[KOLUMNIS] Kemenangan yang menggerunkan?
Yom Nurul Akma
Mac 28, 2022 14:30 MYT
Mac 28, 2022 14:30 MYT
BN menang lagi
JAM 12.10 pagi, 13 Mac 2022, lawan sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Barisan Nasional (BN) telah menang 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor lalu memberi kemenangan dua pertiga untuk BN membentuk kerajaan negeri.
Ini kemenangan kedua BN selepas menang di Melaka. Di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang selesa walaupun enggan menyertai BN sebagai parti komponen.
Tapi sebaliknya mahu kekal sebagai ‘sahabat yang akrab.’
Dalam tiga pilihan raya negeri - Sarawak, Melaka dan Johor - PKR kalah semua kerusi di Melaka, Sarawak dan menang satu kerusi di Johor.
DAP hilang banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir di semua kerusi di Sarawak.
Di Johor, Pakatan Harapan (PH) menang 10 daripada 14 kerusi.
Gabungan yang lahir dari Sheraton Move, Perikatan Nasional (PN) hanya bergantung harap kepada jentera Pas, bukan lagi pesaing yang perlu digeruni.
Di Johor, negeri kelahiran ‘Abah’, PN menang tiga kerusi. PH yang sedang dilanda ombak dan hanyut dalam krisis kepimpinan perlu berapa lagi PRN atau Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Ketua Pembangkang sedar PH sudah hilang taring?
Selepas setiap PRN dan PRK, alasan yang sama diguna pakai - PH perlu tetapkan semula agenda di bawah satu khemah besar.
Logo parti turut jadi mangsa cemuhan yang kononya mengelirukan pengundi.
Pemerhati politik tempatan pula kata punca kemenangan BN di Melaka dan Johor ‘kerana pembangkang sesak dan sarat dengan calon masing masing dan tiada persefahaman serta tak bersatu.’
Jadi, secara logiknya, BN perlu ambil peluang emas ini ketika musuh masih lemah, mengemban misi membidik kemenangan selepas tewas di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dan, PRU15 perlu diadakan dengan segera kerana sudah cukup petunjuk di tiga PRN bahawa masa ke medan lawan adalah sekarang.
Bukan menanti tamat memorandum persefahaman (MOU) pada Julai 2022 atau tempoh matang pada 2023.
Sungguhnya, BN tiada masa untuk bernostalgia. Kemenangan manis di Melaka dan Johor belum cukup menggerunkan.
Apa lagi membuang masa dengan mendabik dada tentang pencapaian lepas. Rakyat pernah menolak BN di PRU14. Kemarahan rakyat sudah reda atau rakyat sudah bijak menilai?
Hanya 54.92 peratus rakyat negeri Johor membuang undi.
Pemerhati politik kata tiada pemegang taruh yang punya kempen progresif untuk memudahkan undi pos.
BN menang kerana kekuatan jenteranya yang boleh bawa keluar pengundi.
Setiap ceruk kampung dan jalan taman dihafal mereka. Sebagai sebuah parti yang hidup kerana akar umbinya, ini resepi kejayaan BN.
Dan, pembangkang pula tidak mampu beri inspirasi kepada penyokong mereka untuk pulang mengundi. Tidak sama seperti PRU14.
Mengapa PRU15?
Soalan pertama yang wajib kita tanya mengapa BN mahu PRU15 dipanggil dengan segera?
Pertama, peluru PH perlu BN matikan segara, dek kenaikan harga barang yang tidak masuk akal.
Rakyat masih belum keluar dari kesempitan hidup akibat pandemik dan PKP, serta kemarahan rakyat ibarat menanti letusan gunung berapi. Jika dibiarkan, yang jadi kambing hitam itu nanti BN.
Mengapa beri peluru kenapa musuh dengan begitu mudah?
Kedua, ketika dunia di ambang perang dunia ketiga, ditambah dengan pandemik yang berlarutan, Malaysia terdedah dengan segala macam ancaman ekonomi.
BN tidak mampu lagi bergantung harap dan belas ehsan perjanjian persefahaman untuk mengurus negara.
Ketiga, landskap politik negara juga sudah berubah.
Demokrasi subur tetapi kuasa dan cita-cita politik jumud kumpulan tertentu boleh jadi berharga kepada BN.
Memintas saat mereka berpecah dan tidak bersatu. Harapkan nama tanpa pengalaman dan struktur, mungkin BN pandai mencencang akar, mati lalu ke pucuknya.
Kalau kestabilan yang dimahukan rakyat, biarlah mereka putuskan di kotak undi.
BN perlu ada rencana untuk tawaran yang lebih seksi. Tawaran yang luar biasa yang tidak mampu ditolak.
BN tidak boleh harapkan peratusan keluar mengundi yang rendah saja untuk menang.
Tiga PRN yang diadakan berlatarkan pandemik boleh jadi cukup untuk beri pengalaman kepada SPR jika prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan ketat perlu dirangka semula.
Menteri Kesihatan mahu kesihatan awam dan pemulihan negera bertambah stabil dahulu sebelum PRU15 dipanggil.
Ketua Pengarah Kesihatan pula ada memberi bayangan bahawa gelombang COVID-19 versi Omicron akan lepasi puncak penularan menjelang hujung Mac ini.
Kita sudah perlu terima hakikat yang kita akan hidup dalam endemik, bahawa kesihatan itu adalah tunjung kemakmuran negara.
Pandemik telah buka kelopongan kurangnya pelaburan kesihatan. Ini realiti yang tidak boleh kita lari dan selamanya sistem demokrasi tidak boleh lari dari virus corona.
Keempat, citra kehidupan juga sudah berubah. Kalau dulunya matlamat hanya mahu pembangunan, hari ini pengundi sudah lebih dewasa dan matang.
Dihendakkan kelestarian, hidup yang lagi bermaruah, hak asasi dipenuhi dan kerajaan yang efisien lagi berintegriti.
Kelima, BN kelihatan tidak gentar untuk agenda reformasi.
Lihat saja Undi18. BN juga harus berani melaksanakan Akta Lompat Parti sebelum meminta PRU15.
Kalau betul anak jantan, segera gubal akta dan peraturan pendanaan politik, kerana keberanian tidak boleh dibeli.
Parti anak MUDA mengejutkan ramai pihak walaupun sudah saya menulis di rencana yang lalu, undi anak muda tidak akan mampu mengubah lanskap politik tanah air.
Terbit rasa kagum kerana tanggapan saya salah sama sekali. Ini juga bukan alasan untuk BN mendabik dada kerana masih tiada petanda jelas bagaimana BN mengurus persepsi golongan milenial.
Namun, BN juga harus berhati-hati.
Setelah dicanang satu negeri calon Menteri Besar sewaktu kempen, tetapi nama lain pula mengangkat sumpah.
Khuatir luka lama kembali berdarah dan terus menjadi nanah di PRU15. Rakyat sudah memilih bukan?
Takut menjadi contoh tatkala BN mencari nahkoda kapal yang baharu di Persekutuan.
Nilai angka dan undi
Di mata ahli politik, pengundi itu mungkin hanya angka semata. Kita ambil Johor sebagai contoh.
BN menang undi popular sebanyak 43.11 peratus. Ini juga bermakna 56.89 peratus Bangsa Johor menolak BN.
Jika logik yang sama kita gunakan, 74 peratus rakyat negeri selatan itu menolak PH dan 76 peratus tidak mahu PN memerintah negeri.
Tidak perlu kita bicara tentang angka ini sebenarnya, kerana sistem first-past-the-post (FPTP) itu tidak menguntungkan pengundi - hanya parti politik yang bersorak kerana tanpa perlu ambil peduli berapa undi si pemenang, jika dan hanya jika, undi itu lebih dari pemenang tempat kedua, johan masih milik si pendahulu.
Sistem FPTP ini beri kelebihan kepada parti yang punya akar umbi dan disiplin untuk menggerakkan pengundi di lapangan.
Ini sistem yang sah di negara ini, berlandaskan lunas undang-undang. Tetapi, jangan kita lupa, pengundi itu manusia.
Sekiranya si politikus itu dapat melihat sanubari seorang manusia di balik setiap helaian kertas undi, politik tanah air bertuah ini akan terus tidak bermakna di mata rakyat.
Tawaran PRU15
Sampai bila harus BN mengharapkan lawan yang lemah, jika tiang rumah sendiri masih goyah dan rapuh?
Dan, kejujuran itu mahal dan pahit. Tapi yang pahit itu selalu jadi ubat. BN masih belum dapat mendakap kemahuan rakyat majmuk Malaysia, walaupun wadah reformasi yang suatu masa dulu hanya jadi mainan pembangkang, kini diterjemahkan di panggung utama BN.
BN harus bertanya kepada diri sendiri apa taruhan mereka pada PRU yang akan datang?
Peta jalan yang meraikan kepelbagaian dan membawa kestabilan itu perlu, yang bawa untung kepada rakyat yang jadi sendi utama demokrasi.
Golongan rentan dan pertengahan harus jadi penerima manfaat utama. Bagaimana pentadbiran yang duduknya di kerusi empuk di Putrajaya boleh pulihkan negara?
Apa agenda reformasi politik dan ekonomi? Rencana apa untuk kurangkan segala macam kesenjangan sosial?
Ke mana BN menuju untuk letakkan kembali tanah majmuk ini di peta dunia?
Apa cara BN tangani perubahan iklim dan kelestarian masa depan?
Jawapan untuk kesemua soalan ini mungkin boleh kita temui. Tetapi dengan satu syarat. PRU15 mesti diadakan segara.
Dewan yang teramat mulia di Jalan Parlimen perlu dibubarkan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob punya kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan konsensus bersama Kabinet.
Demikian tulisan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 40 (2)(b).
Ada beberapa suara dari barisan Kabinet yang mungkin terasa dengan macam-macam teguran Timbalan Presiden parti UMNO.
Tetapi, sudah tiga Perdana Menteri silih berganti sejak 2018. Disangka panas hingga ke petang, hujan di tengah hari datang menyanggah.
Dan jika ini bukan jalan utama negara masyhur lagi kaya raya ini untuk keluar dari krisis kesihatan yang belum tentu selesai, ternyata anda, mereka dan saya punya definisi kemenangan yang berbeza.
Petanda Sudah Jelas
Macam-macam video tular di media sosial - Presiden UMNO menarik tangan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dia ke barisan hadapan, Ismail Sabri disambut dengan laungan Bubar di sewaktu keluar dari Bangunan UMNO Johor, Ketua Puteri UMNO enggan berdiri sewaktu Ismail Sabri meninggalkan dewan di Persidangan Agong UMNO (PAU) - memberi makna yang tersirat bahawa BN juga perlu selesaikan kemelut dalaman dahulu.
PAU baru saja selesai dan pemilihan UMNO perlu tentukan jeneral perang yang dapat mandat dari akar umbi.
Kalau UMNO sendiri goyah, masakan MCA dan MIC boleh ikut rentak.
Kalau semboyan sudah berbunyi dan paluan gendang perang sudah diratib, BN harus masuk ke medan perang dengan matlamat yang jelas, dengan pelan taktikal yang strategik dan misi pembangunan yang mampan.
BN harus renung kembali dan pulang ke rumah asal perjuangan dan idelogi parti.
Parti ini berjuang di jalan kesederhanaan, meraikan segala ragam bangsa, agama, bahasa, warna kulit. Jika ini dipegang sebagai adunan utama, kestabilan boleh jadi milik negara dan rakyat akan makmur.
* Yom Nurul Akma ialah penganalisis politik.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.