[KOLUMNIS] MoU Peruntukan Pembangkang: Demi kebaikan dan kematangan ahli politik

Hasimi Muhamad
Oktober 16, 2024 17:07 MYT
Fadillah (kiri) sebelum ini pernah mendedahkan draf MoU, manakala Muhyiddin (kanan) pada 20 September lalu mengatakan PN tidak akan kemukakan sebarang cadangan baharu berkaitan draf - Gambar Astro AWANI
PADA 20 September lalu, Kerajaan Perpaduan mengatakan, pintu rundingan mengenai memorandum persefahaman (MoU) untuk peruntukan Ahli Parlimen pembangkang masih terbuka.
Kenyataan itu menyusul selepas Perikatan Nasional (PN) pada 15 September mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen gabungan itu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin antaranya mengatakan cadangan MoU tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.
Namun, sehari selepas itu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kandungan penuh draf MoU.
Menurut Fadillah, tindakan itu dibuat dengan harapan ia membuktikan ketelusan Kerajaan MADANI dan mahu mewujudkan suasana aman serta harmoni supaya semua Ahli Parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.
Cerita mengenai MoU ini sudah berbulan-bulan kedengaran tetapi penamatnya bagaimana? Atau ia sebenarnya baru memasuki babak pertama untuk rakyat dan pemerhati politik 'meneka' pengakhirannya?
Banyak persoalan yang boleh dibangkitkan; Kenapa 'susah' untuk pembangkang memeterai MoU ini?
Apakah Kerajaan Perpaduan perlu 'bertolak ansur' untuk mencapai persetujuan? Adakah persefahaman ini untuk kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat?
BACA: MoU peruntukan: Pembangkang kekal tolak, tidak kemuka cadangan baharu - Muhyiddin
Setakat 15 Oktober, Dewan Rakyat diberitahu bahawa hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah memberikan maklum balas rasmi berhubung draf MoU tersebut.
Hak Melayu dan Bumiputera
Pembangkang mendakwa beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Bagi saya, MoU ini formula terbaik bagi wujudkan keyakinan dan kepercayaan terhadap usaha rintis politik damai
Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, ia adalah alasan pembangkang untuk tidak menerima dan menolak MoU tersebut.
"Sudah jelas jaminan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diusik sewenang-wenangnya tanpa pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dan perkenan Majlis Raja-Raja.
"Bagi saya kebimbangan dan dakwaan pembangkang (menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera) adalah tidak berasas dan dangkal sama sekali," katanya.
Penulis kemudian membangkitkan persoalan yang berlawanan dengan kebimbangan pembangkang iaitu kemungkinan memorandum itu dapat mempengaruhi hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia.
"Saya setuju MoU ini adalah platform baharu yang boleh memperkukuh hubungan pelbagai kaum yang terjejas akibat 'politiking' melampau oleh kumpulan tertentu khususnya segelintir ahli politik yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik peribadi.
"Bagi saya, MoU ini merupakan satu formula terbaik pada hari ini bagi mewujudkan keyakinan dan kepercayaan terhadap usaha kerajaan merintis politik damai yang menguntungkan rakyat pelbagai kaum," jelas Mohammad Tawfik.
Kandungan draf MoU
Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan menghuraikan enam perkara mengenai draf MoU iaitu; Tempoh berkuat kuasa; Obligasi PN; Obligasi Kerajaan Persekutuan; Ketelusan dan Tiada Kerahsiaan; Pemakaian Undang-undang; dan Pembatalan Memorandum.
Melihat kepada perkara yang terkandung dalam draf MoU tersebut, Mohammad Tawfik menjelaskan, tempoh kuat kuasa yang dicadangkan adalah bersesuaian iaitu dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen Ke-15 atau pada 19 Disember 2027 atau mana yang terdahulu.
Begitu pun, penganalisis politik itu berpendapat, MoU tersebut wajar diteruskan dan disambung jika Kerajaan Perpaduan masih kekal mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana mampu mewujudkan suasana politik damai.
"Bagi obligasi PN, ini sebenarnya tidak membebankan atau menekan pembangkang kecuali gabungan ini mempunyai agenda tertentu yang berlawanan dengan inti pati MoU untuk kepentingan politik sempit dan berbentuk peribadi.
"Malah, hak setiap Ahli Parlimen juga tidak terjejas selagi mana MoU ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Dewan Rakyat.
"Obligasi Kerajaan Persekutuan pula, saya berpandangan Kerajaan Persekutuan tidak sedikit pun menggugat peranan pembangkang atau merampas hak Ahli Parlimen kerana telah jelas tertera hal berkenaan dalam MoU dan dijamin oleh Perlembagaan," ujar beliau.
Mengenai Ketelusan dan Tiada Kerahsiaan, Mohammad Tawfik menegaskan, tidak wujud sebarang muslihat dan helah untuk berselindung menerusi penggubalan MoU tersebut kerana semua inti patinya adalah terbuka untuk tatapan rakyat.
Sehubungan itu katanya, tindakan berkenaan menggambarkan kesediaan Kerajaan Perpaduan untuk merintis kerjasama politik yang jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat, pemulihan ekonomi serta kestabilan politik negara bagi jangka masa panjang.
"Dalam bahagian Pemakaian Undang-undang, MoU yang diketengahkan adalah perjanjian yang dipertanggungjawab kepada undang-undang dan bukan sekadar ‘sembang kosong’ atas kertas sehingga boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan politik peribadi.
"Mana-mana pihak yang tidak serius mengetengahkan inti pati MoU boleh dikenakan tindakan undang-undang, sekali gus memperlihatkan usaha memulihkan ekonomi, hubungan kaum, kerjasama serta kestabilan politik yang berkesinambungan adalah hasil daripada politik yang matang," ujar Mohammad Tawfik.
Bagi Pembatalan Memorandum, menurut beliau bahagian itu memperuntukkan ruang keterbukaan dan hak yang diberikan kepada kedua-dua pihak untuk menilai semula keterikatan mereka dengan MoU yang dipersetujui.
Terima atau tolak?
"Bagi saya penolakan oleh pembangkang memperlihatkan ketidakmatangan politik mereka dan tidak berasas sama sekali.
"Perkara yang baik untuk rakyat perlu disambut oleh semua pihak kerana jelas dalam intipati MoU yang didedahkan secara terbuka ini tidak mempunyai agenda yang terselindung atau berniat jahat," kata Mohammad Tawfik menjawab pertanyaan apakah berasas untuk pembangkang ‘menolak’ atau kerajaan perlu sedikit bertolak-ansur?
Beliau menambah, kerajaan sudah cukup banyak bertolak-ansur dan pihak kerajaan melalui Fadillah telah menyatakan MoU tersebut adalah draf dan rundingan masih berlangsung.
Sebagai usaha mengukuhkan kerjasama dalam pelaksanaan memorandum tersebut, Mohammad Tawfik mencadangkan agar kerajaan membentuk sebuah Jawatankuasa Khas.
Katanya, Jawatankuasa Khas itu akan bertindak sebagai orang tengah yang terdiri daripada pakar akademik dalam politik, undang-undang, ekonomi serta tokoh-tokoh yang dihormati oleh kedua-dua pihak bagi merealisasikan kerjasama antara Kerajaan Perpaduan dan PN dalam melaksanakan MoU tersebut.
"Di samping itu, kerajaan juga boleh menganjurkan referendum secara maya untuk mendapat maklum balas daripada rakyat sama ada usaha menerusi MoU ini disokong kuat oleh mereka atau hanya propaganda pembangkang untuk memanipulasi ‘nama rakyat’ bagi mewujudkan alasan menolak MoU ini," ujar beliau.
Mohammad Tawfik juga menyuarakan keyakinan bahawa majoriti rakyat menerima dan menyokong MoU tersebut berdasarkan persepsi semasa rakyat yang mahukan politik matang, damai serta bosan dengan perseteruan politik yang tidak menguntungkan mereka dan negara.
Kebaikan dan penamat
Rakyat sudah melihat pelbagai krisis politik yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi rakyat juga telah menyaksikan banyak perkara matang yang telah dibuat oleh wakil rakyat, dalam membela nasib mereka - sama ada yang berada di pelosok desa mahupun bandar.
Di pentas politik - Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dilihat sebagai 'seteru' tetapi apa salahnya demi kebaikan rakyat, kisah permusuhan ini diakhiri dengan penamat yang menggembirakan melalui rundingan MoU Kerajaan Perpaduan-PN.
Jangan kerana "gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah".

* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#Dewan Rakyat #Perlembagaan Persekutuan #Perikatan Nasional #Parlimen
;