[KOLUMNIS] Ekonomi dan kemampanan tenaga
Rafizi Ramli
Jun 7, 2024 17:00 MYT
Jun 7, 2024 17:00 MYT
SALAH satu nadi utama yang menggerakkan ekonomi sesebuah negara adalah keberadaan dan kemampanan tenaga (elektrik, gas, petrol dan seumpamanya).
Sektor tenaga yang bekalannya stabil, harga berpatutan dan mencukupi akan membolehkan ekonomi terus berkembang.
Sebab itu, sebagai sebahagian dari proses menstrukturkan ekonomi ke arah bernilai tinggi, tumpuan pertama Kementerian Ekonomi adalah meletakkan agenda peralihan tenaga sebagai penggerak utama dasar ekonomi negara.
Ada beberapa realiti mengenai kemampanan tenaga negara yang belum diketahui umum.
Kita membesar dalam suasana keberadaan sumber asli yang memberi kelebihan kepada negara.
Sebelum ini, Malaysia mempunyai rizab dan pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang besar. Itu membolehkan kita menggunakan gas asli untuk menjana elektrik pada kos yang rendah, malah gas asli dieksport ke negara luar sebagai LNG.
Suatu ketika dahulu, pengeluaran minyak mentah pula berada pada paras sekitar 650,000 tong sehari. Pengeluaran pada kadar itu lebih dari mencukupi untuk menampung penggunaan domestik, selebihnya dieksport.
Generasi saya membesar dalam suasana ini. Struktur ekonomi yang ada pada hari ini dibangunkan dengan berlatar belakangkan suasana kelebihan tenaga yang Malaysia ada sebelum ini.
Ada beberapa fakta yang saya perlu kongsi dengan masyarakat, untuk memberi konteks kepada beberapa keputusan besar kerajaan seperti peralihan tenaga dan penyasaran semula subsidi pukal.
Faktanya berkait rapat dengan keberadaan dan kemampanan sumber tenaga negara untuk 20-30 tahun akan datang.
Pertama, pengeluaran kasar minyak mentah telah menurun mendadak beberapa tahun kebelakangan ini. Angka semasa menunjukkan Malaysia hanya mengeluarkan sekitar 380,000 ke 390,000 tong minyak mentah sehari (berbanding 650,000 tong sehari suatu ketika dahulu).
Kedua, penggunaan gas asli di Semenanjung (untuk menjana elektrik dan sebagai bahan asas industri) telah melebihi pengeluaran domestik. Bagi tahun 2023, Malaysia sebenarnya telah mengimport sekitar 25% dari keperluan gas asli untuk Semenanjung dari negara luar. Kadar import ini dijangka naik lagi dalam 2024, dan akan terus naik sekiranya peralihan tenaga tidak berlaku dengan lebih cepat.
Fakta-fakta ini telah pun diketahui oleh pembuat dasar dan pemain industri. Kakitangan PETRONAS di Kerteh misalnya sedia maklum bahawa kapasiti loji pemproses gas asli telah direhatkan sebahagiannya, kerana gas asli yang semakin berkurang.
Realitinya, jika sesuatu tidak dilakukan, Malaysia akan berubah dari negara yang berkemampuan menyediakan tenaga dari sumber asli keluaran domestik, kepada negara yang mengimport sumber asli (minyak mentah dan gas asli) untuk menyediakan tenaga (elektrik, gas dan diesel/petrol).
Jika kita terus dengan amalan-amalan sebelum ini (subsidi pukal, penggunaan tenaga yang tidak berhemah, komposisi penjanaan elektrik yang bergantung kepada arang batu dan gas asli), menjelang 2050, ekonomi kita bergantung kepada harga sumber asli yang ditetapkan negara lain.
Ini fakta yang tidak gemar kita dengar. Lebih mudah untuk menolaknya sebagai masalah orang lain yang perlu diselesaikan oleh orang lain di masa lain.
Tetapi orang lain yang akan mewarisi masalah ini adalah anak-anak kita dalam 10-20 tahun dari sekarang.
Dalam konteks inilah, Kementerian Ekonomi akan terus memberi tumpuan untuk membina kemampanan tenaga negara menjelang 2050 kerana kemerdekaan ekonomi kita menjadi taruhan, sekiranya perkara ini tidak diselesaikan.
Marilah kita wariskan ekonomi negara kepada anak-anak kita dalam keadaan yang lebih kukuh dan terjamin dari apa yang kita ada sekarang.
*Rafizi Ramli adalah Menteri Ekonomi
**Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.