[KOLUMNIS] Gagasan idea, kepemimpinan, prestasi dan kerjasama jayakan Kerajaan Perpaduan
Mohd Izani Mohd Zain
November 29, 2024 09:00 MYT
November 29, 2024 09:00 MYT
KERAJAAN Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk ketika situasi politik negara yang tidak menentu selain tahap polarisasi perkauman yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bukan mudah untuk sebuah kerajaan mengurus politik negara dan paling penting membawa Malaysia kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara terutama selepas krisis politik berpanjangan semasa dan pasca penularan COVID-19.
Apabila menyentuh soal pencapaian dan kemajuan dua tahun Kerajaan Perpaduan, apakah faktor dan aktor yang perlu disorot dan dianalisis?
Tulisan ini akan menyentuh lima perkara penting yang mempengaruhi strategi dan prestasi Kerajaan Perpaduan, iaitu gagasan idea dalam kepemimpinan Perdana Menteri, keampuhan pasukan Jemaah Menteri, kebingkasan penjawat awam, penerimaan dan penyertaan rakyat dan kerjasama parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Pertama, kekuatan Kerajaan Perpaduan sangat bergantung kepada gagasan idea dalam kepemimpinan Perdana Menteri.
Reputasi dan impak sesebuah negara bergantung kepada banyak faktor antaranya gagasan idea yang menghasilkan impak kepemimpinan yang hebat.
Impak kepemimpinan yang jitu ini mampu sehingga meningkatkan keyakinan pihak luar kepada kemampuan negara.
Meskipun seseorang Perdana Menteri itu asalnya seorang ahli politik, tetapi beliau perlu menjadi pemimpin intelek awam yang mendepani pemikiran rakyatnya.
Gagasan idea Malaysia MADANI berhasrat membawa Malaysia ke satu tahap perubahan dan pembaharuan yang diperlukan untuk menjadi negara hebat.
Hal ini kerana ia ditunjangi dengan nilai peradaban dan prinsip bernegara yang kukuh.
Dalam menakhoda Malaysia, beliau sering menyebut pendekatan menggapai ke langit dan mengakar di bumi.
Untuk menjadi sebuah negara yang hebat, Malaysia perlu kukuh menjulang jati diri dan budaya tetapi pada masa yang sama, menguasai keperluan dan teknologi semasa yang memastikannya tidak ketinggalan daripada persaingan global.
Kedua, prestasi Kerajaan Perpaduan secara nyata disumbangkan oleh prestasi pasukan Jemaah Menteri.
Hala tuju yang ditentukan oleh Perdana Menteri mestilah disambut dan diterjemahkan oleh menteri-menteri Kabinet dalam bentuk dasar dan polisi.
Setiap menteri mesti bijak membawa kementerian masing-masing dan bersikap lebih responsif serta bingkas dalam mendepani isu-isu dan kehendak rakyat.
Sudah tentu Perdana Menteri tidak wajar dilihat bersendirian bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar Malaysia MADANI sebaliknya mendapat sokongan dan dukungan semua kementerian.
Usaha yang dilaksanakan oleh beberapa kementerian misalnya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kepemimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir menjayakan Festival Idea Putrajaya baru-baru ini, boleh memberi keyakinan terhadap kerajaan bahawa gagasan idea yang baik boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.
Ketiga, jatuh dan bangun kerajaan turut bergantung kepada penyampaian dasar dan polisi kepada rakyat oleh penjawat awam.
Saranan PMX agar karenah birokrasi dikurangkan adalah suatu perkara yang penting demi melancarkan lagi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diharap dapat menyuntik semangat dan profesionalisme dalam kalangan penjawat awam ke tahap lebih tinggi.
Keempat, penerimaan dan penyertaan rakyat dalam menyokong dan mendukung Kerajaan Perpaduan adalah sangat kritikal.
Penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan akan mendorong penyertaan mereka dalam proses demokrasi secara lebih matang sekali gus menghasilkan sokongan kepada kerajaan perpaduan dalam pilihan raya akan datang.
Jurang antara kerajaan dengan rakyat perlu dikurangkan dengan pendekatan menawan hati dan minda selain penggunaan teknologi serta media sosial.
Kelima, kerjasama antara parti politik dalam kerajaan perpaduan sangat penting.
Namun, tidak dinafikan meskipun kerjasama politik itu wujud dalam membentuk Kerajaan Perpaduan, masih wujud persaingan politik dan tidak dinafikan segelintir pemimpin masih mewarisi minda pembangkang.
Apa yang jelas, Kerajaan Perpaduan mestilah menunjukkan teladan yang baik dengan mengelakkan pertelagahan secara terbuka.
Premis Kerajaan Perpaduan adalah jelas, iaitu membentuk kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kerajaan Perpaduan ini boleh dikatakan suatu kerjasama politik yang longgar tanpa mengikat mana-mana parti politik apatah lagi mengorbankan ideologi perjuangan mereka.
Dalam kata lain, jangka hayat Kerajaan Perpaduan ini boleh diteruskan atau sebaliknya pasca PRU16 kelak.
Ia bergantung kepada iltizam politik dan peranan elit politik yang berjiwa besar dalam Kerajaan Perpaduan.
Daripada persaingan kepada kerjasama politik. Keunikan Kerajaan Perpaduan adalah bagaimana mereka mengurus kestabilan politik melalui pendekatan kerjasama politik selepas persaingan pilihan raya.
Apa yang jelas, pembentukan kerajaan perpaduan adalah suatu keazaman politik yang tidak berlaku dalam sejarah politik negara sebelum ini.
Dalam ketidaktentuan politik yang semakin menafikan kewujudan dominasi sesebuah parti politik, kerajaan perpaduan adalah alternatif terbaik bagi kelangsungan negara buat masa ini.
Dalam tempoh dua tahun ini, jelas kelihatan bagaimana Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan PMX berusaha untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam semua aspek.
Banyak pihak boleh mengkritik dan membuat penilaian, tetapi bukan semua sanggup bekerja dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
Sebagai sebuah kerajaan, mereka diberikan mandat untuk menentukan dasar dan melaksanakan ikhtiar.
Lebih-lebih lagi, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bermula tahun depan wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan patriotisme dan mempersatu rakyat Malaysia sebagai satu pasukan yang kukuh dan mantap.
Secara tuntasnya, dua tahun yang mencabar dan tiga tahun yang berbaki ini boleh diperkukuhkan lagi dengan syarat Kerajaan Perpaduan terus menguasai lima faktor penting, iaitu gagasan idea dalam kepemimpinan Perdana Menteri, keampuhan pasukan Jemaah Menteri, kebingkasan penjawat awam, penerimaan dan penyertaan rakyat dan kerjasama parti-parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
* Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain ialah penganalisis politik dan Profesor dalam politik dan kerajaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.