[KOLUMNIS] Manfaat hubungan Malaysia dan UAE
Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
Oktober 30, 2022 10:15 MYT
Oktober 30, 2022 10:15 MYT
PENULIS tertarik dengan laporan berita Astro Awani bertarikh 28 Oktober 2022 berkenaan dengan pelancaran projek perumahan mangsa banjir sumbangan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Projek Perumahan dan Penyampaian Surat Tawaran Bantuan Untuk Mangsa Banjir Negeri Pahang, Sumbangan Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE. Keprihatinan kerajaan UAE dalam membantu Malaysia adalah hasil keakraban hubungan Seri Paduka Al-Sultan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan.
Pada pandangan penulis, keakraban di antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi kemajuan ekonomi kedua-dua negara. Dasar UAE yang mesra pelabur boleh dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan dan pengembangan perniagaan di UAE serta negara-negara di bawah kumpulan GCC (Gulf Cooperation Council).
Dari perspektif perancangan dan pengurusan pasaran buruh, terdapat beberapa bidang yang Malaysia boleh belajar daripada UAE dan dalam masa yang sama ada wujudnya bidang yang UAE boleh mendapat manfaat dari pengalaman Malaysia. Sebagai contoh, Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi (MOHRE) bertanggungjawab memastikan saiz pekerja tempatan (Emiratis) yang berkemahiran di sektor swasta meningkat sekurang-kurangnya 2% setiap tahun. Sistem kuota dan pelbagai kewangan dan bukan kewangan dilaksanakan bagi memastikan perlaksanaan dasar Emiratisasi tersebut. Ini adalah contoh bidang yang UAE boleh belajar daripada Malaysia kerana kita turut mengamalkan kaedah yang hampir sama dalam meningkatkan saiz Bumiputera dalam sektor swasta sejak tahun 1971 melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Emiratisasi ini juga merupakan peluang penembusan pelaburan kepada syarikat Malaysia jika kita boleh menunjukkan kepada mereka pematuhan dasar Emiratisasi.
Semoga pihak kerajaan dan swasta di Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya keakraban hubungan Seri Paduka Al-Sultan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan.
* Penulis adalah Ketua Ekonomi Buruh yang merangkap penasihat Menteri di Kementerian Sumber Manusia & Emiratisasi, UAE
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.