[KOLUMNIS] Memahami silaturahim dalam proses pemerkasaan negara
Yahaya Abdullah
Julai 7, 2022 17:38 MYT
Julai 7, 2022 17:38 MYT
MEMPERKASAKAN silaturahim merupakan hal yang dituntut dalam hidup bermasyarakat. Rasa dan cintakan persaudaraan serta rasa pemilikan satu sama lain, sesama individu, berpasukan dalam komuniti, rakyat, pemerintah terbangun apabila kita memahami, bertaut dan terus memberi suntikan inspirasi kepada perkataan dan perluasan makna silaturahim.
Dalam penulisan ini, disentuh mengenai hal kefahaman, pertautan dan inspirasi serta kesyukuran dalam silaturahim. Tetapi sebelum itu, ada kata hikmah atau kata mutiara yang dipinjamkan boleh direnungkan keindahannya.
Misalnya, 'menghargai orang lain, tidak kira sesiapa pun dan jangan pernah menaruh dendam
kepada sesiapa. Isi harimu dengan kebaikan' dan ' matahari tidak pernah memilih siapa yang
harus diberikan sinar'.
Mari kita cuba teladankan, fahami perbedaan dan hargai frasa 'siapa' di dalam kata mutiara berkenaan.
Memahami silaturahim
Silaturahim secara mudahnya difahami adalah talian persahabatan, talian kasih dan penyambung kepada sesuatu kehendak yang mahukan kebaikan. Sewajarnya silaturahim termaktub suatu pernyataan dan perbuatan.
Pernyataan itu ialah suatu pengakuan diri ketika berinteraksi antara sesama insan dan lanjutannya ialah susulan suatu perbuatan yang menyambung dan menjalin hubungan itu melalui cara kebaikan yang bermanfaat dalam konteks sosial di mana kita saling memerlukan satu sama lain.
Di sini kita bangkitkan semangat persaudaraan dalam keluarga, komuniti dan antara rakyat dengan pemerintah. Dalam Islam, banyak sekali penghuraian makna silaturahim disebut. Semuanya berkisar ke arah mencari kesinambungan dan membina pertahanan kesatuan dari berpecah dan berkecai.
Amatlah rugi jika berlaku keretakan dan perpecahan manakala amat beruntung kalau kita memelihara talian silaturahim. Kitalah yang memilih dan kita perlu pilih untuk kebaikan. Justeru, kita perlu berwaspada terhadap anasir yang mahu memutuskan silaturahim.
Sememangnya ada banyak bentuk silaturahim. Antaranya, silaturahim sesama kaum, sesama manusia, memuliakan tetamu dan menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga.
Dalam konteks membangun sosial yakni manusia sebagai makhluk individu dan makhluk sosial pada dasarnya tidak hanya hidup sendirian dalam konteks sosial budaya. Keperluan untuk berkolaberasi, memenuhi keperluan fungsi sosial yakni interaksi sosial amat terkesan dengan proses komunikasi dan proses penyampaian pemikiran.
Dalam era informasi dan peralatan teknologi, silaturahim juga terjalin melalui email, TikTok, Facebook, WhatsApp serta telefon pintar. Jaringan sosial ini tidak membataskan waktu dan jarak. Selain itu, secara konvensionalnya adalah bersemuka dan ziarah amat berkesan bila bertemu dengan wajah yang baik bersama tingkah yang disenangi.
Pertautan silaturahim
Dalam kemasyarakatan, silaturahim ini diamalkan melalui mengunjungi, bertandang, bertegur sapa dan bantu membantu. Ia adalah jambatan yang menghubungkan dua pihak atau lebih. Apa yang lebih dimuliakan ialah bagaimana silaturahim ini dipelihara dan dijaga.
Lebih parah kalau silaturahim itu diamalkan dengan maksud yang tersembunyi di sebalik kebaikan. Kita harus ingat bahawa setiap manusia itu tidak bebas dari melakukan kesalahan dan kekhilafan. Jika dibiarkan akan membiaklah virus yang mencetuskan konflik dan ketegangan.
Justeru, melalui silaturahim khasnya melalui pertemuan dan bersemuka maka keakraban dijaga serta dijauhi dari kacau-bilau dan silaturahim akan terus terjaga dari terus pupus atau hilang.
Jika hilang atau terputus silaturahim, rugilah proses pembinaan suatu muafakat masyarakat dan negara yang baik. Ramai juga yang tidak melihat bahawa silaturahim itu dapat kita kuatkan dengan langkah saling kenal antara satu sama lain dan memperluaskan rasa persaudaraan. Di samping itu, sudah tentulah kita dapat menambah ilmu dan hikmah hidup melalui cerita-cerita perjalanan hidup dan menambah ukhuwah kehidupan.
Tidak menjalankan silaturahim
Tidak bersilaturahim bakal mengundang musibah kerana tanpa silaturahim, nafsu akan mengajak untuk melalukan perbuatan buruk dan syaitan tentu merayu untuk manusia melakukan perbuatan zalim.
Rasa ketidakpedulian lambat laun akan mengikis solidariti, mengundang laknat, menghalau curahan rahmat dan menyegarkan pertumbuhan egoisme.
Bentuk-bentuk pemutus silaturahim adalah;
(i) Tidak kunjung mengunjung
(ii) Tidak pernah menghidupkan semangat senasib dan penanggungan dalam kegembiraan mahupun kesusahan.
(iii) Sombong
(iv) Perpisahan yang lama
(v) Sibuk dengan hal duniawi
(vi) Kurang sabar
(vii) Dengki, fitnah dan gurauan yang keterlaluan
Inspirasi
Kita di Malaysia terdiri dari pelbagai perbezaan dan kesamaannya. Bila kita merdeka, kita dihadapkan dengan persoalan-persoalan sensitif dan boleh pula menggugat sentimen masyarakat berbilang kaum. Barangkali masih belum tebal semangat nasionalisme atau patrotisme sehingga perihal ini menjadi penghalang pada pembinaan silaturahim di kalangan rakyat.
Kini dengan lambakan teknologi internet, makin hari makin dirasai sifat silaturahim semakin nipis. Kita semakin terasa bahawa sudah ada tanda ke arah suatu keruntuhan usaha pembikinan tembok kekuatan. Kita perlu setuju bahawa pembikinan negara melalui pengisian kemerdekaan dan menuju suatu peradaban yang dihormati adalah dianggap suatu hala tuju kejayaan dan pencapaian negara bernama Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan pada 9 Disember 2021 menegaskan, bahawa negara kita diuji sehingga di peringkat antarabangsa dalam banyak hal termasuk kestabilan politik, kesihatan, ekonomi, wabak, dan masalah sosial. Memerangi COVID-19 dan pemulihan ekonomi serta menstabilkan politik adalah fokus kerajaan.
Dugaan ini juga bukan pertama kali. Kita mempunyai pengalaman dan perlu diharungi serta dipulihkan dengan semangat silaturahim. Jika kita keruhkan lagi, maka akan terganggu proses pembangunan.
Perdana Menteri turut memberitahu - 'Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat'. Hakikat inilah yang menjawab kepada betapa pentingnya silaturahim dalam mempertahankan dan membina negara dalam era norma baharu.
Secara kolektif kita bergerak mengharungi dan menerjah rintangan dalam memacu negara ke hadapan bersandarkan semangat kekeluargaan. Sedang kita dilanda pelbagai kerenah, musibah dan gawat, kita harus berpegang kuat pada prinsip silaturahim, solidariti dan lebih dari itu ialah kesyukuran.
Pihak pemerintah sedang melakukan yang terbaik dan kita memberi ruang untuk mereka melakukannya. Melalui kesyukuran ini, kita mulakan dengan mendamaikan rasa dengki dan fitnah.
Dengan kesyukuran, kita amalkan konsep toleransi. Walaupun kita meraikan perbezaan pendapat namun kita perlu segera merapatkan barisan agar negara ini dapat segera pulih dari kancah kekalutan, kepayahan dan kesulitan.
Kita semua ada peranan, bermula dari peringkat individu kepada peringkat yang lebih tinggi antara rakyat dan pemerintah.
Jalinkan silaturahim dan elak dari menuju ke jalan perpecahan yang akhirnya memutuskan silaturahim.
* Yahaya Abdullah adalah bekas Panel Pemikir Jasa (2010-2014).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.