[KOLUMNIS] Memperkasa tatakelola dan integriti: Menelusuri usaha pembaharuan di Wilayah Persekutuan

Datuk Seri Akhbar Satar
Ogos 22, 2024 15:55 MYT
MIG percaya, dengan kepimpinan yang ada, DBKL akan menjadi contoh terbaik dalam aspek tatakelola dan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
DALAM usaha membina negara yang berjaya dan berdaya saing, aspek tatakelola dan integriti menjadi nadi utama yang tidak boleh dipandang remeh. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sering menekankan bahawa keberhasilan negara bukan hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi semata-mata, tetapi juga kepada bagaimana tatakelola diurus dengan penuh integriti. Naratif Malaysia MADANI cukup jelas menegaskan bahawa integriti adalah asas kepada kejayaan sesebuah negara.
Namun begitu, isu-isu rasuah yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seringkali mencemari usaha ke arah pembaharuan ini. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penangkapan beberapa orang staf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana terlibat dengan amalan rasuah. Insiden yang merupakan sebuah rahsia terbuka ini menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat yang mengharapkan pentadbiran yang bersih dan berintegriti tinggi.
Di Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) telah memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan tiada ruang bagi potensi rasuah berlaku. Dengan pendekatan 'zero tolerance' terhadap rasuah, beliau komited dan mengambil tindakan yang tegas dalam memastikan setiap urusan pentadbiran dijalankan dengan telus dan adil. Dr. Zaliha sering menekankan bahawa ketegasan dalam memerangi rasuah adalah kunci kepada pembentukan sebuah pentadbiran yang berintegriti dan bersih.
Pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif juga dilihat sebagai satu langkah reformasi tatakelola yang sangat positif. Maimunah mempunyai latar belakang yang kukuh dalam bidang perancangan bandar dan pembangunan lestari merupakan individu yang berpengalaman luas di peringkat antarabangsa. Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat, sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab terhadap isu-isu perumahan dan pembangunan bandar. Maimunah pernah menjadi Datuk Bandar Pulau Pinang. Sebelum itu, beliau ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dari 2011, dan merupakan wanita pertama dilantik mengetuai sesebuah kerajaan tempatan.
Pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur membawa harapan besar bahawa Kuala Lumpur sedang diurus dengan lebih cekap dan berintegriti tinggi.
Kehadiran tiga orang wanita besi dalam pentadbiran Kuala Lumpur, iaitu Dr. Zaliha Mustafa, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim (Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan) dan Datuk Seri Maimunah, adalah manifestasi jelas berkenaan usaha kerajaan dalam memperkasa pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab. Ketiga-tiga ikon wanita ini bukan sahaja cemerlang dalam bidang masing-masing, tetapi juga membawa nilai integriti yang tinggi dalam pentadbiran mereka. Apa yang bagus, pemimpin wanita, apabila berkerja mereka ini tegas dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan isu integriti, Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (Malaysian Integrity and Governance Society) melihat bahawa pembinaan negara MADANI yang dibayangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan tercapai apabila setiap lapisan masyarakat, terutamanya dalam sektor awam dan pentadbiran, menghayati prinsip integriti dalam setiap tindakan mereka. Integriti bukan sekadar soal etika, tetapi merupakan asas kepada pembentukan sebuah negara yang adil, saksama dan makmur.
Reformasi yang sedang berlaku ini perlu diteruskan dengan sokongan padu daripada semua pihak, termasuk rakyat yang perlu memainkan peranan dalam memantau dan memastikan setiap urusan pentadbiran dijalankan dengan telus. Integriti adalah kunci yang memastikan bahawa segala dasar dan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan, seterusnya membentuk sebuah negara yang sejahtera dan berdaya saing di peringkat global.
Rakyat Kuala Lumpur layak mendapat sebuah bandar raya yang diurus dengan penuh integriti, dan kami yakin bahawa dengan kepimpinan yang ada, DBKL akan menjadi contoh terbaik dalam aspek tatakelola dan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Bersama-sama, kita mampu membina sebuah Kuala Lumpur yang bebas rasuah dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia, sekali gus menyumbang kepada kejayaan negara MADANI yang kita semua impikan.

*Datuk Seri Akhbar Satar adalah Presiden Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (MIG)
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Akhbar Satar #Bandaraya Kuala Lumpur #isu rasuah #integriti dan tatakelola