[KOLUMNIS] Kelebihan diplomasi sebagai doktrin asas pertahanan negara

Fahmiza Mohamad Stephen
November 27, 2024 20:40 MYT
Dengan memilih langkah mengekalkan hubungan baik dua hala dengan China, ia membuka ruang untuk dialog yang lebih bermakna dalam mencari titik pertemuan. -Gambar fail/Bernama
DALAM penggulungan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 7 November lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa diplomasi adalah elemen utama dalam doktrin pertahanan negara.
Beliau menghujahkan bahawa dalam segenap ketegangan atau isu, Malaysia adalah negara yang meletakkan diplomasi sebagai pendekatan awal.
Menurut beliau, ‘diplomacy is not dead’; ia belum berakhir dan mesti dijadikan satu kelebihan dalam usaha kita menjaga kedaulatan negara.
Kenyataan ini mencerminkan rasional yang jelas dalam menguruskan cabaran geopolitik kontemporari.
Pendekatan diplomasi telah menjadi asas doktrin pertahanan negara sejak sekian lama. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai alat mempertahankan hak Malaysia tetapi juga sebagai penanda aras kestabilan di rantau Asia Tenggara.
Pendekatan ini penting kerana isu geopolitik tidak boleh diuruskan secara terburu-buru atau emosional.
Walaupun kita sebagai warganegara sentiasa terikat dengan semangat patriotisme yang tinggi, keputusan yang dibuat perlu berlandaskan kebijaksanaan dan strategi yang holistik.
Inilah sebabnya mengapa diplomasi terus menjadi pilihan utama demi memastikan keamanan dapat dikecapi tanpa menjejaskan hubungan antarabangsa dan kestabilan ekonomi.
Kejayaan Diplomasi Malaysia
Sekiranya kita mengamati sejarah dasar luar Malaysia, doktrin diplomasi Malaysia bukanlah pendekatan baharu.
Ketika Konfrontasi dengan Indonesia pada 1960-an, sejarah merekodkan bagaimana Malaysia berjaya menyelesaikan konflik ini melalui rundingan diplomatik di Bangkok.
Begitu juga, peranan aktif Malaysia dalam penubuhan ASEAN pada tahun 1967 mencerminkan falsafah dasar luar negara yang berpegang teguh pada prinsip diplomasi.
Langkah ini bukan sahaja menonjolkan komitmen Malaysia terhadap keamanan dan kestabilan serantau, tetapi juga mengukuhkan kedudukan kita sebagai peneraju dalam menjalin kerjasama antarabangsa yang harmoni.
Untuk sebuah negara yang bergantung kepada hubungan ekonomi dan kestabilan rantau bagi memastikan pembangunan domestik yang mampan, pendekatan ini merupakan sebuah strategi yang sangat berkesan.
Namun, kita akui, konflik di Laut China Selatan membawa cabaran yang jauh lebih kompleks.
Kawasan strategik ini bukan sekadar isu kedaulatan, tetapi juga pertarungan ekonomi yang kaya dengan sumber seperti minyak, gas, dan hasil laut, serta menjadi laluan perdagangan antarabangsa yang kritikal.
Ia melibatkan tuntutan bertindih oleh pelbagai negara, termasuk China, Vietnam, Filipina, Brunei, dan Malaysia sendiri.
Dalam menghadapi situasi ini, pendekatan diplomasi Malaysia yang berteraskan dialog dan rundingan sering dilihat sebagai langkah berhati-hati.
Namun, ada pihak yang menganggap pendekatan ini terlalu lembut.
China, sebagai kuasa besar, memainkan peranan dominan dalam konflik ini. Tuntutan “Nine-Dash Line” (terbaharu, 10-dash line) yang dikemukakannya bukan sahaja bertentangan dengan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di bawah Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOPS), malah disertai tindakan provokatif seperti pembinaan pulau buatan dan rondaan ketenteraan.
Walau bagaimanapun, hakikatnya kita tidak berada dalam situasi serangan ketenteraan secara langsung. Dalam situasi ini, pendekatan diplomasi masih relevan dan merupakan pilihan terbaik yang wajar diteruskan.
Dengan memilih langkah mengekalkan hubungan baik dua hala dengan China, ia membuka ruang untuk dialog yang lebih bermakna dalam mencari titik pertemuan.
Tindakan Malaysia ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, memandangkan negara jiran seperti Indonesia turut mengambil pendekatan serupa dalam menangani keangkuhan kuasa besar ini.
Pendekatan ini bukan sahaja strategik tetapi juga menggambarkan kebijaksanaan dalam memastikan keamanan tanpa menjejaskan hubungan jangka panjang.
Dalam pertemuan antara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan Presiden China, Xi Jinping, pada 9 November 2024 di Beijing, Prabowo menegaskan komitmen Indonesia untuk mempertahankan kedaulatan di Laut Natuna Utara, sambil menekankan pentingnya kerjasama strategik dengan China.
Dalam nada persahabatan, presiden baharu Indonesia ini tetap menolak tuntutan China tersebut.
Apa yang dapat difahami, secara pragmatik, tindakan diplomasi Malaysia dan Indonesia ini pada dasarnya boleh digunakan untuk mempertahankan kedaulatan tanpa menjejaskan hubungan dengan pihak lain atau menyebabkan ketegangan sedia ada bertukar menjadi konflik serantau yang buruk.
Paling penting, sungguhpun diplomasi menjadi keutamaan, ini tidak bermakna Malaysia berpeluk tubuh. Setiap kali berlaku pencerobohan oleh kapal asing di perairan kita, bantahan diplomatik dihantar secara konsisten.
Langkah ini adalah cara Malaysia menyampaikan mesej yang tegas bahawa kedaulatan negara bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan.
Sebaliknya ditegaskan melalui pendekatan yang beradab dan mematuhi undang-undang serta norma antarabangsa.
Pendekatan ini merupakan satu petunjuk yang mengesahkan bahawa kawasan yang dituntut adalah sebahagian daripada negara, sekali gus memperkukuhkan pendirian Malaysia di mata dunia.
Peranan giat yang dimainkan oleh Malaysia dalam kerangka kerja serantau menjadi sokongan tambahan dalam perkara ini.
Kehadiran dan penyertaan Dato Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan ADMM-Plus sepanjang 19-21 November yang lalu terus memimpin usaha untuk memperkukuh perpaduan serantau dalam menghadapi cabaran keselamatan bersama.
Khususnya ketegasan Malaysia dalam memacu rundingan Code of Conduct (COC) bersama negara-negara ASEAN dan China adalah manifestasi kepercayaan terhadap diplomasi sebagai jalan penyelesaian.
Walaupun diplomasi kadang kala dikritik sebagai terlalu lembut, keputusan diplomatik masih mempunyai nilai dan kepentingan tersendiri.
Apa yang lebih penting, pendirian dasar luar Malaysia konsisten menjadikan diplomasi sebagai doktrin asas pertahanan.
Ia mencerminkan secara jelas keseimbangan antara mempertahankan kedaulatan dan memelihara keamanan.

Penulis merupakan calon Doktor Falsafah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran (SEEDS), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#ASEAN #Belanjawan 2025 #Laut China Selatan #Mohamed Khaled Nordin
;