[KOLUMNIS] Landasan sifar peratus projek sakit, antara implikasi dan strategi
Hasimi Muhamad
Mac 5, 2025 23:31 MYT
Mac 5, 2025 23:31 MYT
KKR melalui Jabatan Kerja Raya memantau sebanyak 1,975 projek fizikal pembinaan dengan jumlah keseluruhan kos projek bernilai RM75.98 bilion - Gambar hiasan/Bernama
SETIAP hari, ribuan pengguna jalan raya terpaksa berdepan dengan kesesakan akibat projek jalan yang masih belum siap. Keadaan ini bukan sahaja membuang masa, tetapi juga meningkatkan kos sara hidup rakyat yang perlu menggunakan laluan alternatif lebih jauh.
Mengambil contoh masalah ini, projek pembinaan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK). Projek lebuh raya sepanjang 66.88 kilometer ini diambil alih Kerajaan Persekutuan daripada Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 2014 lagi.
Ia menelan belanja RM2.33 bilion yang dipecahkan kepada tujuh pakej menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai sebelum bersambung dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi optimis projek lebuh raya itu boleh disiapkan dua tahun lagi apabila kini sudah mencapai tahap kemajuan kira-kira 80 peratus.
Masalah projek lambat siap itu bukan sahaja berlaku bagi satu atau dua projek. Malah, ia seperti amalan biasa yang berlaku di Malaysia. Selain projek KBKK ini, pernah terjadi beberapa projek lain mengalami masalah sama.
Menyebut beberapa contoh, Jambatan Bagan Datuk, Perak. Projek ini mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan jalan yang lebih jauh.
Selain itu, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (Sabah dan Sarawak) dan Lebuhraya EKVE (East Klang Valley Expressway) yang mana projek ini tertangguh akibat isu pengambilan tanah dan alam sekitar, menyebabkan kesesakan di jalan alternatif.
Dalam memenuhi komitmen menyelesaikan masalah ini, Alexander meletakkan tekad tumpuan kementeriannya pada tahun ini adalah mengurangkan jumlah ‘projek sakit’ ke angka sifar walaupun secara purata bilangannya adalah kecil berbanding projek yang telah disiapkan.
Beliau memberi jaminan untuk memantau sendiri pelbagai ketirisan di kementerian dan agensi terlibat kerana banyak rugutan dan aduan diterima. Kementerian Kerja Raya (KKR) harus memainkan peranan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
Sebagai rekod, pada tahun lalu, sebanyak 254 bilangan projek fizikal pembinaan berjaya disiapkan JKR untuk diguna pakai oleh kementerian pelanggan dengan kos projek bernilai RM5.5 bilion.
Justeru, bagi tahun ini, KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau sebanyak 1,975 projek fizikal pembinaan dengan jumlah keseluruhan kos projek bernilai RM75.98 bilion.
Daripada jumlah ini, sebanyak 1,146 projek di peringkat pra pembinaan, manakala 829 projek di peringkat pembinaan dengan 801 projek daripadanya adalah di bawah seliaan JKR.
Setakat bulan lalu, sebanyak 29 daripada 801 projek itu dikategorikan sebagai projek sakit atau meliputi 3.62 peratus, manakala selebihnya iaitu 28 projek sekolah daif di bawah seliaan JKR Sabah.
KKR menggariskan tiga faktor dikenal pasti sebagai penyebab kepada kelewatan projek-projek tersebut iaitu keupayaan kontraktor (77 peratus); faktor pelbagai (20 peratus) dan faktor di pihak pelanggan (3 peratus).
Ke arah harapan, JKR akan menerapkan Alert and Early Warning Mechanism agar projek bermasalah dapat dikenal pasti secepat mungkin sebelum ia menjadi projek sakit.
Mengulas mengenai isu projek sakit ini, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah, Prof. Madya Dr. Ahmad Tarmizi Haron memberitahu, permasalahan pelaksanaan projek awam merupakan cabaran yang dialami kebanyakan negara di dunia.
United Kingdom, sebagai contoh, mencatatkan 30 peratus – 40 peratus projek awam bermasalah yang melibatkan kelewatan masa dan kos tambahan.
Australia, Kanada, India dan beberapa negara Eropah turut mencatatkan purata peratusan hampir sama. Jika mengukur data terkini di Malaysia yang mencatatkan sekitar 3.6 peratus dikategorikan sebagai projek sakit itu, ia masih dikira memuaskan berbanding prestasi negara-negara lain.
Berdasarkan definisi JKR untuk kategori projek sakit, ia berdasarkan status projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus.
“Walaupun nilai 3.6 peratus masih dianggap rendah, ketegasan pihak KKR dalam mengatasi projek sakit wajar dipuji. Ini kerana menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), industri pembinaan membawa kesan penggandaan yang tinggi iaitu sebanyak 2.03.
“Ia mempengaruhi prestasi industri lain secara langsung seperti industri kesihatan, pendidikan, kewangan dan membawa kesan besar dari segi penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” katanya.
Pelbagai implikasi lain boleh berlaku jika projek gagal siap ini tidak diambil serius. Fasiliti kritikal seperti pembangunan klinik kesihatan kerajaan akan terjejas jika projek-projek klinik kesihatan tersebut tidak berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
Berdasarkan data sehingga Oktober 2024, sebanyak 154 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara telah dan sedang dijalankan di bawah RMK-9 membabitkan kos RM14.69 bilion.
Ahmad Tarmizi berkata, KKR menggariskan strategi bersepadu melalui Dasar Pembinaan Negara (DPN) 2030 sebagai langkah proaktif mengatasi masalah ini.
Dasar berkenaan menjadi polisi induk untuk tindakan agensi berkaitan seperti CIDB, JKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan organisasi bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kontraktor Melayu Malaysia, Master Builders Association Malaysia.
Selain itu, pada peringkat pelaksanan seperti JKR, pelbagai kaedah diguna pakai bagi mengelakkan permasalahan projek sakit.
Antaranya Value at Entry, Lukisan Pre Approved Plan (PAP), Kursus Pensijilan Kontraktor Kesihatan, pemantapan Sistem Pengurusan Bersepadu, dan program libat urus untuk pengukuhan kerjasama dengan klien, pihak berkuasa tempatan dan agensi utiliti.
Selain itu, teknologi terkini turut diadaptasi selaras dengan keperluan DPN 2030. Antaranya ialah kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menerapkan kaedah pasang siap seperti permainan Lego, iaitu Building Information Modelling (BIM).
Kaedah ini menerapkan pemodelan digital 3D berinformasi untuk simulasi dan koordinasi projek sebelum kerja-kerja fizikal dijalankan, serta aplikasi perkhidmatan awan J-Cloud JKR bagi meningkatkan efisiensi pengkongsian maklumat dan dokumen projek.
CIDB turut memainkan peranan untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti kontraktor binaan apabila sebanyak 77 peratus faktor keupayaan kontraktor menyumbang kepada projek sakit. Antaranya penggubalan dasar berkaitan peningkatan prestasi kontraktor, penetapan piawaian dan kawalan terhadap kualiti serta tahap keselamatan tapak pembinaan.
“Jika dilihat secara keseluruhan, pelbagai usaha telah digerakkan untuk meningkatkan prestasi projek-projek pembinaan awam di Malaysia. Pelbagai kaedah dan sistem telah dilaksanakan sejak dahulu,” katanya.
Secara dasarnya KKR pada ketika ini sudah berada pada landasan betul untuk meningkatkan prestasi pelaksanaan projek-projek awam sekali gus dapat mengurangkan peratusan projek sakit pada masa hadapan.
Data terkini projek sakit iaitu sebanyak 3.6 peratus itu akan menjadi indikator asas untuk tindakan yang lebih cekap bagi mencapai tahap sifar peratus.
* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.