[KOLUMNIS] Merdekakan diri dari belenggu negatif

Wan Nor Ahmad Syaifuddin
Ogos 29, 2023 12:00 MYT
Kemerdekaan yang dikecapi juga memberi isyarat pengakhiran penderitaan, pemeri kelegaan dan pemacu kejayaan buat para pejuang tanah air yang memecah keringat menjaga dan memelihara tanah ini saat diperlukan. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Gema laungan keramat itu memberi sinar baharu buat seluruh jiwa di Tanah Melayu.
Saat termeterai kemerdekaan, maka bermulalah impak kemajuan bangsa dan negara saban tahun.
Pelbagai peristiwa memahat sejarah terus diukir dan dicerna, menjadi suatu azimat dan panduan buat seluruh rakyat. Kemerdekaan dilaung, menandakan negara ini berdaulat, sebaris dan setaraf dengan negara-negara lainnya.
Kemerdekaan yang dikecapi juga memberi isyarat pengakhiran penderitaan, pemeri kelegaan dan pemacu kejayaan buat para pejuang tanah air yang memecah keringat menjaga dan memelihara tanah ini saat diperlukan.
Walau bagaimanapun, saat berbicara tentang kemerdekaan, kita tidak terkecuali dari dibelenggu perkara-perkara negatif yang pada akhirnya menjamah jiwa dan minda sebagai rakyat yang terbaik.
Oleh itu, penulis ingin menyeru kepada seluruh anak watan, untuk kita bersama merdekakan jua minda, hati dan perilaku kita sebagai seorang insan sejati.
Mengambil pedoman kemerdekaan, memerdekakan diri dari seluruh unsur-unsur negatif juga perlu kita perjuangkan.
Pasakkan elemen-elemen positif dalam diri, agar menjadi rakyat Malaysia yang harmoni bertunjangkan integriti dan minda bestari.
Dalam usaha mencapai kemerdekaan diri dari belenggu negatif, penulis menggariskan tiga (3) panduan untuk direnungi, dihayati dan diamalkan setiap hari.
Pertama, ungkapkan perkataan-perkataan baik dan positif kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Ungkapan atau bicara lafaz yang positif bukan sahaja mencerminkan peribadi, bahkan ia menzahirkan nilai bangsa negara yang penuh kesopanan.
Panduan pertama ini juga berpaksikan kekuatan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah S.A.W bersabda yang membawa masud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia
berkata baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Kedua, memupuk nilai patriotisme dan cintakan negara. Semangat cintakan negara mampu membentuk jati diri seseorang. Semaian benih cinta terhadap negara dalam diri pasti akan menghasilkan kuntuman bunga yang indah untuk ditatap, harum dan selesa kepada minda.
Kegemilangan imej negara di persada antarabangsa juga bermulanya dengan keutuhan rakyatnya yang patriotik sekaligus mampu meraksikan Malaysia di mata dunia.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W pernah berkata pada Makkah yang bermaksud:
“Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, pasti aku tidak akan tinggal di tempat selain daripadamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi).
Sebagaimana kecintaan baginda Rasulullah S.A.W terhadap kota Makkah, begitu jugalah kita perlu mengambil panduan dalam memupuk kecintaan kepada Malaysia.
Ketiga, melatih diri mendirikan solat berkualiti. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah 2: 153).
Pertolongan dan bantuan mutlak hanyalah dipohon kepada Allah SWT.
Dalam melayari bahtera kehidupan seharian, pelbagai isu akan melanda dan mengakibatkan wujudnya tekanan perasaan, pemikiran negatif, kemurungan dan sebagainya.
Sebagai langkah pencegahan utama bagi menghapus segala belenggu negatif ini, marilah kita memelihara dan menjaga solat.
Hal ini kerana, solat merupakan manifestasi insan dalam memohon bantuan dan pertolongan kepada pemilik keagungan.
Solat yang berkualiti juga diperoleh dengan melatih tumpuan atau khusyuk ketika melaksanakannya. Seluruh penumpuan minda, hati dan perilaku ketika mendirikan solat mengajar hambaNya untuk fokus terhadap keesaan dan kebesaran Ilahi.
Sehubungan itu, ayuh anak watan, demi ibu pertiwi, kita bangkit bersama membina masyarakat Malaysia yang merdeka dari penjajahan dan belenggu negatif dalam diri!

* Wan Nor Ahmad Syaifuddin ialah Pegawai Psikologi, Jabatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar
Universiti Malaysia Terengganu.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #Merdeka #belenggu negatif #nilai patriotisme
;