[KOLUMNIS] Kenali HPV dan langkah pencegahannya

Dr Noor Azura Noor Mohamad
Januari 13, 2025 12:00 MYT
HPV merupakan masalah sejagat yang perlu diambil serius oleh wanita agar tidak terjebak dengan risiko mendapat barah pangkal rahim. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Virus HPV atau human papilloma merupakan virus yang boleh menjangkiti permukaan organ manusia yang lembap seperti rongga mulut, hidung, faraj dan dubur.
Virus ini terbahagi kepada jenis risiko rendah yang menyebabkan kejadian ketuat dan jenis risiko tinggi yang boleh menyebabkan barah di bahagian yang dijangkiti.
Taburan jenis virus ini bergantung kepada kedudukan geografi dan populasi. Namun demikian, HPV jenis 16 dan 18 merupakan jenis virus yang paling ganas dan menyebabkan 70 peratus daripada barah pangkal rahim. Virus ini kerap dikesan di kalangan lelaki dan wanita.
Lebih kurang 90 peratus lelaki dan wanita akan dijangkiti virus ini pada suatu masa. Kebanyakan jangkitan ini akan dinyahkan oleh tubuh badan manusia, terutamanya golongan yang berumur kurang 30 tahun.
Walaupun tubuh badan manusia mampu sembuh dari jangkitan HPV, 10 peratus dalam kalangan individu yang dijangkiti virus ini tidak sembuh secara alami lalu mendedahkan risiko jangkitan berlarutan dan berterusan.
FAKTOR
Seperti pasangan seksual yang ramai, lemah imuniti badan disebabkan HIV, pengambilan ubat yang melemahkan imuniti seperti steroid dan merokok, boleh menyebabkan jangkitan sukar dinyahkan dari badan.
Jangkitan virus ini akan menyebabkan sel pada pangkal rahim tumbuh dengan kadar yang cepat dan tidak terkawal.
Proses perubahan pangkal rahim dari normal kepada pra-barah dan seterusnya barah berlaku dalam jangka masa 10 hingga 15 tahun seperti yang diterangkan dalam Rajah 1.
Rajah 1 menunjukkan kesan jangkitan HPV kepada sel pangkal rahim. Rajah diadaptasi dari artikel terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertajuk ‘GUIDELINES FOR CERVICAL CANCER SCREENING IN MALAYSIA 2023’.
JANGKITAN
Virus ini tersebar melalui sentuhan kulit ke kulit terutamanya sentuhan pada bahagian alat kelamin melalui hubungan seksual. Wanita yang dijangkiti virus ini tidak akan menunjukkan sebarang petanda kerana jangkitan pada peringkat awal hanya melibatkan lapisan permukaan pangkal rahim.
SIMPTOM
Petanda seperti pendarahan selepas hubungan seksual, lendir faraj yang berbau, mahu pun gangguan haid seperti pendarahan di luar kitaran haid pula akan muncul apabila berlaku ketumbuhan barah pada pangkal rahim.
Oleh kerana virus ini menjangkiti pangkal rahim tanpa menunjukkan sebarang petanda pada peringkat awalnya, pengesanan virus perlu dilakukan secara aktif melalui ujian saringan yang dijadualkan untuk wanita setiap 5 tahun bermula umur 30 sehingga 65 tahun.
PENCEGAHAN
Ujian saringan HPV telah pun dilaksanakan di peringkat nasional melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Klinik Kesihatan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, National Cancer Society Malaysia, Projek ROSE dan premis hospital kerajaan mahu pun swasta.
Ujian ini boleh dilakukan secara kendiri dengan memasukkan putik kapas bertangkai panjang ke dalam faraj seperti arahan dalam Rajah 2.
Wanita yang dikesan mengalami jangkitan HPV akan dirujuk kepada pakar sakit puan bagi menjalani prosedur kolposkopi di mana pangkal rahim akan diamati secara lebih halus menggunakan mikroskop bagi mengenalpasti kawasan permukaan pangkal rahim yang tidak normal.
Rawatan selanjutnya bergantung kepada keputusan sampel pangkal rahim dari prosedur kolposkopi.
Rajah 2 menunjukkan cara untuk mengambil ujian HPV kendiri. Rajah diadaptasi dari artikel terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertajuk ‘GUIDELINES FOR CERVICAL CANCER SCREENING IN MALAYSIA 2023’
KEMPEN SARINGAN
World Health Organisation telah pun melancarkan kempen sedunia sejak tahun 2018 bagi menyahkan barah pangkal rahim.
Terdapat 3 strategi penyahan barah pangkal rahim iaitu 90% remaja divaksinasi HPV, 70 peratus wanita menjalani saringan HPV pada umur 35 dan 45, dan 90 peratus wanita menjalani rawatan pra-barah dan barah pangkal rahim.
Vaksinasi terhadap virus ini juga telah pun terhasil dan diberikan kepada remaja perempuan berumur 13 tahun di Malaysia sejak tahun 2010.
VAKSINASI
Vaksin ini berfungsi untuk membina pertahanan tubuh badan terhadap jangkitan HPV dan kesembuhan dari jangkitannya apabila jangkitan berlaku ketika umur wanita mula aktif berhubungan intim.
Individu yang divaksinasi mampu mendapat perlindungan secara berpanjangan terhadap jenis virus 16 dan 18, dan juga beberapa jenis virus risiko tinggi yang lain. Kesan imun ini masih bertahan melangkaui dua dekad.
Umum beranggapan bahawa hanya individu yang mengamalkan hubungan seksual rawak sahaja yang terdedah kepada risiko mendapat barah pangkal rahim.
Fakta ini tidak dinafikan kebenarannya kerana lebih ramai pasangan seksual, lebih tinggi kebarangkalian untuk wanita dijangkiti oleh virus senyap ini melalui pasangan tersebut.
Virus HPV dikesan dalam 4 per 10 wanita yang berpasangan ramai. Wanita berpasangan tunggal tidak jauh ketinggalan kerana satu pertiga dari wanita ini mengalami jangkitan HPV.
Kenyataan ini amat penting untuk ditekankan terutama di kalangan wanita yang sudah berkahwin.
Keperluan ujian saringan masih terpakai buat wanita kategori ini kerana pasangan kelamin tunggal yang mempunyai jangkitan HPV yang aktif masih boleh terus menerus menjangkiti pasangan masing-masing melalui hubungan seksual dan sentuhan alat kelamin.
KESIMPULAN
HPV merupakan masalah sejagat yang perlu diambil serius oleh wanita agar tidak terjebak dengan risiko mendapat barah pangkal rahim. Pencegahan dan rawatan awal di peringkat pra-kanser merupakan langkah proaktif yang sangat berkesan agar penyakit ini tidak berlarutan dan menjadi barah.

* Dr Noor Azura Noor Mohamad merupakan pakar perunding kanser sakit puan di UiTM Private Specialist Center (UPSC)
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#virus HPV #organ lembap #ketuat #barah pangkal rahim
;