[KOLUMNIS] MTL: JKR perlu perbanyak hebahan berkaitan amaran bencana
Wan Syamsul Amly
November 3, 2023 22:00 MYT
November 3, 2023 22:00 MYT
MONSUN TIMUR LAUT (MTL) atau musim tengkujuh yang lazimnya membawa curahan hujan yang tinggi, khususnya di negeri pantai timur Semenanjung, Johor serta Sabah dan Sarawak akan bermula November ini hingga Februari 2024.
Sepanjang tempoh berkenaan, bencana banjir dan tanah runtuh, selain ombak kuat dan arus deras dijangka berlaku di negeri terbabit, menjejaskan ribuan penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Bukan setakat itu, bencana yang berlaku turut dijangka memberi kesan terhadap infrastruktur awam di kawasan terjejas, khususnya jalan raya, lebuh raya dan jambatan yang ditenggelami air, runtuh, mendap atau rosak hingga menjejaskan perhubungan penduduk.
Tanpa maklumat atau amaran mengenai situasi itu, mungkin ramai pengguna berdepan risiko terperangkap sama ada disebabkan tiada jalan keluar atau berdepan kesesakan di laluan tertentu, malah lebih buruk lagi mungkin menjadi mangsa dihanyutkan arus deras.
Berpandukan keadaan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dilihat berperanan penting dalam menangani bencana, bukan setakat memantau infrastruktur awam di bawah bidang kuasanya, malah menghebahkan maklumat berkaitan kepada orang ramai.
Sistem amaran bencana
Sistem amaran bencana sangat penting sebagai rujukan orang ramai, terutama pengguna jalan raya dan lebuh raya untuk mengetahui status laluan terjejas akibat banjir atau tanah runtuh, selain mendapatkan maklumat laluan alternatif yang boleh digunakan.
Setakat ini, JKR mempunyai dua sistem amaran bencana yang dipaparkan melalui laman web, selain disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), masing-masing untuk cerun dan status kejadian bencana jalan raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dalam satu kenyataan sebelum ini, berkata amaran bencana tanah runtuh akan dikeluarkan berdasarkan pemeriksaan tanda-tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri.
Beliau dilaporkan berkata, pemantauan cerun untuk sistem amaran tanah runtuh dibantu menerusi pemasangan tolok hujan dengan setakat ini sebanyak 35 stesen tersedia di cerun kritikal sepanjang jalan persekutuan di Semenanjung, khususnya Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.
Katanya, sebanyak 12 lagi stesen tolok hujan akan dipasang di Sabah dan Sarawak bagi mengambil bacaan curahan hujan di setiap cerun berisiko yang dijadikan panduan untuk mengeluarkan amaran awal tanah runtuh oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR.
"Had amaran semasa akan dipaparkan di laman web Sistem Amaran Awal Cerun JKR. Amaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) akan diterima apabila kadar hujan melebihi nilai ambang sebagai amaran awal tanah runtuh," katanya.
Amaran bencana membabitkan jalan raya juga akan dikeluarkan di portal bencana JKR sebagai langkah memastikan keselamatan pengguna jalan raya jika berlaku laluan terjejas sejajar prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani situasi bencana di mana-mana kawasan.
JKR turut menyediakan akaun media sosial seperti Facebook untuk menyebarkan status kejadian bencana jalan raya, selain talian Hotline Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) 03-26107559 / 7727 yang berfungsi sebagai pusat sehenti pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh.
Pada masa sama, Alexander berkata JKR menyediakan perkhidmatan MyJalan bagi membolehkan pengguna menyalurkan sebarang kerosakan jalan raya yang terjejas akibat bencana dengan menghantar foto dan lokasi aduan, memilih jenis aduan, mengisi maklumat aduan dan menghantarnya secara dalam talian.
Kemudahan sistem amaran bencana yang disediakan JKR amat berguna sebagai panduan orang ramai berdepan situasi bencana lebih-lebih lagi sepanjang Monsun Timur Laut yang lazimnya mencatat curahan hujan yang tinggi, iaitu antara 20 peratus hingga 40 peratus lebih tinggi berbanding purata hujan jangka panjang.
Namun, masih ada perkara yang perlu ditambah baik bagi meningkatkan keberkesanan sistem amaran bencana yang dikendalikan jabatan berkenaan dalam menyampaikan maklumat segera dan secara meluas kepada orang ramai.
Umpamanya, selain penggunaan medium digital, kaedah konvensional khususnya pemasangan papan tanda amaran di laluan yang terjejas akibat tanah runtuh atau banjir juga masih diperlukan untuk kemudahan orang ramai yang tidak sempat atau terlupa menyemak amaran dipaparkan di media sosial atau telefon bimbit.
Papan tanda amaran bencana sangat penting, namun JKR perlu menambah baik kaedah pemasangan dengan menyediakan lebih banyak papan tanda di laluan menuju ke sesuatu lokasi bencana mengikut jarak tertentu seperti bermula dengan satu atau dua kilometer, disusuli 500 meter, 250 meter dan seterusnya.
Kaedah itu membolehkan pengguna mendapat maklumat awal sebelum sampai ke lokasi bencana sekali gus memudahkan mereka menukar laluan ke jalan lain yang selamat atau mencari lokasi untuk berhenti, sementara menunggu banjir surut atau kerja pembaikan jalan yang terjejas selesai.
Saiz papan tanda amaran juga perlu ditambah, seboleh-bolehnya menggunakan saiz lebih besar dan dipacak lebih tinggi supaya mudah dilihat dari jarak yang jauh seperti 50 meter, berbanding saiz agak kecil dan diletakkan di pinggir jalan yang hanya dapat dilihat apabila pengguna sampai dekat dengan papan tanda terbabit.
Lampu amaran kecemasan juga perlu dipasang di setiap papan tanda bagi memudahkan lagi pengguna jalan raya mengesan amaran bencana di hadapan mereka terutama pada waktu malam dan ketika cuaca berkabus atau hujan.
Pada masa sama, saluran komunikasi JKR perlu lebih proaktif dengan menyalurkan maklumat amaran bencana tanah runtuh, banjir dan masalah lain membabitkan bidang kuasanya kepada media supaya dapat disebarkan dengan meluas sesegera mungkin.
Unit media atau komunikasi JKR mahupun Kementerian Kerja Raya sendiri perlu dimantapkan supaya menjadi pihak terawal menyalurkan kenyataan amaran bencana kepada media untuk disebar melalui paparan mutakhir di semua saluran berita dalam talian, televisyen atau radio.
Perkara itu penting memandangkan berita online boleh menjangkau jutaan audien pada satu-satu masa, membolehkan maklumat amaran bencana disebar secara meluas sekelip mata kerana mudah dikongsi melalui media sosial.
Berdasarkan statistik di Laman Rasmi Pengurusan Bencana JKR, pengunjung online ke laman berkenaan amat kecil, manakala bilangan pengunjung antara Januari hingga Oktober 2023 hanya kira-kira 200,000 atau purata kira-kira 20,000 pengunjung sebulan atau lebih kurang 600 pengunjung sehari.
Walaupun jumlah pengunjung kelihatan agak besar, namun jika dibandingkan dengan kira-kira 33 juta rakyat Malaysia, peratusnya amat kecil dan bermakna maklumat disalurkan melalui laman berkenaan hanya diakses sebahagian kecil orang ramai, masih jauh mencapai sasaran untuk menyebarluaskan maklumat amaran bencana kepada seramai mungkin orang.
Atas sebab itu, JKR perlu memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan berita online dikendalikan akhbar dan media elektronik arus perdana atau portal berita dan TV yang semakin banyak untuk membantu menyebar amaran bencana yang membabitkan bidang kuasa jabatan berkenaan.
Gabungan semua kaedah itu boleh dianggap sebagai satu rantaian sistem amaran bencana yang perlu diwujudkan bagi memastikan penyebaran maklumat bencana dapat dilakukan dengan pantas dan diterima secara meluas bukan saja di sesuatu kawasan bencana, malah sebagai panduan orang ramai di seluruh negara.
* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.