[KOLUMNIS] Membanteras rasuah muncul sebagai identiti Muslim di Malaysia - Chandra Muzaffar

Dr Chandra Muzaffar
November 29, 2022 15:20 MYT
Membanteras rasuah dan menegakkan integriti telah muncul sebagai identiti masyarakat Muslim dan negara Malaysia. - Gambar hiasan
KEKUATAN peruntukan Islam dalam Perlembagaan bukan faktor utama yang menentukan keberkesanannya dalam konteks masyarakat Malaysia.
Sejarah masyarakat Malaysia, kedudukan masyarakat Islam di negara kita sejak Merdeka, kehadiran kaum-kaum bukan beragama Islam yang agak besar, peranan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing, hakikat demografik Asia Tenggara, malah persekitaran global dan dampaknya terhadap agama Islam dan penduduk Muslim, adalah antara beberapa faktor yang mempengaruhi keberkesanan Islam dalam masyarakat semasa.
Oleh kerana Islam dalam Perlembagaan Malaysia dikaitkan dengan identiti negara ----- Islam adalah agama Persekutuan ( Fasal 3) ---- penilaian terhadap peranan Islam harus dilakukan dari perspektif tersebut.
Dalam dasawarsa enam puluhan dan tujuh puluhan, identiti Islam Malaysia ditonjolkan melalui amalan-amalan utama agama seperti solat ( pembinaan masjid), puasa, hajj ( pengelolaan haj melalui Tabung Haji), kutipan zakat dan sebagainya.
Pada masa yang sama, Malaysia menganjurkan pertandingan Tilawah Al-Quran di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam dasawarsa lapan puluhan identiti Islam Malaysia diperluaskan dengan sistem perbankan Islam dan penubuhan sebuah universiti Islam.
Kedua-dua ini dipelopori oleh kerajaan Malaysia.
Pada masa yang sama, sebahagian besar daripada wanita Muslim memberi keutamaan kepada hijab
sebagai simbol identiti Islam.
Hijab terus menyerlah sebagai identiti wanita Muslim negara sehingga saat ini.
Pada awal kurun ke-21, Malaysia memasyhurkan satu lagi dimensi dalam identiti Islam melalui promosi makanan halal dan produk-produk halal diperingkat domestik dan antarabangsa.
Perdagangan produk halal kini merupakan unsur penting dalam ekonomi negara.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, pada bulan November 2022, satu lagi manifestasi identiti telah wujud dan berkembang --- kali ini melalui kesedaran dan kebangkitan rakyat sendiri.
Apa yang dimaksudkan saya ialah penentangan sebahagian besar pengundi Islam terhadap rasuah dan
korupsi pemimpin-pemimpin tertentu yang telah mengubah sama sekali lanskap politik.
Membanteras rasuah dan menegakkan integriti telah muncul sebagai identiti masyarakat Muslim dan negara Malaysia.
Apakah keprihatinan massa terhadap integriti suatu permulaan akan kefahaman yang lebih mendalam dan lebih menyeluruh tentang identiti ---- kefahaman yang merentasi makanan dan pakaian semata-mata ?
Apakah kita telah sampai pada satu tahap di mana kita sanggup dan sedia memperkuatkan identiti dengan perjuangan untuk menegakkan cita-cita yang lebih besar dan lebih bermakna seperti mengurangkan perbezaan antara golongan kaya dan miskin; mempertingkatkan partisipasi warga biasa dalam pengurusan komuniti; memperbaiki hubungan antara kaum dan agama; dan memelihara alam sekitar?
Apakah identiti Islamik akan membawa pengertian yang lebih mencerminkan inti pati Islam --- iaitu identiti yang mirip pada kemuliaan insan dan keadilan sosial?
Mungkin kita tidak dapat menjawab soalan-soalan ini. Hanya generasi akan datang dengan tafsiran identiti Islamnya yang lebih tulen yang layak memberi jawapannya ... Insya’Allah.
[Seminar Kebangsaan Islam Dalam Sejarah PembentukanPerlembagaan anjuran ACCIN 3 Disember 2022 bertempat di The Cube Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.]

* Dr Chandra Muzaffar, ialah penganalisis politik dan Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST).a
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Perlembagaan Malaysia #masyarakat islam #hijab #identiti Islam
;