[KOLUMNIS] Dengan 1.2 juta "pelancong haram", Imigresen wajib perkenalkan SOP
Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat
Julai 4, 2023 21:37 MYT
Julai 4, 2023 21:37 MYT
MENYENANGKAN hati semua orang setiap masa adalah suatu tugas yang mustahil. Sememangnya ada pihak yang akan dihukum apabila terdapat 'tebukan' dalam sistem. Akan tetapi pada hari ini, pihak itu boleh juga dihukum kerana menjalankan tugas dalam membetulkan kesilapan yang lampau.
Dalam apa jua keadaan, paling penting adalah kuatkuasakan sahaja tatacara pengendalian piawai dan anda wajib selamat dari fitnah.
Jabatan Imigresen menerima kecaman hebat baru-baru ini apabila Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berdepan dengan pegawai beruniform di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada situasi seorang warganegara China dinafikan masuk ke negara ini kerana tidak memenuhi syarat visa.
Keperluan visa dikenakan ke atas setiap pengembara di mana-mana pintu masuk mana-mana negara tanpa soal jawab dan perkara sama juga wajib dipraktikkan di pintu masuk negara kita juga.
Sangat mendukacitakan
Apa yang berlaku di KLIA baru-baru ini sangat mendukacitakan. Mesyuarat mingguan Kabinet yang diadakan juga sepatutnya menjadi tempat untuk berantakan jika ada perbezaan pendapat di antara bidang kuasa menteri.
Ini bukan zaman 'koboi' lagi. Kesopanan harus diutamakan terutamanya antara pegawai tinggi kerajaan dan kakitangan beruniform di khalayak ramai.
Kami hargai hasil pelancongan merupakan sumber yang menjana pendapatan tinggi negara dengan jangkaan perolehan RM120.4 bilion kepada pendapatan negara tahun ini berbanding RM97 bilion yang diramalkan tahun lalu.
Dengan memetik kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Saraya Arbi, daripada keseluruhan jumlah itu, sebanyak RM47.6 bilion diramalkan berpunca kehadiran 15.6 juta pelancong asing.
Tetapi, jangan sampai kita kelihatan seperti peminta sedekah sehingga mengorbankan hal keselamatan negara.
Laporan media sebelum ini menyatakan, pelawat asing yang menjadi punca insiden di KLIA minggu lalu adalah seorang pekerja dengan satu kumpulan media dari China.
Namun, di dalam laporan bertulis rasmi oleh pegawai yang bertanggungjawab, jurubahasa berkata pelawat itu ke negara ini untuk menjaga anak seseorang.
Kenyataan penterjemah itu sahaja sudah meragukan.
Jika benar bahawa pelawat itu adalah seorang pekerja kumpulan media dan berada di sini untuk sementara waktu menjaga kanak-kanak (bersangka baik), dia boleh melaporkan dalam medianya tentang pengalamannya di KLIA seraya mengingatkan rakan-rakan senegaranya supaya lebih bersedia dengan dokumen perjalanan yang lengkap apabila memasuki Malaysia.
Persediaan itu tidak akan menghalang mereka daripada datang tetapi membantu untuk lebih bersedia apabila mereka merancang perjalanan seterusnya.
Jika dia hendak menabur fitnah terhadap sistem negara, itu terpulang kepadanya namun kita tidak sepatutnya tunduk dalam ketakutan seolah-olah rezeki datang daripada kumpulan berkenaan.
Boleh diperbaiki
Kami bersetuju dan mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengakui wujud segelintir penguasa Imigresen di KLIA yang masih mengamalkan sistem dan amalan lama, dipercayai mengandungi unsur rasuah.
Perdana Menteri juga menegaskan, kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak segera dan keras dalam menangani amalan tersebut agar ia tidak menjejaskan kerjaya, imej penjawat awam serta negara secara keseluruhan.
Tetapi, Jabatan Imigresen tidak boleh dibuli dengan sewenang-wenangnya dengan membenarkan warga asing yang diragui masuk ke negara ini, hanya kerana hendak mengejar 'dolar' pelancongan mereka.
Pihak Kementerian Dalam Negeri telah menjawab soalan di Parlimen, lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.
KDN turut memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.
Atas dasar itu, keselamatan negara wajib diutamakan. Seramai 1.2 juta warga China yang kini dianggap pendatang haram kerana terlebih had masa duduk di negara kita, ternyata Jabatan Imigresen mempunyai hak yang berasas untuk mengetatkan lagi saringan pelawat dari negara itu.
* Penulis adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, Kempas N47
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.