[KOLUMNIS] Kawalselia vape dengan segera: guna peraturan sedia ada

Tun Zaki Tun Azmi
Oktober 6, 2023 18:23 MYT
Menurut Tun Zaki, kita perlu lihat kepada penyelesaian undang-undang yang lebih mudah dan bukannya hanya bergantung kepada kerumitan RUU serta kebarangkalian penentangan. - Gambar fail
KETIKA perbincangan berterusan mengenai cadangan Generasi Penamat atau Generational Endgame (GEG), pelbagai perkembangan ketara telah muncul, terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikritik hebat mengenai langkahnya mengeluarkan cecair nikotin dari senarai bahan kawalan di bawah Akta Racun 1952.
Walaupun tindakan ini menghalalkan penggunaan vape sebagai alat pengurangan kemudaratan untuk mengatasi ketagihan nikotin akibat penggunaan rokok konvensional, namun pada masa sama GEG juga menyasarkan untuk melarang penggunaan vape dan percanggahan ini menimbulkan kebimbangan.
Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 ("RUU") menghadapi cabaran berterusan di Parlimen, dengan tentangan daripada Ahli Parlimen serta kebimbangan dari aspek Perlembagaan yang dikemukakan oleh pakar-pakar perundangan.
Golongan peniaga pula bimbang dengan hukuman berat yang bakal dikenakan jika mereka menjual produk kepada kohort GEG.
Bagaimanapun, tanggungjawab menjaga golongan belia dan golongan dewasa baharu bukanlah di bawah bidang kuasa mereka.
Hari ini, kita perlu lihat kepada penyelesaian undang-undang yang lebih mudah dan bukannya hanya bergantung kepada kerumitan RUU serta kebarangkalian penentangan.
Bolehkah kerajaan meminda undang-undang kawalan tembakau sedia ada untuk merangkumi produk vape?
Walaupun bertentangan dengan pendirian KKM, tetapi ia sesuatu yang tidak mustahil kerana Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT) di bawah Akta Makanan 1983 telah pun mengharamkan penggunaan vape di tempat awam serta mentakrifkan "merokok" itu merangkumi penghirupan dan peniupan produk tembakau wasap.
Ini sekali gus menunjukkan bahawa produk vape sudah tertakluk di bawah PPKHT.
Jadi, persoalan kepada KKM adalah jelas: Memandangkan Akta Makanan 1983 dan PPKHT boleh mengawal produk vape, mengapa perlu tunggu lagi?
RUU ini telah tergantung selama dua tahun, dan tindakan undang-undang baru-baru ini oleh beberapa pertubuhan kesihatan terhadap KKM mungkin tidak dapat mencapai penyelesaian dengan cepat. Jika RUU
ini gagal di Parlimen, apa rancangan alternatif KKM untuk mengawal vape?
Meminda PPKHT untuk merangkumi peraturan vape tambahan boleh dicapai dengan cepat melalui tindakan menteri, dibandingkan jika dilakukan melalui proses Parlimen, ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Sejak cecair nikotin dikecualikan dari Senarai Racun, enam bulan telah berlalu tanpa kawalan ke atas produk vape sekali gus menyebabkan golongan belia terdedah kepada akses yang mudah, tiada sekatan harga, serta daya tarikan dengan pembungkusan yang berwarna-warni.
Sehubungan itu, kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan pemindaan undang-undang sedia ada sebagai alternatif yang pragmatik.
Nyawa generasi muda hari ini berada dalam bahaya, dan tindakan segera adalah amat penting. Sementara kita memberi tumpuan kepada RUU untuk generasi masa depan, kita tidak boleh mengabaikan keperluan belia semasa.

* Tun Zaki Tun Azmi merupakan bekas Ketua Hakim Negara (Keenam) dan pelantikan beliau dibuat pada 2008 selepas Abdul Hamid Mohamad bersara.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#KKM #vape #Generational Endgame #Generasi Penamat
;