[KOLUMNIS] Jiwa yang bersih sambut Ramadan
Amani Nawi
April 2, 2022 09:00 MYT
April 2, 2022 09:00 MYT
PADA tanggal 3 April 2022 (esok) bersamaan 1 Ramadan 1443H, sekali lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kunjungan tetamu istimewa iaitu Ramadan al-Mubarak.
Sudah tentu sebagai umat Islam, kita sangat ternanti-nanti kedatangan tetamu istimewa ini.
Kehadirannya bukan sahaja bakal membawa seribu kebaikan kepada diri kita, keluarga dan masyarakat Islam seluruhnya, malah akan membuka pintu-pintu taubat yang dijamin penerimaannya kepada mana-mana orang Islam dan bukan Islam untuk kembali ke jalan Allah SWT yang diredai.
PENSYARIATAN PUASA DI BULAN RAMADAN
Setiap hukum syariat yang diwajibkan ke atas umat Islam mengandungi hikmah dan matlamat yang tertentu, baik secara tersurat atau tersirat.
Allah SWT tidak akan memerintahkan sesuatu hukum melainkan untuk mencapai “maslahah” iaitu memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia sejagat.
Namun begitu, hikmah mengenai puasa dalam bulan Ramadan ini hanya mampu dinikmati oleh mereka yang benar-benar berpuasa dan bersyukur dengan nikmat Allah SWT.
Justeru, ketika Allah SWT mewajibkan umat Islam supaya berpuasa di bulan Ramadan berbunyi: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah ayat 183).
Allah SWT menyeru hambaNYA dengan berfirman “Wahai orang-orang yang beriman, …” diikuti dengan “... agar kamu bertakwa.”
Jelas daripada ayat ini, bahawa setiap perkara yang diwajibkan ke atas umat Islam tidak lain dan tidak bukan adalah suatu kebaikan untuk diraih iaitu mencapai tingkatan taqwa.
Benar, terdapat pelbagai jalan ibadah yang boleh dilakukan oleh umat Islam untuk mendaki puncak taqwa tertinggi.
Salah satunya adalah dengan menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Setiap ibadah membawa risalah dan misi yang berbeza.
Misi utama maqasid puasa adalah untuk membebaskan manusia daripada pengabdian kepada nafsunya sendiri.
Al-Baydhawi dalam kitab Fathul Bari oleh Ibnu Hajar ada menyebut: “Maqasid syariah di sebalik puasa bukan hanya semata-mata menahan nafsu lapar dan dahaga, tetapi yang lebih penting adalah menundukkan keinginan hawa nafsu dan mendorong nafsu ammarah iaitu nafsu yang tidak pernah puas supaya beralih kepada jiwa yang tenang.”
Kata al-Baydhawi, sekiranya perkara ini tidak berlaku ketika kita berpuasa, maka Allah tidak akan melihat dan menerima puasa kita.
RAMADAN DAN PENYUCIAN JIWA
Matlamat puasa adalah membawa manusia kembali kepada fitrah hati yang suci.
Oleh yang demikian, Ramadan turut dikenali sebagai bulan penyucian jiwa. Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’la, Ayat 14: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang menyucikan dirinya (dengan beriman).”
Begitu juga dalam surah al-Syams, Ayat 9: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang menyucikan jiwa.”
Para pentafsir sepakat bahawa menyucikan diri dalam kedua ayat ini bukan sahaja bermaksud seseorang manusia itu perlu beriman dengan Allah SWT dan Rasul-NYA, bahkan mereka perlu membersihkan hati mereka daripada segala perbuatan dan akhlak yang buruk zahir mahupun batin.
Dengan itu, baru mereka dianggap sebagai orang beriman yang benar-benar berjaya.
Oleh itu, kita sebagai ‘tuan rumah’ yang bakal menyambut tetamu istimewa tidak lama lagi perlu membuat persiapan yang rapi bagi mencapai kejayaan tersebut.
Ibnu Taimiyah dalam kitab beliau Tazkiyah al-Nafs menyebut, kita tidak mungkin dapat menyucikan hati kita secara menyeluruh tanpa tiga perkara ini: Pertama, iman dan tauhid. Kedua, mengikut sunnah Nabi SWT.
Ketiga, menunaikan segala ibadah fardhu, wajib dan sunat.
Justeru, antara amalan yang perlu dilazimi setiap hari sebagai persediaan menanti Ramadan adalah dengan memperbanyakkan zikir Lailaha illallah yang dianggap zikir paling afdal dan utama berbanding zikir-zikir yang lain.
Dinyatakan dalam satu hadis bahawa sesiapa yang menyebut kalimah ini dengan ikhlas, maka pintu-pintu langit akan segera terbuka untuknya tanpa apa-apa halangan dengan syarat dia menjauhkan dirinya daripada dosa-dosa besar.
Kemudian, diikuti dengan istighfar sebanyak yang mungkin agar Allah SWT membersihkan hati kita daripada segala dosa-dosa kecil yang akan mengganggu ketaatan kita kepadaNya.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya apabila seseorang hamba itu melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa tersebut lalu beristighfar dan bertaubat, maka titik hitam itu akan terhapus.”
Ini bermakna, hati orang yang tidak pernah beristighfar akan dipenuhi dengan titik hitam yang banyak dan bertambah gelap.
Harus kita ingat bahawa, dosa yang berterusan menyebabkan kita sukar untuk mendapat cahaya dan petunjuk Ilahi. Akhirnya, kita akan merasa selesa dan sebati dengan maksiat.
Cukuplah dengan dua amalan utama ini untuk kita amalkan sebagai persediaan.
Ia nampak mudah, namun dalam era kebebasan media dan isu pendemik yang masih berterusan, hati kita akan mudah terjerumus ke dalam kancah maksiat.
Malah, dengan kemudahan teknologi pada hari ini, pancaindera dan anggota badan kita sentiasa terdedah dengan perbuatan dosa seperti berdusta, mengumpat, melemparkan fitnah, menghasut, melihat perkara yang haram seperti video pornografi dan sebagainya.
Orang yang tidak boleh membersihkan hatinya, maka tiada perbezaan memasuki bulan Ramadan dengan bulan-bulan yang lain.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menjadikan Ramadan 1443H ini sebagai titik permulaan bagi kita untuk mendidik seluruh pancaindera dan anggota tubuh kita termasuk ‘jari’ yang banyak berbicara di media sosial untuk turut berpuasa.
Ia harus dimulai daripada sekarang dengan membersihkan hati dengan bersungguh-sungguh agar jiwa kita, pancaindera dan anggota tubuh badan kita dapat bersatu dan bergerak dengan senada dalam memberikan ketaaatan kepada Allah SWT di bulan Ramadan.
Jiwa yang bersih dan suci akan membuahkan hasil yang indah dan murni.
* Dr Amani Nawi ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.