[KOLUMNIS] Moratorium terhadap pengajian undang-undang: Berhenti syok sendiri
Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Dr Amalina Ahmad Tajudin, Dr Syahirah Abdul Shukor
Februari 5, 2022 19:36 MYT
Februari 5, 2022 19:36 MYT
TERDAPAT sembilan buah institusi pengajian tinggi di Malaysia yang menawarkan Sarjana Muda Undang-undang (LLB) di Malaysia setakat tahun 2022.
Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terkini mendapat pengiktirafan penuh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LKPU) pada tahun 2021.
USIM mengambil masa 10 tahun untuk mendapatkan program LLB diiktiraf sepenuhnya, lantas menunjukkan syarat yang amat ketat dikenakan oleh LKPU dalam menilai kualiti sekolah undang-undang di Malaysia.
Taylor’s University adalah satu-satunya institusi yang belum mendapat pengiktirafan penuh LKPU.
Berbeza dengan universiti lain, graduan undang-undang dari Taylor’s perlu menduduki kursus Sijil Amalan Guaman (SAG) sebelum diterima sebagai ‘orang berkelayakan’ di bawah Akta Profesyen Undang-undang 1976.
Walaupun pelbagai syarat ketat dikenakan, terdapat beberapa pengamal undang-undang yang membuat aduan bahawa graduan undang-undang di Malaysia tidak bersedia untuk latihan dalam kamar.
Antara aduan yang biasa termasuk bahawa graduan undang-undang tidak dilengkapi pengetahuan yang mantap dan kurangnya kemahiran amalan guaman.
Bagi memperbaiki keadaan ini, satu moratorium terhadap penubuhan fakulti undang-undang yang baru telah dikenakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan Malaysia tidak mengalami lambakan graduan undang-undang.
Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, setakat 2021, komposisi peguam terhadap penduduk Malaysia adalah ideal .
Oleh itu, patutkah moratorium yang telah berlangsung selama 15 tahun ini dikekalkan atau tidak?
Masa depan pendidikan undang-undang di Malaysia
Seorang peguam di Malaysia dalam artikelnya berjudul ‘Of the Bench and the Bar’ yang diterbitkan dalam akhbar The Star pada tahun 2020 telah meremehkan keupayaan graduan tempatan, kecuali mereka yang bergraduat dari tiga universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Multimedia.
Dapatan ini adalah berdasarkan pemerhatian penulis itu sendiri tanpa didokong data dan fakta yang munasabah.
Penulis membuat kesimpulan sedemikian kerana mungkin hanya berurusan dengan graduan-graduan daripada tiga universiti yang disebutkan itu.
Selain itu, penulis berkenaan juga mengagungkan Singapura dan United Kingdom sebagai model, seolah-olah pengajian undang-undang di Malaysia tidak berkualiti dan tidak berdaya saing.
Penulis, yang berkemungkinan besar bahasa Inggeris bukanlah bahasa ibundanya, turut merendahkan kemampuan graduan tempatan dalam kefasihan bahasa Inggeris.
Akan tetapi, pengataan ‘syok sendiri’ ini juga tidak didokong oleh sebarang sumber yang sahih.
Graduan tempatan juga disebut tidak memiliki kualiti ‘bersedia beramal’ atau dalam bahasa Inggeris, ‘practice-ready’.
Bagaimanapun, terma ‘bersedia beramal’ itu sendiri tidak pernah didefinisikan di dalam mana-mana pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam.
Malah, definisi ini berbeza dari seorang peguam ke peguam yang lain.
Pengangguran dalam kalangan graduan undang-undang, satu mitos yang perlu diperbetulkan
Berdasarkan laman web Majlis Peguam, terdapat 20,000 peguam yang beramal di Malaysia, iaitu 0.06 paratus dari keseluruhan penduduk negara ini.
Menurut Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, institusi pengajian tinggi menghasilkan 1,700 graduan undang-undang setiap tahun.
Ini bermaksud hanya peratusan yang kecil dari graduan-graduan ini memilih untuk beramal.
Oleh itu, pengamal undang-undang yang membuat kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap institusi pengajian tinggi perlulah berhenti ‘syok sendiri’ dan hidup di alam fana mereka yang tersendiri serta sedar bahawa universiti tidak hanya menghasilkan peguam yang beramal, tetapi juga kemahiran sumber manusia untuk pasaran pekerjaan yang lain.
Menurut kajian kebolehpasaran yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi terhadap graduan tempatan, hanya peratusan kecil yang tidak berhasil mendapatkan pekerjaan setelah bergraduat.
Oleh itu, kenapa perlu moratorium?
Sekiranya para graduan memilih untuk beramal, hanya setelah itu mereka perlu menjalani latihan dalam kamar.
Sekiranya mereka dijangka untuk tahu segala-galanya dan bersedia beramal dari hari pertama, apakah perlunya latihan dalam kamar selama sembilan bulan itu?
Ini juga terpakai terhadap bakal-bakal doktor yang perlu menjalani latihan di hospital selama dua tahun.
Malah, ahli akademik juga wajib menempuh kursus PhD selama tiga tahun (atau mungkin lebih lama daripada itu) sebelum mereka diiktiraf sebagai penyelidik yang berkelayakan.
Berdasarkan logik pengamal undang-undang seperti ini, apakah yang akan jadi sekiranya penyelia PhD menganggap pelajar PhD sudah tahu semuanya persis seorang Profesor atau Profesor Madya yang telah menjalankan penyelidikan bertahun lamanya?
Adilkah sebegitu?
Mungkin pengamal undang-undang ini perlu menjalani pengajian PhD dan merasakan sendiri pengalamannya sebelum memberikan komentar yang kurang baik terhadap universiti yang menghasilkan graduan undang-undang.
Perlunya jawatankuasa bagi mengaudit latihan dalam kamar
Para pelatih akan ditempatkan bersama seorang ‘master’ atau penyelia apabila mereka menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan.
Menurut laman sesawang Majlis Peguam, tugas utama penyelia adalah untuk membantu, membimbing dan menasihati serta menyelia pelatih yang sedang menjalani latihan.
Walaupun terdapat penyelia yang banyak membantu pelatihnya, ada juga penyelia yang tidak mengajarkan hampir apa-apa pun sepanjang sembilan bulan itu.
Adalah tidak bijak menyalahkan universiti kerana kursus undang-undang di universiti diaudit bukan sahaja oleh Lembaga Kelayakan Malaysia tetapi oleh LKPU juga.
Apabila universiti dipersalahkan, adakah para peguam ini memperkecilkan Majlis Peguam yang turut memainkan peranan dalam LKPU?
Adakah mereka memperkecilkan keupayaan badan yang mana peguam-peguam ini menganggotai?
Memandangkan banyak aduan dibuat para peguam ini, sudah tiba masanya LKPU atau Majlis Peguam menubuhkan jawatankuasa bagi menyelia bagaimanakah firma guaman menjalankan latihan dalam kamar.
Tindakan perlu diambil sekiranya para penyelia latihan dalam kamar tidak menjalankan tanggungjawab mereka seperti mana termaktub dalam laman sesawang Majlis Peguam.
Kesimpulan
Para pengamal undang-undang perlu berhenti menunding jari kepada para pendidik di universiti kerana majoriti mereka adalah ahli akademik terpelajar berkelulusan PhD bukan sahaja di dalam, malah dari universiti di luar negara.
Ada dalam kalangan mereka adalah bekas pengamal undang-undang juga.
Selama ini, fakulti undang-undang universiti-universiti di Malaysia telah banyak menghasilkan graduan undang-undang yang berkualiti yang menjadi nadi pembangunan negara, bukan sahaja sebagai pengamal undang-undang, tapi dalam pelbagai bidang.
Mungkin tiba masanya untuk para pengamal undang-undang ini berhenti untuk syok sendiri dan bermuhasabah diri – adakah mereka secara automatik bersedia beramal ketika mula-mula menamatkan pengajian dua atau tiga dekad lalu?
Tidak ada bukti bahawa universiti di Malaysia menghasilkan graduan undang-undang yang tidak berkualiti.
Oleh itu, sewajarnya moratorium diangkat.
Sebaliknya, pihak LKPU dan Majlis Peguam perlu menilai semula kursus latihan dalam kamar yang kini tidak diselia dan diaudit agar semua pelatih dalam kamar dapat menempuh latihan yang optimum.
* Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Dr Syahirah Abdul Syukor dan Dr Amalina Ahmad Tajudin adalah Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.