[KOLUMNIS] Hentikan buli guru di sekolah
Ts Mohd Soffian Osman
Mei 16, 2022 21:49 MYT
Mei 16, 2022 21:49 MYT
KUALA LUMPUR: Negara dikejutkan dengan pendedahan budaya buli dalam perkhidmatan perubatan dan kesihatan terutamanya membabitkan doktor pelatih sehingga mewujudkan hazard psikososial dalam kalangan mereka.
Jika ianya dibiarkan berterusan dan tiada langkah kawalan yang bersesuaian, akhirnya mengakibatkan tekanan emosi dan mental dan seterusnya menjurus kepada tragedi bunuh diri.
Tindakan segera pihak berkepentingan terutamanya oleh YB Khairy Jamaluddin selaku Menteri Kesihatan yang turun padang mendengar rintihan golongan yang terlibat secara langsung wajar diberikan pujian.
Tetapi lain pula ceritanya di sektor pendidikan, apabila terdapat banyak siri-siri pendedahan oleh rakan-rakan guru atau warga pendidik dan ibu bapa berkaitan suasana kerja yang seolah-olah mencerminkan ‘budaya buli’ dalam profesion tersebut seperti dipandang sepi oleh pihak yang terlibat.
Prasarana sekolah yang daif
Antara pendedahan yang banyak dikongsikan ialah berkaitan masalah kedaifan prasarana di sekolah terutamanya melibatkan jenis sekolah harian biasa seperti kerosakan kipas, lampu, papan putih, meja dan kerusi di dalam kelas yang akhirnya menimbulkan suasana kurang selesa ketika sesi pembelajaran oleh guru dan murid.
Isu kedaifan prasarana di sekolah tidak terhad di bilik darjah semata-mata, bahkan ia turut melibatkan hampir keseluruhan institusi sekolah itu sendiri, dari kantin, padang, hingga ke tandas guru dan murid.
Belum lagi rungutan berkaitan bilik guru yang serba kekurangan, ruang yang terhad dan sempit, jauh sekali dari bilik berhawa dingin.
Kekurangan peralatan alat bantu mengajar termasuk alat tulis seperti pena penanda (marker pen) yang digunakan sehari-hari turut membelenggu para guru.
Malahan terdapat banyak rungutan terhadap ketiadaan kertas putih (baca : kertas A4, A3, B5 dan sebagainya) yang perlu digunakan bagi tujuan membuat salinan bahan pengajaran, lembaran kerja dan lain-lain.
Antara faktor yang dikatakan menjadi penyebab kepada semua isu ini adalah berikutan kekurangan peruntukan oleh kementerian atau kerajaan, selain pelbagai cabaran kerenah birokrasi di pelbagai peringkat samada di sekolah itu sendiri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang seolah-olah cuba menutup mulut para guru dari mengajukan permasalahan tersebut ke peringkat atasan.
Lebih malang lagi, ada dalam kalangan pentadbir sekolah yang lebih mengutamakan perbelanjaan terhadap kerja-kerja keceriaan sekolah seperti membina landskap, mural dan sebagainya berbanding membaik pulih prasarana asas kepada keselesaan guru dan murid.
Akhirnya, dek kerana ‘kehilangan suara’ serta keprihatinan rakan-rakan guru semua isu tersebut cuba diatasi dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri mengikut kemampuan maisng-masing.
Beban tugas guru
Walaupun ramai orang menganggap profesion keguruan ini adalah satu profesion yang banyak rehat dan cuti, hakikatnya ia tidaklah indah seperti yang disangka.
Antara isu tradisi yang telah lama membelenggu profesion keguruan ialah beban tugas mereka yang dikatakan kian hari kian bertambah.
Kita sedia maklum bahawa tugas hakiki seorang guru ialah mengajar subjek yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka, selain turut wajib terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum dan lain-lain kegiatan sebagaimana ditentukan oleh Menteri Pendidikan.
Maka tidak hairanlah jika kita melihat ada dalam kalangan guru yang terpaksa memperuntukkan masa senggang mereka termasuk pada waktu malam dan hari cuti bagi melatih dan mengasah bakat murid bagi menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan oleh KPM bagi memastikan kemenjadian murid.
Bagi mereka yang mengajar kelas-kelas peperiksaan pula akan dikerah untuk melakukan kelas tambahan di luar waktu mengajar yang diperuntukkan.
Pun begitu, saya percaya sekalipun tugas-tugas ini meruntun masa dan komitmen mereka, kebanyakan guru sanggup berkorban demi anak murid kesayangan.
Namun, guru turut dibebankan dengan pelbagai kerja pentadbiran dengan menyandang beberapa jawatan seperti ketua panitia, guru disiplin, guru SPBT, warden dan lain-lain tanpa pengurangan waktu mengajar sehingga adakalanya mengganggu tugas hakiki mereka.
Selain itu, guru juga terpaksa melakukan keja-kerja pengkeranian seperti pendaftaran murid dan memasukkan data (data entry) yang pelbagai, contohnya data Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Adakalanya guru terpaksa membuat kerja yang berulang-ulang bagi satu data yang sama, apabila pihak-pihak terlibat seperti sekolah, PPD dan JPN mengkehendakinya dalam format yang berbeza-beza selain perlu dimasukkan di pelbagai platfom atau sistem yang berlainan.
Apa yang lebih membebankan ialah apabila guru diminta untuk menghantar semua data tersebut dalam masa yang singkat dengan sistem pelayan (server) atau sistem capaian yang sangat perlahan dan sering mengalami gangguan teknikal.
Keselamatan dan kebajikan guru
Profesion keguruan di Malaysia juga tidak pernah sunyi dari pelbagai isu keselamatan dan kebajikan mereka sehingga ada yang kehilangan nyawa ketika melaksanakan tugas yang pada dasarnya bukanlah merupakan salah satu tugas guru.
Masih segar dalam ingatan kita betapa seorang guru di Kelantan maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan sekolahnya ketika melakukan kerja-kerja persiapan pembukaan sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan pada Julai 2020 yang lalu.
Ada juga guru yang mengalami kecederaan dan kerugian harta benda apabila terlibat dalam kemalangan ketika perjalanan pergi dan pulang sewaktu menghantar murid menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan di luar sekolah.
Sudahlah terpaksa menggunakan kenderaan dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi tujuan tersebut, sehingga ada yang perlu berdepan dengan tindakan mahkamah oleh ibu bapa.
Lebih menyedihkan apabila kes ini perlu didepani oleh guru tersebut secara berseorangan tanpa pembelaan yang sewajarnya, sebaliknya turut berdepan dengan kemungkinan ditahan kerja.
Cadangan penyelesaian
Tidak dinafikan bahawa semua profesion mempunyai cabaran yang tersendiri.
Walau bagaimanapun, profesion keguruan ini perlu diberikan fokus yang lebih dan utama kerana kepentingannya sebagai elemen asas dalam pendidikan formal selain menjadi teras kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Bak kata Dato’ Usman Awang dalam sajaknya ‘Guru oh Guru’, ‘Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta, Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca’.
Justeru, bersempena sambutan Hari Guru pada hari ini, berikut dicadangkan beberapa langkah penyelesaian yang boleh dipertimbangkan dalam menangani beberapa isu yang diutarakan :
- menubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi melakukan audit yang lebih terperinci bagi mengenal pasti jumlah sebenar sekolah daif di Malaysia;
- melakukan pembaikan segera ke atas semua sekolah daif yang telah dikenal pasti dengan keutamaan kepada prasarana yang boleh mendatangkan risiko keselamatan, kesihatan dan ketidak selesaan kepada guru dan murid;
- menaik taraf kemudahan bilik guru sedia ada agar ia dapat menjadi ruang kerja dan rehat yang lebih kondusif;
- menyediakan satu unit ‘task force’ yang terdiri daripada kakitangan KPM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan aktiviti penyelenggaraan (maintenance) dilakukan dengan kerap dan megikut jadual tanpa bergantung kepada projek penyelenggaraan berskala besar semata-mata;
- menubuhkan satu jawatankuasa khas dan bebas yang terdiri dari seluruh komuniti sokongan di sekolah (ibu bapa, guru, agensi kerajaan dan komuniti setempat) di peringkat sekolah yang bertanggungjawab memantau keadaan prasarana di sekolah dan melaporkannya secara langsung kepada pihak KPM bagi mengelakkan sebarang kerenah birokrasi pihak tertentu;
- menyediakan peruntukan yang lebih besar dan spesifik bagi tujuan pembelian alat bantu mengajar dan alatulis bagi kegunaan guru;
- menyediakan perjawatan khusus untuk guru disiplin, warden, kerani kemasukan data (data entry clerk) dan lain-lain;
- menyelenggara atau menaik taraf sistem pelayan atau sistem capaian yang digunakan oleh KPM bagi memastikan ianya dapat digunakan dengan lebih efisien tanpa sebarang gangguan teknikal selaras dengan kehendak dan keperluan guru dan warga KPM;
- melantik seorang Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Safety and Health Coordinator – OSHC) dengan kadar segera bagi menjalankan kerja-kerja berkaitan keselamatan, kesihatan dan kebajikan di sekolah;
- mengemaskini prosedur yang berkaitan tugas guru yang melibatkan sebarang aktiviti pelajar di luar sekolah.
Semua isu yang membelenggu dan ‘membuli’ guru di sekolah memerlukan tindakan pembetulan dengan kadar segera agar persekitaran sekolah yang selamat, seronok dan kondusif dapat dijelmakan.
Dalam masa yang sama, jangan biarkan para guru terus menjadi lilin, membakar diri sendiri begitu sahaja, sebaliknya fungsi dan tugas guru yang sebenar dan hakiki dapat dikembalikan, seterusnya benar-benar mampu menjadi TUNJANG ke arah SEKOLAH SEJAHTERA.
Selamat Hari Guru kepada semua yang pernah berjasa mendidik anak bangsa tanpa jemu dan lelah. Jasa dan baktimu pada nusa dan bangsa tidak mungkin terbalaskan. Anda adalah insan terhebat kiriman Tuhan.
* Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#buli
#bunuh diri
#guru
#Kementerian Pendidikan
#Malaysia
#pelajar
#pendidikan
#peperiksaan
#sekolah