[KOLUMNIS] Integrasi tindakan ‘ramuan’ selesai masalah jalan

Hasimi Muhamad
Ogos 11, 2024 17:42 MYT
Selepas setahun pelancararan inisiatif kempen MYJalan sejak Ogos 2023, sebanyak 17,157 jumlah aduan diterima setakat 29 Julai lalu. - Gambar hiasan/Bernama
“HELLO, boleh saya buat aduan jalan berlubang di Jalan xxx. Saya hampir terjatuh ketika menunggang motosikal melalui jalan itu,” tanya si pengadu.
“Oh, ini bukan di bawah kami, encik boleh hubungi Jabatan xxx,” jawab pula seorang petugas di kaunter aduan khidmat masyarakat.
Rakyat sudah muak dengan kerenah birokrasi seperti ini. Setiap kali aduan mahu disampaikan, ditolak sana, sini.
Sudahnya, rakyat sudah tidak berminat untuk bertindak sebagai mata dan telinga kepada kerajaan. Tahap kepercayaan kepada sistem penyampaian kerajaan semakin menurun.
Jika situasi ini berterusan berlaku, negara tidak akan berubah dan tidak mampu mencapai negara maju.
Lebih membimbangkan, kes kemalangan yang berpunca daripada keadaan daif jalan raya semakin meningkat, hanya kerana tidak ada ‘sense of urgency’ khususnya dalam penyelenggaraan jalan.
Sememangnya diakui bidang kuasa penyelenggaraan jalan raya adalah di bawah tanggungjawab pelbagai agensi.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya terhad kepada Jalan Persekutuan iaitu meliputi 41,930.854 kilometer di seluruh negara atau hanya 8.5 peratus daripada keseluruhan jalan di Malaysia.
Sedangkan, jalan-jalan negeri pula kebanyakkanya dikendalikan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) merangkumi 450,642.919 atau meliputi 91.5 peratus.
Dengan kepelbagaian agensi yang bertanggungjawab dalam penyenggaraan jalan-jalan ini, maka pentingnya satu sistem yang boleh menyelaraskan aduan rakyat dan menyepadukan tindakan supaya suara masyarakat dapat didengari.
Menyedari situasi itu, KKR membangunkan aplikasi MYJalan berpandukan kepada konsep ‘No Wrong Door’ polisi.
Ini bermaksud aplikasi ini akan menerima semua aduan berkaitan jalan dan infrastrukturnya tanpa mengira siapakah pemilik jalan tersebut. Pada masa sama, ia berfungsi sebagai sistem pemantauan penyelenggaraan jalan untuk mengatasi isu kritikal yang sering dihadapi pengguna, terutama jalan rosak atau berlubang.
Aduan akan disaring dan disalurkan terus kepada pihak berwajib yang mengendalikan laluan tersebut. Ini tentunya memudahkan pihak Kerajaan Negeri dan PBT dalam memantau kerosakan jalan raya di kawasan kendalian masing-masing.
Aplikasi ini juga dapat digunakan sebagai pusat pengumpulan data yang mana pihak kerajaan negeri dan PBT dapat menggunakan data-data jalan rosak ini bagi memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Selepas setahun pelancararan inisiatif kempen MYJalan ini sejak Ogos 2023, sebanyak 17,157 jumlah aduan diterima setakat 29 Julai lalu.
Keseluruhan aduan itu kemudiannya disaringkan dan disalurkan terus kepada kementerian dan agensi terlibat.
Hasilnya, sebanyak 30.18 peratus atau 5,178 daripada jumlah aduan itu dikategorikan di bawah seliaan agensi KKR, manakala selebihnya 11,979 aduan (69.82 peratus) pula adalah milik PBT, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan lain-lain agensi.
Sehingga kini, aduan yang diterima melalui aplikasi ini adalah sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada sebelumnya. Ia sekali gus menunjukkan perkembangan positif kerana ia menjadi bukti keprihatinan rakyat dan usaha proaktif kerajaan dalam memastikan infrastruktur jalan dalam keadaan baik dan selamat.
Penulis sendiri cuba memuat turun aplikasi ini yang dilihat mesra pengguna. Aduan dapat dibuat dengan mudah.
Hanya memilih kategori aduan (jalan berlubang, lampu isyarat, lampu jalan, papan tanda, kemudahan awam, Perabot jalan, tanah runtuh, garisan jalan dan halangan), kemudian masukkan keterangan lanjut mengenai aduan itu.
Kawasan yang berlaku itu akan dinavigasi terus menggunakan sistem GPS. Pengguna hanya membuat sokongan aduan dengan memuat naik gambar berkaitan.
Selepas aduan berjaya dihantar, sistem tersebut akan memberikan perkembangan sama ada aduan tersebut telah selesai diambil tindakan, dalam perhatian atau lain-lain status.
Saringan aduan ini tentunya memudahkan tindakan dilaksanakan. Buktinya, sejumlah 92.16 peratus atau 5,178 aduan milik KKR yang diterima itu telah pun berjaya diselesaikan, manakala baki 406 aduan sedang dalam proses tindakan.
Penyelarasan tindakan itu turut ditingkatkan apabila sebuah jawatankuasa bertindak yang disertai tiga kementerian iaitu KKR, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diwujudkan bagi mengatasi isu kerosakan dan penyelenggaraan jalan raya di Malaysia.
Aktiviti penyelenggaraan jalan adalah penting untuk mengawal kadar kerosakan dan memastikan perkhidmatan jalan berada pada tahap terbaik, seterusnya menjamin keselesaan dan keselamatan semua pihak.
Pada masa sama, kempen MYJalan ini adalah selaras dengan strategi Wawasan Sifar (Vision Zero) yang diperkenalkan oleh Sweden dan diimplementasikan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) sejak 2019.
Ia sebagai langkah ke hadapan untuk memastikan generasi akan datang mempunyai pemikiran yang berbeza daripada sebelumnya iaitu ‘kemalangan boleh dicegah dan setiap kematian dalam kemalangan tidak boleh diterima’.
Selain itu, Malaysia meletakkan komitmen untuk mengimplementasikan Pelan Global Dekad Tindakan untuk Keselamatan Jalan Raya 2021–2030 dengan matlamat pihak berkuasa keselamatan jalan raya di negara ini dapat mengintegrasikan usaha bersepadu, aktiviti dan inisiatif selaras dengan pelan berkenaan ke dalam dasar serta program yang diatur.
Komitmen ini diterjemahkan dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022- 2030 yang menggariskan rangka kerja yang mengandungi 10 bidang keutamaan termasuk pengurusan keselamatan jalan raya; kenderaan, pengguna dan persekitaran pemanduan yang lebih selamat dengan menumpukan peningkatan keselamatan jalan raya di Malaysia.
Justeru, kepada pengadu, tiada lagi panggilan anda tidak berjawab!

* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Jabatan Kerja Raya #KPKT #Kesatuan Eropah #tanah runtuh
;