[KOLUMNIS] Kontrak sosial: Antara polemik dan tanggungjawab
Hisyam Basabah
Mac 17, 2024 16:43 MYT
Mac 17, 2024 16:43 MYT
POLEMIK berhubung kontrak sosial tidak pernah kunjung padam dan sentiasa memercikkan bara dalam belantika sosio-politik negara.
Sebagai sebuah negara yang secara praktikalnya berbilang kaum, Malaysia amat terdedah dengan ketidakstabilan dan begitu berpotensi terjerumus dalam konflik antara kaum. Stereotaip akan membenihkan sentimen, sentimen akan menumbuhkan prejudis, prejudis yang tidak dibendung akan membuahkan konflik, konflik yang berpanjangan akan menyebarkan krisis yang kemudiannya berakhir dengan rusuhan atau perang saudara.
Realitinya, hubungan kaum di Malaysia sememangnya telah membibitkan stereotaip, sentimen dan prejudis terhadap sesuatu kaum, akibat daripada satu kepercayaan yang dipegang dan kadang-kala direka oleh satu kumpulan kepada kumpulan yang lain.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Nguyen Phuang Mai melalui makalahnya yang bertajuk “Potential Problems in Cross Cultural Communications, Stereotypes, Prejudices and Racism”, kebiasaannya, stereotaip berlaku disebabkan oleh situasi yang sering berlaku atau pernah terjadi terhadap sesebuah kelompok terutamanya etnik.
Perkara ini kadangkala berlanjutan ke arah konflik melalui diskriminasi dan segregasi kaum. Secara umumnya, Malaysia sekurang-kurangnya buat masa ini masih lagi mampu bertahan dalam menyerap konflik perkauman kerana penguatkuasaan undang-undang yang baik, namun, suka atau tidak, penguatkuasaan tanpa keinginan untuk saling menerima tidak akan mampu kekal lama.
Sebuah negara bernama Malaysia ini didirikan dengan penuh semangat muhibah, sambil mengetepikan ego dan kemenangan mutlak untuk sesuatu kaum. Secara faktanya, negara ini adalah sebuah negara Melayu, didirikan atas nilai ketatanegaraan Melayu yang bersangkutan sistem pemerintahan, bahasa, perlembagaan dan budaya sebagaimana yang disebut oleh Tatiana Denisova.
Walau bagaimanapun, secara pengoperasiannya ia telah dijadikan sebagai sebuah negara sepunya untuk semua kaum yang sudi menerima kontrak sosial yang telah dipersetujui secara konsensus.
Kontrak sosial merujuk kepada konsep falsafah yang diperkenalkan oleh pemikir politik terkenal seperti Jean-Jacques Rousseau. Konsep ini menggambarkan perjanjian atau persetujuan kolektif oleh dua atau lebih kumpulan masyarakat sebagai asas penubuhan sesebuah kerajaan atau organisasi sosial.
Rousseau membincangkan kontrak sosial dalam karyanya yang terkenal, "The Social Contract" (1762). Baginya, kontrak sosial berlaku apabila individu dalam masyarakat bersetuju untuk membentuk kerajaan bersama dan tunduk kepada peraturan tertentu demi kepentingan bersama dan perlindungan hak-hak semula jadi mereka.
Konsep ini membentuk asas legitimasi pemerintahan, iaitu kuasa kerajaan bersumber daripada persetujuan sukarela rakyat. Walaupun idea ini telah memberi kesan kepada pemikiran politik dan konstitusionalisme, pelaksanaannya boleh berbeza mengikut konteks sejarah dan budaya masyarakat tertentu.
Selain Rousseau, konsep kontrak sosial juga dibincangkan oleh pemikir lain seperti Thomas Hobbes dan John Locke. Hobbes berpendapat bahawa kontrak sosial dibentuk untuk mengatasi keadaan semula jadi yang brutal dan anarkis, manakala Locke berpendapat bahawa tujuan kontrak sosial adalah melindungi hak-hak semula jadi, termasuk hak asasi dan hak pemilikan.
Secara umumnya, kontrak sosial membentuk asas pemahaman bersama tentang tatacara sosial dan politik dalam masyarakat, dan sering kali memainkan peranan penting dalam pemikiran politik dan pembentukan perlembagaan sesuatu negara.
Kontrak sosial negara terdiri daripada 5 perkara yang telah dipersetujui oleh tiga kaum terbesar negara Ketika awal kemerdekaan iaitu hak kewarganegaraan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Mengambil kenyataan kontroversi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui dalam sesi wawancara di dalam siaran televisyen setelit India, Thanti TV, beliau menyatakan masyarakat India di negara ini masih tidak sepenuhnya setia kepada Malaysia berikutan kaum tersebut masih lagi mengidentifikasikan diri mereka dengan identiti negara India, begitu juga dengan kaum Cina yang masih sarat dengan romantisa negara China, ketimbang negara mereka sendiri iaitu Malaysia.
Ujar Tun Dr. Mahathir Mohamad lagi, mereka yakni kaum India dan Cina masih menganggap diri mereka sebagai “orang India dan orang China”, serta tidak bertutur dalam bahasa tempatan di mana mereka dilahirkan dan dibesarkan.
Kenyataan Tun Dr. Mahathir seakan mempunyai asas yang kukuh kerana ia seakan-akan dibuktikan pula oleh cadangan oleh segelintir ahli politik yang mahu mengiktiraf Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dunia selain hidangan “Bak Kut Teh” yang dicadangkan untuk dijadikan hidangan tradisi negara.
Kedua-dua perkara tersebut secara fitrahnya tidak mencerminkan tradisi kenegaraan Malaysia kerana hidangan “Bak Kut Teh” bukan hidangan yang berasal dari negara ini namun berasal dari negara lain manakala Kampung Baru Cina bukan suatu perkara yang mempunyai fitrah nasionalisme Malaysia.
Menurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bahasa adalah ejen utama kepada kesepaduan. Bahasa juga ujar beliau mampu membentuk pemikiran berdasarkan sifat sesuatu Bahasa tersebut.
Maka, apabila seseorang individu atau kumpulan menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa utama mereka, sekalipun mereka bukan leluhurnya berbangsa Melayu, maka semangat dan pemikiran mereka akan dipengaruhi dan cenderung kepada semangat nasionalisme Malaysia, yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaannya.
Begitu juga jika seseorang individu rakyat Malaysia yang lebih mengutamakan Bahasa lain dari Bahasa Kebangsaan Malaysia, maka ia akan dipengaruhi dengan sifat bahasa tersebut yang cenderung kepada nasionalimse sesebuah negara yang lain. Nasionalisme dibentuk dengan sentimen primordial yang mengikat sesuatu kaum terhadap semangat kesatuan negara yang didiami oleh mereka.
Tanggungjawab dalam menjayakan agenda kontrak sosial perlu dipenuhi oleh semua warganegara Malaysia. Kontrak sosial mempunyai agenda yang jelas dalam mempersatukan seluruh rakyat Malaysia dengan mengambil kira kepentingan setiap kaum.
Polemik berhubung beberapa peruntukan afirmatif di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah disebabkan kegagalan untuk memahami kontrak sosial yang menjadi asas pembinaan negara yang mana semua kaum di negara ini pada ketika awal kemerdekaan telah bersetuju untuk memberikan komitmen berkenaan norma-norma, asas perundangan, nilai dan hak-hak sebagaimana yang telah diperuntukkan.
Persetujuan kaum bukan Bumiputera terhadap Islam sebagai agama Persekutuan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan yang tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera melalui Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dinyatakan dalam Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan adalah timbal balas kepada hak kewarganegaraan yang telah diberikan kepada kaum bukan Bumiputera melalui Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.
Sesungguhnya, hak kewarganegaraan ini adalah suatu hak yang tidak boleh dipersoalkan, amanah dan hak yang cukup besar serta amat bernilai kerana individu warganegara dapat hidup secara bernegara dan memperolehi sekalian hak sebagai seorang warganegara yang bebas mengikut peruntukan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi negara.
Justeru, polemik berhubung kontrak sosial ini perlu diperbetulkan dengan pendidikan dan penerangan yang tuntas kepada semua warganegara. Harus difahami bahawasanya peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah mengutamakan keadilan dan bukannya kesamarataan.
Adil dan sama rata adalah dua perkara berbeza, yang seringkali disalah ertikan oleh mereka yang tidak faham dan tidak mahu memahami.
Pemimpin politik, badan-badan kerajaan, institut-institut pengajian awam dan swasta serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan perlu memberi kesedaran dan mengambil tanggungjawab sebagai warganegara yang bermaruah.
Bermaruah dalam erti kata menjadikan agenda nasional berteraskan sistem kenegaraan Malaysia sebagai matlamat utama penyampaian dan pelaksanaan, bukan mempunyai agenda politik yang berorientasikan sistem dan fahaman negara lain.
* Hisyam Basabah ialah penulis bebas dan penganalisis sosial, kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah Sains Politik, Universiti Utara Malaysia.
* Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.