[KOLUMNIS] Malaysia sebagai nakhoda ASEAN: Menangani dan mendepani cabaran global

Syafik Shukri Jalil
Februari 5, 2025 08:40 MYT
Misi kepengerusian Malaysia pada tahun ini meletakkan beberapa keutamaan antaranya Visi Komuniti ASEAN 2045 - Foto/BERNAMA
BERMULA 1 Januari 2025, Malaysia secara rasminya mengambil alih kepengerusian ASEAN daripada Laos dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Di saat dunia berdepan pelbagai konflik dan ketidaktentuan, Malaysia menggalas satu tanggungjawab besar dalam mengemudi rantau ini mendepani cabaran-cabaran mendatang.
Biarpun dilihat sebagai satu penghormatan, namun hakikatnya ASEAN dan dunia kini sudah berubah dan tidak lagi seperti tahun 2015 (kali terakhir Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN) yang lalu.
Ini kerana dunia semakin rencam, berdepan pelbagai cabaran dan kecanggihan teknologi yang tiada sempadan dan halangan yang seterusnya memerlukan usaha secara bersama bagi mendepaninya.
Ketika ini ASEAN terus ‘’mengendong’’ beberapa isu utama seperti krisis dalaman di Myanmar, isu selatan Thailand dan konflik di Laut China Selatan.
Ini bukan perkara baharu dan kesepakatan serantau dalam menjayakan misi ‘’keluar’’ daripada cengkaman konflik perlu diatur sebaiknya.
Selain itu, di peringkat global amnya, kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS) masih ‘’bersengketa’’, rantau Asia Barat terus berkecamuk dan perang antara Rusia dan Ukraine masih belum menemui noktahnya.
Bagi mendepani perkara ini tanpa menjejaskan semua negara dalam ASEAN, setiap negara tidak boleh mengamalkan dasar membelakangkan ASEAN yang akan mampu melebarkan jurang yang sedia ada.
Justeru, dalam meneruskan pelayaran membelah badai lautan yang terus bergelora, ASEAN memerlukan nakhoda yang benar-benar berupaya membawa rantau ini jauh daripada sebarang sengketa seterusnya membawa perubahan yang signifikan bagi kemajuan dan pembangunan berterusan blok ini.
Misi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN
Misi kepengerusian Malaysia pada tahun ini meletakkan beberapa keutamaan antaranya Visi Komuniti ASEAN 2045 yang merupakan satu agenda membimbing pembangunan rantau ini selama dua dekad akan datang.
Semestinya dalam menjayakan agenda besar ini, semua 10 negara dalam blok ini mesti terus bersatu dan sebarang perpecahan yang hanya mampu mengecilkan blok ini perlu dielakkan.
ASEAN tidak boleh dilihat sebagai satu blok yang ‘’tempang’’ di saat rantau-rantau lain terus memperluaskan pengaruh dan menjayakan agenda mereka.
Ini kerana, ketika ini, secara bersama, ASEAN merupakan kuasa ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui jumlah penduduk seramai 677 juta dan gabungan KDNK berjumlah USD3.8 trilion (RM 17.12 trilion).
Justeru sekiranya Visi Komuniti ASEAN 2045 berjaya dicapai, tidak mustahil ASEAN akan menjadi salah satu kuasa ekonomi terbesar dan terus berpengaruh di peringkat global.
Timor Leste sebagai anggota ASEAN
Malaysia ketika ini juga dalam rangka memastikan Timor Leste diterima sebagai anggota penuh ASEAN.
Umum mengetahui negara itu yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002, telah memohon menyertai blok ini pada 2011 namun hanya pada 2022, ia diberi status sebagai negara pemerhati.
Memetik Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 yang dianjurkan di Vientiane, Laos, sesebuah negara yang ingin menyertai ASEAN perlu memenuhi 84 instrumen utama.
Namun pada mesyuarat tersebut, Malaysia mencadangkan agar keanggotaan Timor Leste dalam blok ASEAN dapat dipertimbang dan disegerakan.
Malah pada Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata bahawa Malaysia menyokong permohonan negara itu untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
Bagi memastikan agenda ini direalisasikan, Anwar memainkan peranan penting dalam memberi keyakinan kepada pemimpin serantau bagi mempermudah prosedur ini, seterusnya membolehkan Timor Leste menjadi negara anggota ASEAN ke-11 sebelum kepengerusian ASEAN diserahkan kepada Filipina tahun depan.
Adakah Timor Leste akan menjadi sebahagian blok ASEAN, kita tunggu dan lihat…
Usaha jadikan ASEAN hab tenaga hijau
Menyentuh mengenai tenaga hijau, Malaysia juga menyuarakan komitmen dalam menjayakan dan memastikan inisiatif strategik Grid Kuasa ASEAN (APG) dapat dimeterai tahun ini bagi manfaat serantau.
Ini bertepatan dengan aspirasi global dalam mendepani dan menangani kesan perubahan iklim yang semakin membimbangkan.
Dengan penggunaan tenaga hijau seperti tenaga solar, angin, dan hidro dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil yang menyumbang kepada pemanasan global.
Selain itu, tenaga hijau membantu memelihara sumber semula jadi dan menggalakkan pembangunan yang lebih lestari. Justeru, dengan melabur dalam tenaga hijau, kita dapat memastikan masa depan yang lebih bersih dan sihat untuk generasi akan datang.
Berbalik kepada APG, ia bukan sekadar penyambungan sistem tenaga di darat dan dasar laut malah turut berpotensi menjadikan ASEAN sebagai hab tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan antarabangsa.
Justeru, sekiranya ASEAN tidak mengambil langkah sebagai satu blok dalam usaha ini, kesan jangka panjangnya mungkin kita semua akan terus bergantung kepada bahan api fosil seperti minyak dan gas yang mampu menyebabkan pencemaran udara, peningkatan suhu global dan perubahan iklim yang lebih teruk.
Memetik Pengarah Urusan International Energy Agency (IEA), Fatih Birol, negara-negara di rantau ini mempunyai campuran sumber tenaga yang pelbagai termasuk tenaga boleh diperbaharui yang sangat kompetitif.
Tetapi teknologi tenaga bersih tidak berkembang dengan cukup pantas dan kebergantungan yang berterusan terhadap bahan api fosil menyebabkan negara-negara terdedah kepada risiko masa depan.
Tambahnya, Asia Tenggara dijangka akan menjadi salah satu pemacu terbesar pertumbuhan permintaan tenaga global dalam dekad akan datang, dengan pertumbuhan pesat ekonomi, populasi dan pengeluaran yang mendorong peningkatan penggunaan tenaga, sekali gus mencabar keselamatan tenaga di rantau ini dan usaha mencapai matlamat iklim.
Justeru memastikan inisitiaf APG dapat direalisasikan merupakan satu tanggungjawab besar Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pastinya akan membawa satu perubahan yang memberi impak kepada rantau ini.
Kelebihan kepada Malaysia
Semestinya banyak cabaran akan didepani Malaysia dalam menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini namun daripada sudut pandang positifnya, negara akan menerima tempias yang menguntungkan dalam pelbagai cabang.
Selain dapat meningkatkan pengaruh diplomatik Malaysia, kepengerusian ini juga dilihat sebagai satu platform mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama bersesuaian dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Malah inilah masanya Malaysia menonjolkan keunikkannya dalam kepelbagaian warganya daripada aspek agama dan bangsa, menarik pelaburan dalam industri pelancongan, memperkukuh persepsi yang sejahtera terhadap negara dan peningkatan kerjasama pelancongan serantau.
Untuk itu, diharap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini akan diiktiraf sebaiknya selain mampu memberikan satu petunjuk baharu kepada kesemua negara blok serantau terlibat dalam persekutuan yang dibentuk pada 1967 ini dalam menghadapi dan mendepani cabaran mendatang.

* Syafik Shukri Jalil merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Sarjana dari School of Art and Media, University of Brighton, United Kingdom.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Kepengerusian ASEAN 2025 #ASEAN25 #Anwar Ibrahim
;