[KOLUMNIS] Malaysia MADANI 'benteng' neutralkan politik kebencian, perkauman

Wan Syamsul Amly
November 17, 2023 21:00 MYT
Anwar menjelaskan istilah Madani itu sendiri merujuk kepada tata kelola adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam yang bermula di Madinah.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat baru-baru ini, sekali lagi mengulangi amaran mendesak semua pihak untuk tindak memainkan isu 3R merujuk agama, kaum dan institusi diraja.
Ia bukan kali pertama Kerajaan Perpaduan khususnya Perdana Menteri sendiri mengambil pendekatan tegas untuk menyedarkan semua pihak supaya berhati-hati serta tidak mengambil mudah, apabila lagi menjadikan isu 3R sebagai batu loncatan khususnya demi meraih kepentingan politik atau ketaksuban kuasa.
Ketegasan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dalam menangani isu 3R ini amat wajar. Andai tidak dipantau sebaiknya, siapa tahu impak yang menunggu.
Mimpi paling ngeri, sudah tentulah tragedi ketegangan kaum 13 Mei yang sememangnya diketahui umum dan amat patut dijadikan iktibar.
Natijah tragedi berdarah itu menyebabkan darurat diisytihar, Parlimen digantung selama dua tahun dan pindaan dilakukan terhadap Perlembagaan yang mengehadkan kebebasan bersuara selain penggubalan Akta Hasutan 1948.
Sudah tentu, tiada sesiapa pun mahu keadaan sebegitu berulang lebih-lebih lagi dalam era kini yang dibelenggu elemen VUCA yang merujuk 'Volatiliti' (Pergolakan), 'Uncertainly' (Ketidakpastian), 'Complexity' (Kompleks) dan 'Ambiguity' (Kekaburan/Kesamaran).
Bergerak terus ke hadapan
Hakikatnya, negara perlu bergerak terus ke hadapan. Lantas, bibit yang berisiko menjadi penghalang kepada kemajuan walaupun sedikit harus dikekang sebelum melarat. Dalam konteks Malaysia sendiri yang dibarisi komposisi kaum yang pelbagai, sudah tentu penumpuan kepada soal perpaduan dan kebersamaaan perlu diberikan penekanan, demi memastikan kemakmuran negara terus terpelihara.
Atas dasar inilah rasionalnya Perdana Menteri tidak 'memberi muka' kepada sesiapa sahaja yang ingkar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi mandat penuh untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang tidak mengendahkan amaran berkait isu 3R.
Berdasarkan rekod PDRM, sejumlah 61 kertas siasatan berhubung isu 3R dibuka sejak 27 Mac lalu dan ia membabitkan nama-nama besar dalam kalangan pimpinan politik tanah air.
Antara figura politik disiasat termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketegasan PDRM dalam hal ini tidak hanya tertumpu kepada ahli politik, malah siasatan berkaitan isu 3R turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) serta tidak terkecuali rakyat kebanyakan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) turut bekerjasama rapat dengan PDRM khususnya dalam memantau sebarang muat naik di internet dan media sosial yang menyentuh isu 3R.
Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Perpaduan juga dilapor sedang mengkaji keperluan mewujudkan sebuah akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R berdasarkan aspek sivil.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, akta itu mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa yang mirip kepada Akta Keharmonian Kaum di Singapura, tetapi dirangka dalam konteks Malaysia.
Jelasnya, keperluan mewujudkan akta baharu itu disifatkan wajar kerana buat masa ini sebarang kesalahan melibatkan isu 3R disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 sedangkan akta itu lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah sehingga menyebabkan pendakwaan memakan masa yang lama.
Apa yang pasti, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini hubungan antara kaum dan agama di negara ini semakin rapuh. Lebih memburukkan keadaan, setiap kali adanya pilihan raya, isu 3R sering dijadikan 'senjata' kempen antara parti politik untuk meraih pengaruh dan sokongan.
Kerajaan Perpaduan nyata mengambil tanggungjawab dalam isu ini, malah bersungguh-sungguh mahu meneutralkan politik kebencian antara kaum yang semakin meningkat. Namun ia bukan bermakna kerajaan menutup sepenuhnya ruang untuk bersuara.
Anwar sendiri ketika sidang akhbar pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, menegaskan kerajaan pimpinannya memberi jaminan akan terus melindungi hak orang Melayu dan kedudukan Islam serta Raja-Raja Melayu, dengan pada masa sama tidak mendiskriminasi kaum lain.
"Tidak dinafikan ada suara keresahan sebagainya dipermainkan oleh golongan politik tertentu tanpa mengira wacana, perbahasan serta serangan semasa kempen dalam pilihan raya.
"Jadi, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sekarang adalah Kerajaan Perpaduan akan tetap menjunjung semangat perlembagaan serta melaksanakannya," kata Perdana Menteri ketika itu.
Ikrar Kerajaan Perpaduan pada hari pertama Anwar memegang tampuk pemerintahan negara itu, sewajarnya mencukupi untuk menghilangkan rasa gusar terutama dalam kalangan orang Melayu yang selama ini 'dipasak' dengan pandangan liberalisme terhadap sosok Anwar.
Malah, keberadaan DAP dalam gabungan Kerajaan Perpaduan ketika ini dilihat sering diapi-apikan pihak tertentu untuk menimbulkan 'kekacauan' emosi khususnya kepada orang Melayu menerusi hasutan bertali arus pihak tertentu.
Menyedari hal itu, Perdana Menteri pada Januari lalu memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai konsep pentadbirannya yang menjadi tunjang dan garis panduan dalam mengemudi negara sebagai hala tuju Kerajaan Perpaduan.
Pemilihan Malaysia MADANI membuktikan Kerajaan Perpaduan menjunjung Perlembagaan negara dalam memartabatkan kerangka pentadbiran negara yang bersifat Islamisasi.
Menerusi Malaysia MADANI, Anwar menjelaskan istilah Madani itu sendiri merujuk kepada tata kelola adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam yang bermula di Madinah.
Jelas Anwar, Konsep Malaysia MADANI dibawanya akan mengekang politik perkauman yang selari dengan titah Raja-Raja Melayu serta memberi amaran tentang ancaman pengertian perkauman sempit sehingga membiarkan berlakunya kezaliman.
Ia sekali gus membuktikan komitmen kerajaan pimpinannya melindungi hak orang Melayu dan kedudukan Islam seperti mana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang pasti, hak istimewa orang Melayu, Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu itu tetap dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar disentuh sesiapa.
Ternyata kegusaran bahawa kedudukan Melayu akan tergugat dan terancam kurang tepat dan bersifat persepsi semata-mata.
Perlu juga diingat, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk mentadbir negara hari ini adalah hasil daripada titah saran Yang di-Pertuan, Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sudah tentu sebagai Ketua Agama Islam, Seri Paduka Baginda telah membuat penilaian sewajarnya dalam segenap aspek untuk menilai kemampuan Kerajaan Perpaduan dalam melindungi nasib orang Melayu, institusi raja dan Islam di negara ini.
Perdana Menteri sendiri sememangnya dikenali memulakan kerjaya dalam bidang politik sebagai salah seorang pengasas organisasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), lantas ia antara jaminan beliau diyakini tidak akan sesekali memperjudikan nasib Melayu dan Islam di negara ini.

* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#akta hasutan #Dewan Rakyat #Malaysia Madani #Perlembagaan Persekutuan
;