bahawa Baginda akan mendapat bimbingan dan pengajaran secara langsung daripada Allah SWT berkenaan perkara-perkara penting dalam ajaran Islam. Kandungan al-Quran sarat dengan pengajaran utama berkenaan aspek akidah, syariah dan akhlak yang mesti diketahui oleh umat Islam dalam memandu urusan kehidupan sehari-hari.
Fenomena yang sama ini turut dirasai dan telah dilalui oleh para Nabi AS yang terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW, seperti Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Daud, dan Nabi Isa AS.
Ajaran Islam bukanlah agama rekaan dan khayalan minda seorang manusia bernama Muhammad bin Abdullah.
Ramai musuh Islam, termasuklah para orientalis yang menuduh Rasulullah SAW mereka-reka wahyu ini untuk mencipta agama baru di tengah-tengah masyarakat Mekah dan Madinah. Namun terdapat terlalu banyak bukti dan hujah logik yang menafikan tuduhan ini.
Boleh dibaca pelbagai korpus berkenaan al-Quran dan bukti kenabian Muhammad SAW karangan para ulama muktabar untuk memahami isu ini.
Terdapat beberapa sarjana orientalis turut mengkaji dan membahaskan berkenaan al-Quran dan sumbangannya kepada dunia. Sebagai misal, F. Max Muller, profesor perbandingan agama daripada Universiti Oxford, menyenaraikan al-Quran sebagai salah satu kitab suci daripada dunia timur.
Manakala, Bruce B. Lawrence pula menghuraikan biografi al-Quran sebagai salah sebuah buku yang telah mengubah dunia.
Dalam Surah al-Alaq 96, ayat 1-5, Allah SWT berfirman: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)”
Lima ayat wahyu pertama ini jika dibaca secara sepintas lalu seakan-akan suatu perenggan yang biasa sahaja dalam sebuah tulisan atau ucapan. Tapi, hal ini adalah sebaliknya jika ditekuni dalam aspek mesej kenabian dan cahaya petunjuk Rabbani kepada seluruh umat manusia.
Ayat-ayat dalam wahyu pertama inilah pencetus budaya ilmu baharu dalam sebuah masyarakat pagan yang hidup serba kegelapan di Semenanjung Tanah Arab.
Al-Quran adalah Panduan Kehidupan Duniawi dan Ukhrawi
Jika diteliti kajian para sejarawan dan tokoh ilmuwan, masyarakat Arab hidup dalam keadaan yang tidak bertamadun dan serba mundur sebelum kemunculan wahyu pertama al-Quran.
Dalam Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah dinyatakan bahawa masyarakat Arab dalam era Rasulullah SAW adalah ibaratnya manusia yang mempunyai fitrah manusiawi yang baik, cuma tiada pengetahuan mengenai kehidupan yang membawa kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Mereka membunuh anak-anak kecil atas alasan kemuliaan dan kesucian, memusnahkan harta benda atas tujuan kedermawanan, berpesta arak atas nama hiburan, serta saling berperang atas tujuan maruah diri, semangat kaum dan kepahlawanan.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Oleh itu, wahyu pertama ini mengajarkan umat manusia untuk kembali merenung berkenaan kaedah mendapatkan ilmu, mencatatkan ilmu dan sumber pengetahuan bagi membimbing seluruh kehidupan manusia.
Membaca dan menulis adalah antara kemahiran asas yang sangat penting dalam pengajaran, pembelajaran dan pemupukan budaya ilmu.
Meskipun kehidupan manusia sudah serba canggih dalam era digital ini, namun kedua-dua kemahiran asas ini masih lagi diperlukan dan dilatih sebagai wasilah utama bagi semua usaha pendidikan, intelektual, dan inovasi.
Kalimah iqra’ merupakan kalimah Arab yang terangkum dalam wahyu pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W. Iqra’ bermaksud bacalah dan merupakan kalimah suci dalam al-Quran al-Karim.
Majoriti ahli tafsir berpendapat kalimah ini menunjukkan ketinggian nilai ilmu dan kemuliaan amalan keilmuan dalam Islam. Iqra’ dapat difahami sebagai membaca al-Quran al-Karim yang merupakan sumber panduan kehidupan dunia dan akhirat.
Iqra’ juga dapat difahami sebagai membaca buku-buku pengetahuan lainnya, seperti keagamaan, kemanusiaan, kejuruteraan dan perubatan. Pengetahuan-pengetahuan inilah yang membina kehidupan manusia dan menjadi pemangkin kepada pelbagai inovasi yang diperlukan oleh umat sejagat. Dengan itu, budaya ilmu Islam adalah budaya iqra’ atau mudahnya, budaya membaca.
Akan tetapi, setiap bacaan ini adalah penting didasarkan atas ‘nama Allah’ (bismi Rabbika), demi mencari keredaan Allah SWT dan mendapatkan keberkatan-Nya.
Ilmu bukanlah barang dagangan mahupun alat untuk mengeksploitasi segala kewujudan, demi meneruskan penguasaan tamadun manusia ke atas tumbuhan, haiwan dan alam keseluruhannya. Banyak tamadun terdahulu yang muncul dan hilang bersilih ganti kerana penyalahgunaan ilmu untuk kekuasaan dan memenuhi kehendak nafsu semata-mata.
Dalam pandangan alam Islam, ilmu adalah untuk diamalkan, dikongsi dan dihayati, bagi menyebarkan kebaikan yang diajarkan oleh Tuhan buat manfaat seluruh semesta.
Sempena sambutan Nuzul Quran pada tahun ini, marilah bersama-sama kita semarakkan budaya ilmu dalam persekitaran kita.
Boleh mulakan dengan penghayatan tafsir Surah al-Alaq secara jemaah dalam keluarga atau bersama-sama rakan sekolah mahupun sepejabat. Boleh dipilih juga pengajian kitab tafsir yang muktabar seperti Tafsir al-Jalalain, Tafsir Nurul Ihsan, Tafsir Ibn Kathir atau tafsir lainnya.
Selamat menyambut Nuzul Quran 1443 Hijrah buat semua.

* Penulis ialah Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Al-Quran #Ramadan #budaya ilmu #Nuzul Quran