[KOLUMNIS] Dewan Negara wajar bahaskan isu pengendalian sistem aplikasi MySejahtera

Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair
Mac 30, 2022 22:32 MYT
MySejahtera perlu dikendalikan secara sistematik dan telus tanpa melibatkan mana-mana pihak swasta sebagai pihak ketiga yang berkepentingan. Gambar hiasan/ Bernama
DATA peribadi rakyat tidak seharusnya dikompromi bagi tujuan keuntungan peribadi dan politik.
Aplikasi dalam talian MySejahtera yang dijadikan sebagai dokumentasi digital yang antaranya memaparkan status vaksinasi rakyat perlu dikendalikan secara sistematik dan telus tanpa melibatkan mana-mana pihak swasta sebagai pihak ketiga yang berkepentingan.
Kontroversi berkenaan manipulasi storan data pengguna MySejahtera semestinya memerlukan penyiasatan terperinci terutamanya daripada Parlimen. Kita tidak mahu lagi perilaku rasuah atau penyelewengan amanah rakyat menjadi punca kepada kemerosatan kredibiliti urus tadbir negara, lebih-lebih lagi penyelewengan tersebut melibatkan jutaan maklumat peribadi penting yang berisiko untuk dieksploitasi oleh pihak-pihak berkepentingan termasuklah pemimpin politik.
Biarpun berbeza aliran politik, saya senada dengan pandangan yang dilontarkan oleh ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang baru-baru ini turut mempersoalkan proses pengambilalihan pemilikan kandungan aplikasi MySejahtera yang amat mengelirukan dan meragukan.
Saya juga turut berkongsi persoalan yang sama dengan Timbalan Presiden UMNO tersebut mengenai kewajaran sistem penjejakan (digital tracing) melalui MySejahtera diteruskan memandangkan negara kita akan beralih ke fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini.
Selaku pengguna MySejahtera, saya juga menuntut penjelasan lanjut dan terperinci oleh Menteri Kesihatan serta pemimpin-pemimpin Kerajaan Persekutuan yang terlibat dengan pewujudan aplikasi kegunaan ramai tersebut.
Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan serta menteri-menteri lain yang terlibat juga perlu segera bersemuka dengan wakil-wakil rakyat di Parlimen, khususnya Dewan Negara yang akan berakhir pada esok hari.
Secara peribadi, saya menyambut baik tindakan proaktif Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang telah memanggil Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan untuk menghadiri prosiding jawatankuasa Parlimen tersebut untuk menjelaskan dengan terperinci berkenaan isu MySejahtera.
Komposisi dwipartisan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) wajar dimanfaatkan bagi menyelesaikan kecelaruan yang timbul berkenaan dengan pemilikan hakiki aplikasi MySejahtera yang turut melibatkan privasi serta keselamatan peribadi jutaan rakyat Malaysia.
Saya juga berharap ‘keberanian’ Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk membawa usul mengenai isu aplikasi MySejahtera ke Dewan Negara untuk dibahaskan adalah bersifat ikhlas dan bukannya hanya untuk dipertayangkan sebagai ceritera politik memandangkan komposisi terkini Ahli Dewan Negara dari blok Pakatan Harapan hanya tiga orang manakala selebihnya mewakili parti-parti komponen Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
Dari persepektif saya, isu penting yang melibatkan kepentingan rakyat seharusnya dibahaskan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen. Namun begitu, memandangkan sidang Dewan Negara sahaja yang masih bersidang, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Tan Sri Datuk Seri Utama Rais Yatim wajar mempertimbangkan usul tersebut untuk dibahaskan secara konstruktif dan profesional oleh Ahli-Ahli Dewan Negara.
Majlis Dewan Negara seharusnya diberi mandat untuk membahaskan isu penting negara ini memandangkan ia melibatkan aspek ketelusan pengendalian sistem aplikasi nasional yang boleh menjejaskan imej negara dalam soal pengendalian krisis kesihatan di mata dunia.
Biarpun pelantikan semula saya ke Dewan Negara bagi penggal kedua masih belum lagi dimuktamadkan secara rasmi, namun saya masih peka dan prihatin terhadap isu rakyat yang memerlukan perhatian serius Ahli-Ahli Parlimen termasuk Senator Dewan Negara.
Walaupun saya tidak bersama-sama Ahli Dewan Negara yang lain pada sidang Dewan Negara kali ini, namun saya percaya dengan kredibiliti serta profesionalisme mereka untuk melontarkan pandangan, pendapat serta kritikan mereka berhubung isu kontroversi MySejahtera yang melibatkan Menteri Kesihatan tersebut.
Memandangkan esok adalah hari terakhir Dewan Negara bersidang bagi penggal kelima Parlimen ke-14, saya berharap Yang di-Pertua Dewan Negara dapat merestui pembentangan usul Kerajaan oleh Menteri Kesihatan tersebut untuk dimasukkan di dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Negara esok hari dan seterusnya dibahaskan atas semangat Keluarga Malaysia.

* Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair ialah Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan dan Senator Dewan Negara Penggal 2019-2022
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Dewan Negara #MySejahtera #data peribadi rakyat #keuntungan peribadi
;