[KOLUMNIS] Kisah Jawi: Anak tiri atau anak jati?
Azura Halid
Disember 23, 2023 09:00 MYT
Disember 23, 2023 09:00 MYT
ORANG Melayu dan tulisan Jawi sewajarnya tidak terpisah kerana Jawi itu berasal-usul daripada tulisan Arab. Manakala tulisan Arab itu sudah termaktub sebagai tulisan dalam mukjizat terakhir Nabi Muhammad SAW, iaitu al-Quran. Islam dan Melayu khususnya di Malaysia adalah entiti yang seiringan.
Percaya kepada kitab (termasuk al-Quran) merupakan salah satu Rukun Iman. Bertitik tolak daripada tulisan Arab inilah maka tulisan Jawi menjadi tulisan orang Melayu.
Sejarah Awal
Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi merupakan saksi paling tua tentang kewujudan tulisan Jawi di Tanah Melayu. Batu Bersurat Terengganu mempunyai lakaran tulisan Jawi yang pertama seumpamanya ditemui di Malaysia.
The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah mengisytihar Batu Bersurat Terengganu sebagai barang purba bernilai tinggi dan diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2009. Para pengkaji pula mengatakan tulisan Jawi ini telah wujud dan digunakan oleh masyarakat setempat 50 tahun sebelum tarikh ia dipahat pada batu tersebut.
Kajian para sarjana mendapati sekurang-kurangnya 7000 naskhah manuskrip Jawi masih tersimpan di Eropah dan tidak mempunyai salinannya di Malaysia. Dianggarkan 10 hingga 12 ribu manuskrip Melayu klasik dalam tulisan Jawi yang tersimpan di serata dunia. Dua ratus naskhah manuskrip tulisan Jawi di simpan di Sri Lanka yang penduduk Melayunya kurang daripada 50 ribu orang (Gang Geong Sok, 1990).
Malahan Sri Lanka merupakan negara yang menerbitkan surat khabar Melayu yang pertama dalam tulisan Jawi di dunia pada tahun 1869 iaitu Alamat Langkapuri. Hal yang sama dilaksanakan oleh Singapura dengan menerbitkan Jawi Peranakan sebagai akhbar berbahasa Melayu bertulisan Jawi pada tahun 1876.
Di Malaysia usaha memartabatkan tulisan Jawi bermula pada era 50-an apabila kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi pada surat beranak. Terdahulu akhbar Utusan Zaman telah diterbitkan dalam tulisan Jawi seawal tahun 1938 diikuti dengan Utusan Melayu pada tahun 1939.
Akhbar-akhbar inilah yang telah menaikkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu dan mereka menganggap inilah akhbar milik mereka yang memperkuat jati diri mereka apatah lagi pada ketika itu negara ini (Malaya) masih dibelenggu dengan sistem penjajahan kolonial.
Melihat dari aspek luar, Islam berkembang ke seluruh pelusuk dunia bersama-sama tulisan Jawi dan diiringi dengan penggunaan bahasa negara masing-masing. Asas tulisan Jawi yang berkembang di Asia dan Nusantara bermula daripada huruf Urdu. Tulisan dan bahasa Urdu berasal dari Pakistan. Urdu ditulis dalam tulisan Perso-Arab atau tulisan Arab yang ditulis dalam gaya Nasta’liq, iaitu gaya utama dalam tulisan abjad Parsi dan secara tradisionalnya merupakan skrip utama dalam seni khat Parsi yang dikembangkan di Iran (Sharifuddin Lennon, 2021).
Kendatipun begitu tulisan Jawi telah mengalami penghakisan daripada kelompok yang mungkin tidak mahu Islam berkembang dengan sewajarnya maka penghapusan tulisan Jawi itu dilihat seiring dengan penghapusan umat Islam.
Bosnia pernah menggunakan tulisan Jawi pada lagu kebangsaannya. Namun akhirnya negara Balkan itu gagal mempertahankan tulisan Jawi akibat pepecahan etnik, konflik politik dan faktor geografi. Azerbaijan juga tidak kurang hebatnya apabila menerbitkan akhbar dalam tulisan Jawi yang pertama bertarikh 28 Januari 1918 namun ia pupus pada tahun 1920-an. Sejarah yang berlaku di negara luar seharusnya menjadi iktibar kepada Malaysia.
Tulisan Arab yang digunakan sebagai tulisan rasmi dalam penyebaran al-Quran dan aktiviti sosial masyarakat Islam telah tersebar luas bersama-sama perkembangan Islam. Cerdik pandai Islam telah menyesuaikan huruf-huruf Arab dengan keperluan bahasa dan linguistik mereka sehingga berlakunya penambahan pada huruf untuk mewajarkan tulisan Jawi berkembang mengikut dinamiknya perluasan bahasa.
Hal ini berlaku terhadap perkembangan tulisan Jawi dalam korpus bahasa Melayu dengan penambahan enam huruf, iaitu pa, ga, nga, nya, cha dan va. Menambah huruf sedia ada dengan huruf baharu dilaksanakan demi memenuhi keperluan berbahasa.
Anak Tiri atau Anak Jati?
Apa yang berlaku di Malaysia terhadap tulisan Jawi? Anak tiri atau anak jati? Sesetengah pihak telah mengambil inisiatif untuk memperluas dan memartabatkan tulisan Jawi. Sesetengah pihak pula cuba membunuhnya secara senyap sehingga tidak sedar tulisan Jawi telah ditalkinkan.
Pada tahun 1954, Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya II telah mengemukakan kelemahan tulisan Jawi dan kelebihan tulisan rumi bagi memudahkan Jawatankuasa Penyiasat Tulisan Jawi memutuskan penggunaan tulisan Jawi dan rumi dalam bidang Pendidikan di Malaysia.
Jawatankuasa tersebut telah menemui 12 kelemahan tulisan Jawi dan 11 kelebihan tulisan rumi. Tulisan Jawi mempunyai satu sahaja kelebihan, iaitu ketetapan mengeja tulisan Arab. Kelebihan tersebut juga akhirnya dinafikan dengan hujah bahawa istilah Arab jika diperlukan dalam bahasa Melayu boleh dieja dalam tulisan rumi mengikut sebutan Melayu.
Oleh yang demikian, jawatankuasa tersebut telah memutuskan penggunaan tulisan rumi dalam keseluruhan sistem pendidikan negara terkecuali bagi subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.
Mutakhir ini usaha melestarikan semula penggunaan tulisan Jawi mendapat perhatian pelbagai pihak. Hal ini disokong oleh pihak berautoriti melalui agensi kerajaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Forum Sembang Santai Jawi, Karnival Semarak Tulisan Jawi, Seminar Jawi dan Teknologi, Pertandingan Inovasi PdP Jawi dan pentauliahan Munsyi Jawi merupakan program di bawah kendalian agensi kerajaan yang telah dilaksanakan bagi menarik perhatian masyarakat terhadap penggunaan tulisan Jawi.
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada tahun 2013 pernah mencadangkan agar penggunaan tulisan Jawi di permis dan papan perniagaan diberikan pengurangan atau dikecualikan daripada cukai perniagaan.
Paparan tulisan Jawi di papan tanda jalan raya di sesetengah kawasan perumahan pula membuktikan sokongan kerajaan tempatan terhadap pemartabatan tulisan Jawi.
Mat Yusuf Abd. Rahman (2023) dalam kertas kerjanya “Teknologi Sokongan Tulisan Jawi” menyatakan terdapat teknologi yang boleh diguna pakai bagi menyokong penggunaan tulisan Jawi untuk memudahkan usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat dalam tulisan Jawi seperti Gboard dan JawiUKM yang menyediakan kemudahan menaip tulisan Jawi di papan kekunci. Terdapat juga aplikasi transliterasi Jawi seperti e-jawi.net, eJawiMakmur, ejawi2u dan jawigram yang boleh dimanfaatkan.
Oleh yang demikian, kepesatan teknologi bukanlah alasan untuk menidakkan kewujudan tulisan Jawi malahan ia menjadi pemangkin dan penggalak terhadap perluasan penggunaannya. Kecanggihan teknologi boleh dimanfaatkan untuk memajukan tulisan Jawi sekali gus menarik kecintaan generasi muda terhadapnya.
Percetakan bahan bacaan dalam tulisan Jawi telah menyuburkan tulisan Jawi ke serata tempat sehingga menjadi tonggak kepada perkembangan minda orang Melayu-Islam. Para sarjana mengatakan bahawa antara sistem tulisan Jawi yang besar pengaruhnya ialah Pakistan, Za’ba, Dian dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Penerbitan bahan bercetak seperti buku, majalah dan surat khabar wajar digalakkan sebagai usaha melestarikan Jawi di mata dunia. Melalui artikel ini, sukacita penulis mencadangkan agar majalah Dewan Tamadun Islam terbitan DBP diterbitkan dalam Jawi sepenuhnya sebagai langkah progresif DBP memandang serius akan hal ini sekali gus menjadi agensi pelopor yang mampu memartabatkan Jawi pada tahap yang sewajarnya.
* Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
* Artikel ini adalah pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.