[KOLUMNIS] Kepulauan Cocos (Keeling) dan Pulau Krismas: Kedaulatan yang tidak kesampaian
Mohd Hazmi Mohd Rusli
Mac 14, 2023 14:00 MYT
Mac 14, 2023 14:00 MYT
PENGENALAN
Pulau Krismas adalah sebuah pulau di Lautan Hindi yang terletak 350km jauhnya dari Pulau Jawa.
Bandar Australia terdekat dengan Pulau ini adalah Karratha di Australia Barat, berjarak 1,600km nun di tanah besar.
Walaupun Pulau Krismas secara geografinya terletak lebih dekat dengan Indonesia, ianya adalah sebahagian daripada ‘external territory of Australia’ atau ‘wilayah luar Australia’.
Pulau terpencil ini mula diterokai pelayar Eropah pada tahun 1615. Ianya dinamakan Pulau Krismas oleh Kapten William Mynors apabila melayarinya pada Hari Krismas pada tahun 1643.
Pulau ini kekal tidak berpenghuni sehinggalah penempatan dibina di Flying Fish Cove pada kurun ke-19.
Pulau ini dijajah sebagai sebahagian daripada Empayar British pada 6 Jun 1888. Menyedari ianya kaya dengan fosfat, pekerja dari British Malaya, Singapura dan China dibawa masuk untuk bekerja di lombong-lombong yang terdapat di situ.
Migrasi ini membentuk demografi pelbagai bangsa dan budaya di pulau ini, merangkumi penduduk berketurunan Cina dengan populasi 21%, Melayu 17% dan yang lain-lain.
Pulau ini memiliki sejarah hitam diskriminasi terhadap kaum bukan kulit putih, tetapi keadaan sudah menjadi bertambah baik kini. Terdapat 1,700 orang yang menjadikan pulau ini kampung halaman mereka.
Seperti Pulau Krismas, Kepulauan Cocos (Keeling) adalah wilayah di bawah kedaulatan Australia yang pernah dijajah oleh British pada tahun 1857.
Kepulauan ini terletak 1,000 kilometer jauhnya dari Pulau Krismas. Kepulauan Cocos (Keeling) telah ditemukan oleh Kapten William Keeling pada tahun 1609 lantas dinamakan sedemikian.
Penghijrahan ke kepulauan ini bermula pada kurun ke-19 apabila pekerja berketurunan Melayu dari Malaya di bawa masuk untuk bekerja di ladang kopra.
Wilayah ini kini memiliki populasi seramai 600. Majoriti penduduknya adalah berketurunan Melayu, dengan pemimpin utamanya (Shire President) adalah Encik Aindil Minkom, seorang warga berketurunan Melayu.
Pemindahan Kedaulatan
Malaya merupakan wilayah yang ditadbir British di Asia Tenggara. Pulau Pinang diambil daripada Sultan Kedah pada tahun 1786 dan Singapura telah diserahkan kepada British oleh Sultan Johor pada tahun 1819. Melaka ditukarkan dengan Bengkulu di Sumatra pada tahun 1824.
Ketiga-tiga koloni ini disatukan sebagai Negeri-negeri Selat pada tahun 1826 dengan Singapura sebagai ibu negerinya pada tahun 1886.
Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) dijadikan sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat pada tahun yang sama.
Kependudukan Jepun di antara tahun 1941 sehingga 1945 telah menyaksikan perubahan senario politik yang besar di Malaya.
Pihak British gagal menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946 akibat penentangan hebat orang-orang Melayu. Malayan Union digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957, Singapura masih lagi wilayah jajahan British.
Kedaulatan ke atas Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) telah dipindahkan dari Singapura ke Australia masing-masing pada tahun 1958 dan 1955.
Tidak seperti Malaya, pihak British tidak memberikan kemerdekaan kepada Singapura. Akan tetapi, Singapura disatukan membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Sekiranya perpindahan kedaulatan ke Australia tidak berlaku beberapa tahun sebelum itu, Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) mungkin akan menjadi sebahagian daripada Malaysia dengan penyertaan Singapura pada tahun 1963.
Sekiranya wilayah-wilayah ini menjadi milik Malaysia, bayangkan betapa luasnya wilayah maritim yang boleh dituntut oleh negara, dalam bentuk wilayah laut, zon ekonomi ekslusif dan pelantar benua.
Dengan lokasi pulau-pulau ini yang terpencil, tuntutan maritim ini tidak akan bertindih dengan negara lain sepertimana tuntutan maritim di Laut China Selatan.
Akan tetapi, memandangkan Singapura hanya menjadi sebahagian dari Persekutuan selama dua tahun, kedaulatan ke atas wilayah-wilayah ini mungkin akan tetap ikut bersama Singapura, bukannya Malaysia.
Kesimpulan
Walaupun Pulau Krismas dan Kepulauan Cocos (Keeling) terletak beribu kilometer jauhnya dari Malaysia dan Singapura, wilayah-wilayah ini berkongsi sejarah dan kebudayaan yang sama sebagai bekas jajahan British yang memiliki penduduk berketurunan Melayu yang ramai.
Ia adalah sesuatu yang istimewa apabila menyedari bahawa bahasa dan budaya Melayu kekal mekar dan segar di kepulauan yang terletak nun jauh di tengah-tengah Lautan Hindi.
Jika tidak kerana Australia mengambil alih wilayah-wilayah ini, pulau-pulau ini mungkin sahaja menjadi milik negara.
Ternyata, apa yang terjadi menggambarkan kedaulatan yang tidak kesampaian.
* Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Felo Penyelidik di The Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.