[KOLUMNIS] Merapatkan jurang defisit sosial
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
September 2, 2023 22:12 MYT
September 2, 2023 22:12 MYT
Alhamdulillah , 31 Ogos tahun ini genap 66 tahun Malaysia bebas daripada cengkaman dan campur tangan kuasa asing.
Tamadun yang diberi nama Malaysia ini yang dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu masih dianggap ‘muda’ jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang sudah lama merdeka tetapi masih jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan.
Selama 446 tahun, kuasa imperialis silih berganti menakluki tanah yang kaya dengan pelbagai hasil bumi ini.
Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat telah melalui pelbagai pahit getir yang diperjuangkan oleh pejuang bangsa terdahulu bagi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air.
Tokoh pejuang bangsa seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato’ Maharaja Lela, Mat Salleh, Rosli Dhobi dan Rentap harus sentiasa diingati dan sanjungi kerana pengorbanan mereka membentuk apa yang kita kecapi hari ini.
Perjuangan tersebut disambung oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1956 di kota London.
Presiden pertama Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA), Tun Dato’ Sri Tan Cheng Lock dan Presiden kelima Kongres India Malaysia (MIC) Tun V.T. Sambanthan juga turut serta dalam proses rundingan yang berlangsung selama tiga minggu.
Kata putus berjaya dicapai dengan Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada tahun 1957.
Perjalanan tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Cheng Lock dan V.T. Sambanthan menjadi detik penting kepada keamanan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini.
Namun, apakah hasil dapatan kita kepada kejayaan tersebut? Adakah rundingan tersebut hasil perjuangan individu?
Dapat kita simpulkan bahawa ramuan kepada kemerdekaan negara adalah hasil perpaduan dan toleransi yang telah terbina di antara kaum di Tanah Melayu pada ketika itu.
Kita menerima konsep perpaduan dalam kepelbagaian sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, selepas 66 tahun negara mencapai kemerdekaan, soal perpaduan dalam kalangan masyarakat hari ini masih tidak reda.
Isu-isu sensitif seperti soal hak, warna kulit, kepercayaan agama dan budaya masih sering dipertikaikan.
Kita semua sedar pergolakan kaum akan menggugat kedaulatan negara. Lebih teruk, jika berlaku persengketaan yang melarat, ia akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
Peristiwa 13 Mei 1969 dan rusuhan kaum di Taman Medan pada tahun 2001 merupakan detik hitam yang harus kita hindarkan daripada berulang lagi.
Bagaimanapun usaha untuk mengekalkan keharmonian negara yang memiliki kepelbagaian kaum ini bukan satu perkara yang mudah dan tidak boleh dipandang enteng.
Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum ini khususnya pasca 13 Mei 1969 dengan pengenalan Rukun Negara iaitu ideologi yang menyeragamkan fahaman kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud di Malaysia tetapi ia tidak memberikan kesan yang nyata.
Kini, Rukun Negara hanya sekadar tercatat di belakang buku kerja anak-anak di sekolah tanpa mereka sendiri mengerti bahawa lima prinsip asas tersebut adalah teras untuk perpaduan negara.
Saya percaya Kerajaan hari ini turut menyedari hakikat itu. Enam nilai teras dalam dasar Malaysia Madani menitikberatkan soal perpaduan khususnya nilai kedua, keempat dan keenam iaitu Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan.
Konsep yang baik ini tidak memberikan sebarang makna sekiranya ada individu yang tindak tanduk serta ucapan mereka membentuk pemikiran rakyat masih dikongkong dengan pemikiran sempit.
Saya amat khuatir melihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah ahli politik termasuk daripada pihak Kerajaan dan pembangkang ketika kempen Pilihan Raya Negeri baru-baru ini yang dilihat masih bermain dengan isu perkauman.
Bagaimanapun saya yakin politik negara telah melalui satu fasa yang baharu dan kebanyakan ahli Dewan Rakyat kini adalah pemimpin muda serta mempunyai pemikiran yang lebih terbuka terhadap penyatuan kaum di negara ini.
Generasi baharu pemimpin negara terutamanya ahli politik diharap dapat memainkan peranan penting seperti mana yang telah dimulai oleh Tunku Abdul Rahman dan tokoh-tokoh kemerdekaan yang lain.
Pendekatan untuk memupuk semangat perpaduan harus diubah. Kesepaduan sosial bukan hanya pada makanan atau pakaian tetapi cara pemikiran untuk memahami secara mendalam kepelbagaian yang wujud di negara ini bagi mencari titik persamaan.
Defisit sosial sukar untuk dielakkan di negara ini tetapi jurang perbezaan persepsi dan pendapat dalam kalangan kelompok yang berbeza ini harus dirapatkan melalui usaha berterusan di setiap lapisan masyarakat.
Mengubah pola pemikiran atau persepsi ini harus bermula di rumah. Kerajaan dan pemimpin hanyalah pemangkin untuk mengubah paradigma tetapi keluarga yang perlu memainkan peranan utama bagi menghakis rasa syak wasangka terhadap ras, kepercayaan dan perbezaan warna kulit.
Kita perlu hidup dalam sebuah keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia yang saling lengkap melengkapi. Bukannya terpisah atas kepentingan peribadi dan politik.
Setiap masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran dan faham akan peranan masing-masing untuk membina pemahaman yang baik diiringi nilai keluhuran budi pekerti dalam komuniti.
Perpaduan adalah kesatuan masyarakat yang diidamkan dan merupakan matlamat akhir seluruh rakyat Malaysia yang berbilang etnik ini.
Budaya integriti, amanah, keadilan dan amalan bermusyawarah perlu menjadi nilai asas dalam kerangka perpaduan nasional ini.
Kesimpulannya, semua pihak perlu senada dalam menggalas agenda perpaduan negara kerana ini adalah tanggungjawab setiap warganegara.
Selamat Hari Kebangsaan yang ke-66. Semoga tanah air ini terus aman, makmur dan sejahtera.
* Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan bekas Perdana Menteri.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.