[KOLUMNIS] Konvensyen Geneva: Apa (lagi) yang perlu kita lakukan demi kemanusiaan?

Aisya Abdul Rahman
September 13, 2024 09:20 MYT
Malaysia dengan konsisten menyuarakan penghormatan UUKA seperti Konvensyen Geneva Keempat dalam konteks pendudukan Israel di wilayah Palestin. - Gambar hiasan/REUTERS
TAHUN ini, dunia memperingati ulang tahun ke-75 penerimapakaian empat Konvensyen Geneva 1949 semasa lebih 120 konflik bersenjata sedang berlaku di serata dunia.
Konvensyen-Konvensyen Geneva adalah triti-triti teras undang-undang kemanusiaan antarabangsa (UUKA) juga dikenali sebagai undang-undang konflik bersenjata atau undang-undang perang.
UUKA bertujuan untuk mencegah dan mengurangkan kesan-kesan terburuk peperangan jika peperangan masih berlaku.
Oleh itu, dengan kekejaman perang yang kita lihat pada skrin-skrin kita saban hari, mudah untuk kita anggap UUKA satu undang-undang yang lemah.
Namun, perlu kita ingat bahawa sebaik-baik undang-undang pun akan hilang ampuhnya jika ia tidak dipatuhi dan disalahgunakan.
Dalam konteks UUKA, ketidakpatuhan dan penyalahgunaan inilah sebenarnya yang menjadi masalah.
Realitinya, UUKA adalah undang-undang yang baik dan sangat luas penerimaannya.
Konvensyen-Konvensyen Geneva khususnya telah diratifikasi secara universal: setiap negara di dunia kini merupakan Negara Pihak kepadanya.
UUKA menegakkan nilai-nilai asas kemanusiaan dan berlandaskan prinsip-prinsip kemanusiaan dalam berperang yang sama wujud dalam agama-agama dan tradisi-tradisi kebudayaan sejak turun temurun.
Banyak negara, termasuk yang kurang stabil, serta kumpulan-kumpulan bersenjata juga giat menghormati UUKA.
Di lapangan, UUKA antaranya telah menyelamatkan nyawa; menyatukan keluarga yang terpisah akibat peperangan; memastikan korban perang dikembalikan dan diberi penghormatan terakhir; dan memudahkan proses perdamaian selepas perang. Sudah tentu kita tidak nampak semua ini dalam tajuk-tajuk utama berita, sebab undang-undang apabila dipatuh bukanlah bahan umpan klik dan apa yang biasa tidak melariskan akhbar.
Penggubal-penggubal Konvensyen-Konvensyen Geneva sendiri antara yang terselamat dari Perang Dunia Kedua.
Mereka telah menyaksikan kedahsyatan perang tersebut seperti genosid, penyeksaan, keganasan seksual, dan kemusnahan bandar-bandar.
Ini bagaimanapun tidak bererti Konvensyen-Konvensyen Geneva kini ketinggalan zaman.
Pada tahun 2021, negara-negara telah bersetuju bahawa UUKA termasuk Konvensyen-Konvensyen Geneva terus terpakai bagi senjata siber yang digunakan dalam konteks konflik-konflik bersenjata.
Pada tahun 2024 sahaja, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang merupakan badan kehakiman utama PBB dalam sekurang-kurangnya tiga keputusan berbeza telah menegaskan pemakaian Konvensyen-Konvensyen Geneva dalam konteks konflik di Gaza dan pendudukan Israel di wilayah Palestin.
UUKA mengikat semua pihak yang berperang dalam sesuatu konflik bersenjata, sama ada negara atau kumpulan bersenjata, dan tanpa mengira siapa, bagaimana atau mengapa konflik itu bermula.
Konvensyen-Konvensyen Geneva khususnya memperuntukkan perlindungan mereka yang tidak, dan tidak lagi, terlibat dalam pertempuran.
Konvensyen Geneva Pertama mewajibkan perlindungan bagi mereka yang cedera dan sakit di medan peperangan darat.
Konvensyen Geneva Kedua pula memastikan rawatan dan penjagaan bagi kombatan-kombatan di laut yang cedera, sakit, dan karam.
Konvensyen Geneva Ketiga memperuntukkan rawatan dan layanan berperikemanusiaan bagi tawanan-tawanan perang.
Konvensyen Geneva Keempat menghendaki perlindungan dan penjagaan orang awam semasa peperangan, termasuk mereka yang ditahan dan mereka yang hidup dibawah pendudukan tentera.
Perkara 3 di bawah keempat-empat Konvensyen Geneva menetapkan piawaian minima yang khusus untuk perlindungan mangsa-mangsa konflik bersenjata bukan antarabangsa (iaitu perang saudara atau antara kumpulan bersenjata).
Pematuhan Konvensyen-Konvensyen Geneva bermula dengan pelaksanaan pada masa aman. Rasionalnya, latihan kebakaran tidak boleh dilakukan semasa kebakaran:
UUKA terlalu sukar untuk dilaksanakan dalam kehuru-haraan peperangan. Dalam hal ini, Perkara 1 dalam keempat-empat Konvensyen Geneva menghendaki semua negara ‘menghormati dan memastikan penghormatan’ peruntukan-peruntukan Konvensyen-Konvensyen Geneva.
‘Memastikan penghormatan’ di sini bukan sahaja bermaksud negara-negara hendaklah bekerjasama untuk menghentikan pelanggaran dan untuk melaksanakan undang-undang ini dengan suci hati.
Ia juga bermaksud dalam bidang kuasa masing-masing, negara-negara perlu memastikan bahawa semua menghormati peruntukan Konvensyen-Konvensyen Geneva termasuk dengan:
Dari sini kita dapat lihat bahawa koordinasi antara tentera dan awam, serta kerjasama pelbagai pihak adalah sangat penting dalam pelaksanaan pada masa aman.
Usaha-usaha ini perlu melibatkan bukan sahaja sektor pertahanan, kesihatan dan undang-undang sahaja; malah juga sektor kritikal kepada kelangsungan hidup seperti kejuruteraan, alam sekitar, komunikasi, dan teknologi.
Oleh sebab pematuhannya semasa konflik (atau tidak) akan memberi kesan kepada kita semua, seramai mungkin antara kita - termasuk makcik, pakcik dan adik-adik kita di mana sahaja mereka berada - perlu tahu tentang asas-asas Konvensyen-Konvensyen Geneva.
Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dalam menggalakkan dan menyokong usaha-usaha pelaksanaan UUKA pada peringkat antarabangsa.
Malaysia merupakan antara 25 negara penyumbang pasukan pengaman paling ramai di dunia, dengan menghantar lebih 40,000 anggota dalam 38 misi pengaman PBB sejak 1960.
Melalui diplomasi, Malaysia juga dengan konsisten menyuarakan penghormatan UUKA seperti Konvensyen Geneva Keempat dalam konteks pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Selain itu, Malaysia telah banyak menyumbang kepada bantuan kemanusiaan bagi konflik-konflik seperti di Afghanistan, Syria dan Ukraine.
Di dalam negara, Jawatankuasa Undang-Undang Kemanusiaan Malaysia (JUKAM) telah ditubuhkan sejak 2007 sebagai penyelaras pelaksanaan UUKA yang berkesan.
Komitmen Malaysia kepada UUKA juga dirangkumkan dalam Kertas Putih Pertahanan (2020-30).
Pada tahun 2022, Buku Panduan UUKA untuk Ahli-Ahli Parlimen Malaysia juga telah dilancarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat (ketika itu) di Parlimen dengan tujuan antaranya untuk meluaskan pengetahuan asas UUKA ke akar umbi.
Buku panduan ini yang kini boleh didapati dalam talian dalam dwibahasa telah diterbitkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (selaras dengan mandat undang-undang mereka).
Kini, risiko konflik di rantau kita sendiri telah meningkat. Dengan perkembangan terkini di sekitar Laut China Selatan, Taiwan, dan hubungan AS-China, risiko ini boleh berlaku bukan sahaja di laut, tetapi juga di ruang siber, dengan menggunakan senjata konvensional dan yang tercanggih.
Kesan konflik-konflik sedia ada seperti di Myanmar terus dirasai, dan ancaman lain seperti perubahan iklim boleh menyukarkan lagi respons.
Oleh itu, Akta Konvensyen Geneva 1962 dan undang-undang lain pelaksanaan Konvensyen-Konvensyen Geneva di Malaysia perlu dikemas kini dengan segera bukan sahaja sebagai tanggungjawab undang-undang negara, tetapi juga sebagai persediaan bencana dan langkah-langkah pencegahan pelanggaran UUKA.
Akta Konvensyen Geneva 1962 tidak pernah disemak semula sejak ia mula berkuatkuasa.
Apa-apa semakan semula Akta ini dengan itu boleh dimulakan dengan menangani jurang undang-undang dalam perlindungan lambang-lambang palang dan Bulan Sabit Merah, serta perlindungan kerja-kerja kemanusiaan.
Malaysia juga wajar mempertimbangkan penyertaan kepada Protokol-Protokol Tambahan Konvensyen-Konvensyen Geneva, seperti sekitar 170 negara lain termasuk Filipina, Singapura, Kemboja, dan Brunei.
Protokol-Protokol Tambahan ini memperluas skop perlindungan untuk mangsa-mangsa kedua-dua jenis konflik bersenjata dan memastikan semakan undang-undang sejajar dengan kemajuan senjata-senjata.
Selepas 75 tahun Konvensyen-Konvensyen Geneva, dan 62 tahun Malaysia menjadi pihak kepadanya, tiba masanya untuk kita terus memperkukuhkan komitmen kita kepada pematuhannya, termasuk melalui semakan semula Akta tersebut.
Bagi mengelakkan dan mengurangkan penderitaan manusia dalam konflik-konflik hari ini dan akan datang, peruntukan dan matlamat kemanusiaan Konvensyen-Konvensyen Geneva hendaklah ditegakkan dan diutamakan.
Kita tak banyak pilihan lain dalam hal ini: undang-undang peperangan yang sering dilanggar dan gagal dilaksanakan hakikatnya bukan undang-undang, dan tanpa undang-undang yang tinggal hanyalah anarki dan kezaliman.

* Aisya Abdul Rahman adalah Pensyarah Kanan Undang-Undang di Universiti Malaya. Dia mantan Penasihat Undang-Undang ICRC dan pernah mengamal undang-undang di Malaysia.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Konvensyen Geneva #kemanusiaan #konflik #perang
;