[KOLUMNIS] Kanser kolorektal: "Adakah anda berisiko? Kenali dan lakukan ujian!"

Dr Nabil Mohammad Azmi
Mac 25, 2024 13:15 MYT
Menurut Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, kanser kolorektal merupakan salah satu kanser tertinggi dalam kalangan lelaki (14.8 peratus) dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita (11.1 peratus). - Gambar hiasan
KANSER kolorektal semakin menarik perhatian sebagai penyakit yang terus meningkat di Malaysia.
Menurut Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, kanser kolorektal merupakan salah satu kanser tertinggi dalam kalangan lelaki (14.8 peratus) dan kedua tertinggi dalam kalangan wanita (11.1 peratus).
Malah, ia adalah punca ketiga utama kematian akibat kanser di negara kita.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser kolorektal juga menyerang 10.6 peratus lelaki dan 9.4 peratus wanita di seluruh dunia.
Bahaya senyap ini mampu dirawat dengan lebih berkesan jika dikesan pada peringkat awal.
Oleh itu, penting untuk anda meningkatkan kesedaran tentang gejala dan risiko kanser kolorektal (atau nama pendeknya kanser kolon).
Berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu tahu:
1. Faktor risiko
• Umur di atas 50 tahun meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap kanser kolon.
• Jika anda ada sejarah kanser kolon dalam keluarga, ini adalah petunjuk penting untuk saringan awal dan melakukan langkah pencegahan.
• Merokok dan obesiti juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser kolorektal.
2. Gejala awal yang perlu diperhatikan
• Najis berdarah adalah salah satu gejala awal yang sering kali diabaikan oleh ramai.
• Perubahan tabiat pembuangan air besar seperti konsistensi najis yang berubah, kekerapan pembuangan yang tidak normal, sembelit berpanjangan dan rasa tidak puas selepas membuang air besar.
• Hilang selera dan berat badan tanpa niat adalah tanda-tanda yang perlu diambil serius dan diperiksa oleh doktor.
3. Ujian saringan kanser kolorektal
• Ujian saringan adalah penting, terutama bagi individu berumur 50-75 tahun.
• Ujian immunological Feacal Occult Blood Test (iFOBT) dari najis digalakkan untuk memeriksa tanda-tanda awal kanser kolorektal.
• Jika ujian menunjukkan hasil positif, langkah seterusnya termasuklah pemeriksaan kolonoskopi.
4. Prosedur ujian kolonoskopi
• Pesakit akan diberi ubat dan pelali untuk membersihkan usus sebelum ujian.
• Prosedur ini dilakukan oleh pakar bertauliah, berdurasi sekitar 30-40 minit dan pesakit boleh pulang pada hari yang sama.
• Walaupun sedikit tidak selesa, ujian ini memberi peluang untuk pencegahan dan rawatan awal yang berkesan.
5. Pentingnya ujian kolonoskopi
• Ujian kolonoskopi adalah prosedur terbaik untuk mengesan perubahan dan kanser di dalam usus besar.
• Prosedur ini selamat dan tidak menyakitkan dengan risiko komplikasi yang rendah.
• Melalui ujian ini, biopsi tisu yang mencurigakan juga boleh dilakukan untuk diagnosis yang tepat.
Tindakan pemantauan dan kesedaran awal adalah kunci dalam memerangi kanser kolorektal.
Ini melibatkan beberapa langkah penting seperti menggalakkan kesedaran diri anda dan keluarga serta rakan tentang tanda-tanda awal dan faktor risiko kanser kolorektal.
Setiap tahun, bulan Mac ditetapkan sebagai Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal.
Inilah masa yang terbaik untuk anda memahami dengan lebih mendalam mengenai risiko kanser kolorektal dan langkah-langkah pencegahannya.
Dengan peningkatan kesedaran dan pendedahan, anda dan keluarga dapat mengambil tindakan proaktif untuk menjaga kesihatan usus besar anda.
Jadi, manfaatkan peluang ini untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pakar kesihatan mengenai gejala, ujian saringan, dan kaedah rawatan yang ada.
Selain itu, galakkan diri anda dan orang sekeliling untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta pemakanan yang seimbang dengan serat tinggi, dalam usaha mencegah kanser kolorektal.

* Dr Nabil Mohammad Azmi ialah pakar bedah am dan pensyarah Unit Kolorektal Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #kanser kolorektal #kanser kolon #najis berdarah
;