[KOLUMNIS] Industri pertahanan tempatan perlu lonjakan strategik
Kolumnis AWANI
November 24, 2024 17:20 MYT
November 24, 2024 17:20 MYT
PEMBENTANGAN Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat yang menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah menarik perhatian banyak pihak. Dalam konteks pertahanan misalnya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan keseluruhan RM21.2 bilion. Jumlah ini menunjukkan indikator positif dengan peningkatan sebanyak 7.08% berbanding tahun sebelumnya. Yang menariknya, dalam pembentangan tersebut, jelas kelihatan komitmen serta kesungguhan Kerajaan dalam memastikan dana ini digunakan untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan fokus dan hala tuju ini merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh negara. Malaysia telah lama bergantung kepada aset-aset ketenteraan yang diimport sepenuhnya dari negara luar. Misalnya, pesawat Sukhoi Su-30MKM dan MiG-29 dari Rusia, F/A-18D Hornet dari Amerika Syarikat, kapal selam kelas Scorpène dari Perancis, dan sistem pertahanan udara STARStreak dari UK. Kebergantungan secara penuh dan menyeluruh dalam aspek ini meletakkan negara dalam risiko tinggi, terutamanya jika berlaku perubahan dasar luar atau sekatan antarabangsa yang boleh menjejaskan kesiagaan tentera Malaysia.
Jika diamati, beberapa negara terdekat sudah mulai mengorak langkah membebaskan diri daripada kebergantungan terhadap aset ketenteraan asing. Sebagai perbandingan, Singapura, melalui syarikat ST Engineering, berhasil mereka cipta teknologi kenderaan tempur Terrex yang digunakan secara lokal dan turut menarik minat antarabangsa. Terrex 2 pernah disenarai pendek dalam program Amphibious Combat Vehicle (ACV) bagi Marin Amerika Syarikat (USMC), biarpun pada akhirnya tidak dipilih. Singapura juga telah menarik minat Australia melalui program LAND 400 dengan model Terrex 3, yang bersaing dengan syarikat Rheinmetall dari Jerman.
Indonesia pula melalui PT Pindad, mengeluarkan kenderaan perisai Anoa yang digunakan secara meluas oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan dieksport ke Brunei. Selain kenderaan tempur, PT Pindad turut mengeksport senjata seperti rifle SS1 dan SS2, serta senjata sniper SPR-2 ke negara seperti Kemboja, Laos, Nigeria, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). PT Pindad juga berjaya mengeksport peluru ke Korea Selatan, Singapura, Timor Leste, Laos, dan Filipina dengan nilai eksport mencecah AS$5 juta setahun.
Segala perkembangan dan pencapaian memberangsangkan oleh negara-negara jiran kita ini sudah pastilah sesuatu yang mesti diberikan perhatian oleh negara kita. Khususnya para pemain industri pertahanan tempatan.
Memperkasa Industri Pertahanan Tempatan
Malaysia perlu segera memperkukuh industri pertahanan tempatan negara kita. Kedua-dua negara jiran yang paling hampir dengan kita telah membuktikan kemampuan rantau ini dengan meningkatkan pencapaian serta kemandirian aset pertahanan melalui pelaburan jangka panjang, terutama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemindahan teknologi yang berkesan.
R&D adalah komponen penting dalam kejayaan industri pertahanan. Sebagai contoh, ST Engineering dari Singapura membelanjakan sebanyak $411 juta pada tahun 2023 untuk R&D, menghasilkan intensiti R&D sebanyak 4.1%, yang membuktikan pelaburan besar dalam inovasi ketenteraan.
Namun, di Malaysia, pelaburan dalam R&D masih menjadi kekangan utama. Pihak industri kurang cenderung melabur dalam R&D untuk mencipta teknologi baharu. Ini juga disebabkan oleh kurangnya inisiatif untuk mengambil risiko dalam menghasilkan reka cipta baharu, menyebabkan industri tempatan lebih tertumpu pada pemasangan dan penghasilan komponen berbanding pembangunan teknologi penuh. Walaupun aset ketenteraan tempatan dikatakan dibina dalam negara, komponen utama dan kritikal masih perlu diimport dari luar.
Malah, pengguna akhir seperti Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia lebih cenderung memilih peralatan yang telah terbukti keberkesanannya di pasaran antarabangsa berbanding mengambil risiko terhadap teknologi baharu keluaran tempatan yang belum diuji. Sekali pun kecenderungan tersebut sangat difahami, sudah pastilah ia mengurangkan permintaan terhadap produk tempatan yang mungkin lebih inovatif, tetapi memerlukan pengujian serta pembangunan yang lebih lanjut dan berterusan.
Masalah ini dikeruhkan lagi dengan intervensi yang sering berubah-ubah mengikut pentadbiran semasa. Setiap kali kerajaan bertukar, dasar serta fokus pertahanan turut menerima kesan. Perkara ini pastinya menjejaskan kesinambungan projek-projek jangka panjang yang diperlukan untuk membina industri pertahanan yang berdikari. Tanpa dasar yang konsisten, industri pertahanan tempatan tidak dapat berkembang secara menyeluruh kerana projek-projek kritikal sering terbengkalai atau ditangguhkan.
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan perlu memberi sokongan berterusan kepada industri pertahanan dengan memastikan dasar yang dirangka kekal konsisten untuk tempoh yang panjang. Pada masa yang sama, pemindahan teknologi daripada perolehan antarabangsa perlu ditingkatkan bagi membina kapasiti tempatan yang boleh bersaing di peringkat global. Ini termasuk juga pelaburan lebih besar dalam R&D tempatan untuk memperkukuh inovasi dan pembangunan teknologi dalam negara.
Peningkatan 7.08% dalam Belanjawan 2025 untuk sektor pertahanan seharusnya membuka jalan dan peluang besar untuk kita memacu transformasi sektor ini melalui insentif kepada R&D sekali gus menyokong syarikat tempatan dalam membangunkan teknologi mereka sendiri.
Penegasan oleh Menteri Pertahanan dalam jawapan serta kenyataan beliau Dewan Rakyat semasa sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Peringkat Dasar pada 7 November yang lalu sudah pasti memberi keyakinan baharu kepada para pemain tempatan. Khususnya pelopor beberapa teknologi kontemporari seperti sistem dron, Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pertahanan siber perlu diberikan fokus dalam menarik minat pasaran serantau dan antarabangsa.
Malah, Mohamed Khaled berkata, penyertaan beliau dan delegasi MINDEF dalam Responsible AI in Military Domain Summit di Seoul, Korea Selatan pada bulan September lepas mengukuhkan keseriusan MINDEF untuk meneroka teknologi terkini seperti AI dengan menyokong pemain industri tempatan.
Kita harap komitmen Menteri Pertahanan yang menegaskan agar setiap perolehan aset ketenteraan dari luar membawa bersama pemindahan teknologi disokong dan direalisasikan dengan baik. Aspirasi serta iltizam politik yang ditunjukkan itu berupaya menjadi satu langkah lonjakan yang akan membantu Malaysia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada pembekal asing, tetapi juga membuka peluang kepada industri pertahanan tempatan untuk berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.
* Artikel ini ditulis oleh Nur Farhani Samasu, Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sarawak.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.