[KOLUMNIS] MYJalan: Ayuh bersama 'cipta' jalan raya yang lebih selamat

Hasimi Muhamad
Ogos 14, 2024 13:20 MYT
Selepas setahun dilancarkan, Program MYJalan ketika ini memasuki fasa jangka sederhana - Foto/fail/AWANI
DATA yang dikeluarkan oleh firma pendidikan pemandu Zutobi dalam kajian bertajuk 'Worst and Best Roads-US and International Ranking' menyenaraikan Malaysia pada ranking ke-12 paling bawah daripada 59 negara dengan kualiti jalan raya yang terburuk.
Laporan pada Oktober 2022 itu antaranya menyatakan kualiti jalan raya di Malaysia jatuh lebih lima peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan merekodkan jumlah kematian jalan raya kedua tertinggi sebanyak 22.76 bagi setiap 100,000 penduduk.
Tidak hanya Malaysia, data sama menunjukkan Kuwait — antara negara yang terkaya di dunia — juga tersenarai sebagai negara yang memiliki jalan raya terburuk dunia.
Mengambil contoh data dan kajian ini, isu jalan rosak atau berlubang di Malaysia memerlukan pendekatan yang bersepadu dan berterusan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Sudah tentu ia tugas bersama yang memerlukan penglibatan semua pihak — masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga kepada agensi dan kementerian yang terbabit.
Setahun Lalu
Setahun lalu, kempen MYJalan dilancarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kini telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya dengan matlamat utama untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pemeliharaan infrastruktur jalan yang berkualiti.
Kempen ini bertujuan mendidik orang ramai tentang amalan pemanduan yang selamat, serta memastikan infrastruktur jalan raya sentiasa dalam keadaan baik.
Sebanyak 17,157 jumlah aduan diterima sejak permulaan kempen MYJalan pada 1 Ogos 2023 hingga 29 Julai 2024.
Daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima, sebanyak 5,178 aduan (30.18 peratus) membabitkan jalan di bawah seliaan agensi KKR.
Manakala, 11,979 aduan (69.82 pratus) adalah milik pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) serta lain-lain.
Daripada 5,178 aduan milik KKR yang diterima, sebanyak 4,772 (92.16 peratus) aduan telah diselesaikan oleh agensi KKR, manakala baki 406 aduan sedang dalam proses tindakan.
Sinergi dengan pelbagai pihak menjadi bukti komitmen KKR untuk memperkasakan dan merakyatkan program MYJalan sebagai satu agenda bersama di peringkat nasional.
Ia termasuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengatasi isu kerosakan dan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.
Kalau rasa 'curiga' dengan keberkesanannya MYJalan, kita sebagai pengguna boleh cuba melakukan eksperimen dengan muat naik aduan tersebut di aplikasi MYJalan mengenai masalah berkaitan dan letakkan gambar sebagai bukti.
Masa Akan Datang
Aplikasi MYJalan - antara sistem aduan yang baik bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya atau perabot jalan dapat dibaik pulih.
Semua jenis aduan jalan akan diterima walaupun ia bukan diselenggara oleh KKR, selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalur penambahbaikan khususnya ketika berlaku kecemasan.
Tetapi apakah ia cukup? Kempen khusus perlu digerakkan untuk mendidik masyarakat tentang cara melaporkan kerosakan jalan dengan betul, pihak terlbat dan betapa pentingnya masalah tersebut dilaporkan secepat mungkin.
Laman sesawang KKR mengenai statistik aduan MYJalan menyatakan berdasarkan pemerhatian, trend aduan mingguan menunjukkan peningkatan jumlah aduan melibatkan aduan seliaan KKR.
Peningkatan ini menunjukkan rakyat semakin jelas mengenai perbezaan bidang kuasa atau pemilik jalan raya di Malaysia dan meletakkan keyakinan untuk memastikan aduan mereka diambil tindakan.
Bergerak ke hadapan, negara-negara seperti Jepun, Jerman, Singapura, Sweden, dan Korea Selatan boleh dijadikan model bagaimana teknologi canggih boleh digunakan untuk memperbaiki dan memelihara sistem jalan raya.
Penggunaan sistem pengurusan trafik pintar, teknologi jalan raya berteknologi tinggi, dan pemantauan berkala adalah kunci kejayaan mereka dalam memastikan sistem jalan raya yang selamat dan efisien.
Fasa Program MYJalan
Selepas setahun dilancarkan, Program MYJalan ketika ini memasuki fasa jangka sederhana.
Pada tahap ini, antara yang akan dijalankan ialah pemantauan tindakan penyenggaraan bersepadu bersama pihak konsesi dan pihak berkuasa tempatan, selain mewujudkan 'Duta Jalan' di setiap peringkat institusi pendidikan.
Untuk tempoh jangka masa panjang (tiga tahun) pula, KKR merancang mengadakan persidangan kebangsaan dan antarabangsa dalam kalangan pakar dan belia.
Selain itu, penambahbaikan aspek perundangan berhubung projek kerja penyelenggaraan jalan.
Pelaksanaan yang sistematik dan komprehensif sepanjang tahun akan membantu mencapai objektif kempen, meningkatkan kesedaran masyarakat, dan mengurangkan kadar kemalangan.
Jadi, apa lagi? Kemudahan sudah ada melalui aplikasi MYJalan. Apa yang kita sebagai rakyat perlu lakukan adalah kesedaran dan memanfaatkan inisiatif itu sebaik mungkin.
Melalui sumbangan kecil dengan melaporkan masalah jalan rosak atau berlubang, mungkin kita boleh menyelamatkan nyawa orang lain.
Ayuh, kita cipta jalan raya yang lebih selamat untuk semua atau sekurang-kurangnya tidak lagi sakit hati dengan masalah jalan berlubang.

* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#jalan berlubang #aplikasi MYJalan #aduan jalan rosak #Kementerian Kerja Raya
;