[KOLUMNIS] "Kalau saya telah pergi selamanya..."
Dr Norsuhaida Che Musa, Zahari Mahad Musa
September 5, 2021 10:07 MYT
September 5, 2021 10:07 MYT
ISLAM mengajar umatnya bahawa kematian adalah suatu yang pasti dan sebahagian ketentuan Ilahi dalam penghujung kehidupan.
Namun, setiap umatnya tidak mengetahui dan tidak pasti tentang beberapa persoalan berkaitan kematian termasuklah bila, di mana dan bagaimana kematian itu berlaku.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaatpun, dan tidak dapat pula memajukannya.
[Al-Quran. Surah Al-A’raf 7:34]
Kes kematian disebabkan pandemik COVID-19 semakin meningkat dan membimbangkan saban hari.
Bukan menafikan musibah yang melanda, akan tetapi menerima khabar kematian dengan pasrah dan hati yang tabah.
Ungkapan “Kalau saya telah pergi selamanya ...” menuntut kita yang masih menghirup nikmat sihat dan bakal berdepan dengan saat kematian untuk mengambil pengajaran dalam aspek urus harta keluarga terutama harta pusaka yang bakal ditinggalkan.
Keluarga diutamakan
Pengajaran utama tentang kematian dan pandemik COVID-19 adalah rasa sensitif untuk ambil tahu orang sekeliling terutama ahli keluarga sendiri.
Berdepan dengan kesusahan dan kepayahan merupakan sebahagian cabaran kehidupan akibat pandemik.
Bantuan ketika masih hidup sangatlah diharapkan, apatah lagi apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga yang berkemungkinan terputusnya sokongan kewangan.
Rasulullah SAW menjelaskan bahawa bantuan kepada ahli keluarga merupakan suatu sumbangan yang terbaik dalam kehidupan individu muslim.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Satu dinar kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar kamu belanjakan kepada hamba, satu dinar kamu beri kepada orang miskin dan satu dinar kamu beri kepada ahli keluarga, maka yang paling besar ganjarannya ialah apa yang dibelanjakan kepada ahli keluarga.
[Muslim, Kitab al-Zakat, Bab: Fadl al-Nafaqah ‘ala al-’Iyal, no: 995]
Oleh itu, sebelum datangnya kematian, setiap individu seharusnya berperancangan dalam memastikan harta yang ada untuk diagihkan melalui saluran yang dianjurkan oleh Islam seperti hibah, wasiat ataupun faraid dapat disampaikan kepada ahli keluarga mengikut kebijaksanaan masing-masing.
Ketiga-tiga elemen agihan tersebut bukanlah bersifat bertentangan antara satu dengan yang lain, bahkan melengkapi dalam pengurusan harta keluarga.
Hanya kita yang tahu perihal keluarga sendiri.
Contohnya, apabila seseorang itu ditakdirkan tidak mempunyai zuriat dan hanya mengambil anak angkat, maka pemindahan harta yang terbaik ialah melalui hukum wasiat atau hibah.
Wasiat dalam Islam lebih sesuai kerana terma tersebut merujuk kepada sumbangan sebanyak satu pertiga daripada harta kepada selain waris.
Anak angkat dalam keluarga individu tersebut bukanlah waris yang layak untuk menerima harta pusaka melalui hukum faraid.
Manakala hibah juga lebih signifikan kerana pemberian harta berlaku semasa pemberi masih hidup lagi.
Dari sisi yang lain pula, ahli keluarga yang tinggal perlu diberi kefahaman tentang waris yang layak untuk mendapat habuan secara faraid.
Hal ini kerana sistem pusaka Islam menetapkan bahawa tidak semua ahli keluarga si mati ialah waris.
Namun setiap waris sudah semestinya mempunyai hubungan kekeluargaan dan nasab.
Selain itu, penarafan status waris turut berbeza antara satu dengan yang lain.
Sebagai contoh, kebiasaannya kita mengatakan anak-anak kepada si mati sama ada lelaki atau perempuan adalah sama sahaja kerana mereka merupakan zuriat kepada si mati.
Namun dalam peraturan faraid, anak lelaki dan anak perempuan mempunyai status atau kategori waris yang berbeza.
Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) dan boleh bertukar status sebagai waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka).
Sedangkan anak lelaki si mati hanya berstatus waris ‘asabah semata-mata dan tidak mungkin memperolehi faraid mengikut kadar-kadar yang tertentu.
Pemegang amanah keluarga
Sistem pindahmilik harta pusaka yang disyariatkan bertujuan memelihara harta yang diusahakan dan menguruskan penggantiannya kepada seseorang yang berhak dan layak untuk memilikinya.
Jika sesebuah keluarga yang ditinggalkan berkemampuan mengurus harta pusaka dengan sendirinya, maka tiada sebarang konflik yang bakal dihadapi.
Namun, jika waris yang ditinggalkan pun tidak mampu mengurus harta dengan sendirinya seperti anak-anak yang masih kecil, maka seharusnya kita melantik seorang yang amanah untuk menjadi pemegang amanah dalam keluarga tersebut.
Perlantikan pemegang amanah merupakan suatu saranan urus harta dalam Islam.
Lantikan ini melibatkan amalan pengamanahan oleh pemilik harta yang mana pemegang amanah perlu berperanan aktif dalam memenuhi hasrat pemilik harta (semasa hidup dan selepas mati).
Hukum perlantikan pemegang amanah atau wasi ialah sunat dan digalakkan kerana membantu pihak yang tidak mampu urus harta dengan sendiri.
Selain daripada itu, perlantikan mereka adalah sangat signifikan kerana memudahkan pembuktian dokumen kematian pihak yang melantik tersebut.
Firman Allah SWT:
Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian daripada pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.
[Al-Quran. Surah Al-Nisa’ 4: 5]
Ayat ini menghuraikan beberapa bidang tugas pihak yang mempunyai tanggungjawab yang besar atas urusan menjaga pihak yang tidak boleh menguruskan harta seperti orang kelainan upaya, anak yatim dan lain-lain.
Hal ini menunjukkan tugas pengamanahan sebagai wasi memerlukan tenaga, kos mahupun masa untuk menjalankannya.
Persoalannya, jika kita telah pergi dahulu, sudah wujudkah pemegang amanah untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan.
Paling tidak ada ahli keluarga yang diberi pesan untuk menjaga dan melindungi kebajikan waris yang memerlukan sokongan kewangan.
Dokumentasi harta keluarga
Secara fitrahnya, manusia akan berusaha mencari harta dan mengagihkan harta tersebut kepada individu-individu yang dicintainya.
Walau bagaimanapun, dengan situasi kematian yang mengejut pada hari ini, setiap pemunya harta seharusnya memberitahu kepada ahli keluarga berkaitan dengan rekod harta pemilikan masing-masing.
Dokumentasi harta keluarga yang boleh diakses dapat memudahkan urusan pindah milik dan agihan di kemudian hari.
Selain itu, dengan senarai harta si mati yang dibuat lebih awal akan membantu waris untuk mengganggarkan nilaian harta dan jenisnya bagi tujuan permohonan pusaka.
Hal ini kerana terdapat tiga agensi pengurusan pusaka di Malaysia yang mempunyai tiga bidang kuasa yang berbeza.
Dicadangkan untuk setiap keluarga mewujudkan fail harta keluarga bagi tujuan dokumentasi tersebut.
Satu senarai lengkap harta-harta yang dimiliki berserta dokumen-dokumen pemilikan seperti geran atau perjanjian jual beli rumah, geran kereta, akaun simpanan dan pelaburan, dokumen pembiayaan atau hutang dan sijil takaful perlu disimpan dengan sistematik dan baik.
Selain daripada itu, sudah sampai masanya itu mewujudkan “yayasan keluarga” atau “tabung amanah” keluarga demi menjaga harta pusaka yang disimpan dan ditangguhkan agihannya.
Hal ini kerana, jika kita pergi dahulu, kos dan bayaran urusan pengurusan pusaka dapat dibantu sehingga setiap waris mendapat haknya.
* Zahari Mahad Musa merupakan Pensyarah Kanan dan Ketua Unit Pewarisan dan Pusaka Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.
** Dr Norsuhaida merupakan Pensyarah Kanan dan Penyelaras Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM.
*** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.