[KOLUMNIS] KKDW kekal komited rapatkan jurang pendapatan rakyat luar bandar

Astro Awani
November 5, 2023 13:00 MYT
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memilih untuk mengupayakan golongan sasar pada sasar jangka masa sederhana dan panjang dengan membantu mereka menceburi bidang keusahawanan dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. - Gambar hiasan
CITA-CITA besar untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi telah lama menjadi naratif pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.
Naratif pembangunan ini seringkali berkait rapat dengan dikotomi untuk memenuhi keperluan dan kehendak pembangunan di antara kawasan luar bandar dan bandar.
Meskipun begitu, Malaysia sekian lama terbukti berupaya untuk mengimbangi dikotomi tersebut dengan adil dan saksama.
Menurut dapatan Jabatan Perangkaan, kadar kemiskinan Malaysia pada 2022 adalah pada 6.2%.
Namun begitu, kadar kemiskinan bagi kawasan luar bandar sejak dari tahun 2019-2022 telah menurun sebanyak 0.4%, iaitu daripada 12.4% kepada 12% setakat 2022.
Walaupun begitu, kerajaan kekal komited untuk merapatkan lagi jurang pendapatan rakyat menerusi pelbagai dasar dan inisiatif di bawah kendalian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Instrumen pembasmian kemiskinan seringkali dikaitkan dengan pemberian bantuan kewangan dan juga subsidi bersasar.
Menurut dapatan Bank Dunia, 78% penduduk Malaysia yang menerima bantuan sosial namun majoritinya tertumpu pada golongan yang tidak layak menerimanya, atau seperti yang sering dikatakan YAB Perdana Menteri, golongan ‘mahakaya.’
Berdasarkan dapatan Bank Dunia juga, hanya sekitar 49% bantuan kewangan dan subsidi bersasar pergi ke golongansasar daripada kumpulan pendapatan B40.
Menyedari hakikat tersebut, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memilih untuk mengupayakan golongan sasar pada sasar jangka masa sederhana dan panjang dengan membantu mereka menceburi bidang keusahawanan dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Aktiviti keusahawanan dilihat sebagai satu instrumen pembasmian kemiskinan yang berhasil membuatkan mereka berdiri dengan kaki sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan terus Kerajaan semata-mata.
Keusahawanan, sebagai salah satu economic cake atau kek ekonomi yang berkembang saban tahun berupaya menyediakan seribu satu peluang dan potensi bagi pelbagai golongan masyarakat khususnya bagi mereka yang kurang bernasib baik.
Pada tahun 2022, sebanyak 38.4% KDNK negara disumbangkan oleh sektor PMKS, dengan jumlah RM580.4 bilion. Peningkatan ini menjadikan sektor PMKS, dan secara langsung aktiviti keusahawanan itu sendiri sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negara.
Melihat pada kedudukan fiskal negara yang terhad, setiap sen wang perbendaharaan haruslah diperuntukkan kepada program pengupayaan jangka masa sederhana dan panjang, terutama sekali dalam usaha merapatkan jurang pendapatan rakyat Malaysia di segenap desa dan wilayah.
Sejajar dengan itu, KKDW mensasarkan untuk melaksanakan program keusahawanan di seluruh negara dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 400 usahawan luar bandar. KKDW juga mempunyai Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) yang merupakan bantuan pembiayaan berbentuk geran penuh sehingga RM10 ribu sebagai sokongan kepada usahawan mikro luar bandar bagi tujuan mengukuh dan mengembangkan perniagaan.
Selain itu, tumpuan juga diberikan KKDW dalam mengupayakan PMKS untuk menceburi sektor ekonomi digital melalui pendigitalan yang komprehensif.
Sehubungan dengan itu, KKDW sedang melaksanakan Program Pendigitalan Usahawan Desa telah membantu usahawan-usahawan desa mendigitalkan perniagaan mereka dari segi pemasaran mahupun pengoperasian perniagaan bagi memudahkan mereka menceburi perniagaan secara atas talian.
Bagi tahun 2023, sebanyak RM1.7 juta telah diperuntukan bagi program ini dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 usahawan.
Setakat Ogos 2023, seramai 1,247 usahawan telah menyertai program dan pencapaian ini telah melepasi sasaran yang telah ditetapkan.
Usaha merapatkan jurang pendapatan rakyat luar bandar tidak hanya bergantung pada instrumen pembasmian kemiskinan berdasarkan pemberian bantuan kewangan dan subsidi bersasar semata-mata.
Pendekatan KKDW melalui pengupayaan jangka masa sederhana dan panjang kepada usahawan dalam sektor PMKS mampu memberikan mereka peluang dan ruang untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa bergantung kepada bantuan-bantuan lain.
Diharapkan agar usaha KKDW ini bukan sahaja dapat mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar saban tahun dan merapatkan jurang pendapatan antara wilayah, desa dan individu, ia juga mampu menjadikan ekonomi Malaysia lebih mampan dan saksama pada semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan-perbezaan yang ada.

* Abdullah Afiq ialah Pegawai Khas kepada mantan Menteri Besar Johor, dan konsultan di Fourseven Consulting.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah #kek ekonomi #Pembangunan Luar Bandar
;