[KOLUMNIS] Boikot rasuah sepertimana boikot produk berkaitan Israel
Mohd Shahar Abdullah
Oktober 28, 2024 16:45 MYT
Oktober 28, 2024 16:45 MYT
KEMPEN atau tindakan memboikot produk berkaitan Israel, berikutan serangan berterusan dan tindakan zalim rejim Zionis terhadap warga Palestin menyaksikan banyak pihak di seluruh dunia termasuk di Malaysia melancarkan kempen boikot terhadap produk dan perkhidmatan yang dikaitkan dengan Yahudi atau memberi sokongan untuk Israel dengan tujuan membantah tindakan terkutuk negara Israel.
Langkah itu dilihat tindakan terbaik dan mampu dilakukan dalam menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin. Hasil daripada tindakan itu meninggalkan banyak kesan kepada beberapa produk atau syarikat yang dikaitkan dengan kempen itu mengalami kerugian besar akibat jumlah pelanggan yang merosot.
Sebagaimana rakyat Malaysia memboikot produk Israel, justeru prinsip yang sama perlu diterapkan dalam isu memerangi rasuah yang perlu diperangi secara habis-habisan dengan menggunakan apa saja ‘peluru’
yang ada tanpa mengenal usia.
Jika dilihat secara kasar, kes rasuah di negara ini boleh diibaratkan seperti isu yang tidak pernah habis dan tidak berkesudahan walaupun pelbagai tindakan diambil sama ada menerusi operasi dan usaha pencegahan oleh pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Hakikatnya, rasuah akan menjadi ‘barah’ berbahaya jika gejala itu terus dibiar menular dalam kalangan masyarakat.
Dalam hal ini, antara usaha yang boleh dilakukan ialah dengan menanamkan asas membenci rasuah menerusi pendidikan awal ketika zaman kanak-kanak dimana anak-anak sejak kecil lagi perlu dididik untuk
mengenal pasti apa yang dikatakan sebagai rasuah dan menolak daripada melakukannya sebagaimana anak-anak diajar memboikot membeli produk makanan segera yang dikaitkan dengan sokongan kepada Israel.
Usaha tersebut penting bagi memastikan generasi pelapis di negara ini tidak terjerat dengan sebarang amalan rasuah. Bahkan, dengan kefahaman dari kecil itu dapat mengasuh anak-anak agar berintegriti dan
mengamalkan budaya antirasuah.
Walau bagaimanapun, kejayaan usaha ini memerlukan tindakan bersepadu oleh semua pihak. Ia bukan sahaja perlu dijadikan sebagai kokurikulum, tetapi perlu menjadi tindakan massa, iaitu dengan
dimasukkan dalam elemen-elemen ceramah, budaya, dan pendekatan secara menyeluruh di segenap pelusuk negara.
Dalam konteks yang lebih luas, SPRM bukan sahaja perlu bebas dan berwibawa dalam usaha memerangi rasuah, malah perlu dinampakkan demikian di mata masyarakat umum.
Oleh itu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) diwujudkan sebagai badan pemantau bebas SPRM yang berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap pelaksanaan fungsi dan peranan SPRM.
JKMR juga berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia serta memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang perjalanan oleh Suruhanjaya akan fungsinya di bawah Akta SPRM 2009.
Semakan JKMR ke atas laporan-laporan dan taklimat-taklimat yang diberikan oleh SPRM memastikan Suruhanjaya itu melaksanakan tindakan tanpa dikacau ganggu oleh mana-mana pihak termasuk pihak eksekutif.
Secara umum, ia bertujuan meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah, sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap SPRM.
JKMR terdiri daripada tujuh ahli yang dilantik di kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Pada masa kini, JKMR mempunyai empat orang ahli yang terdiri daripada Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera
Mohd Shahar Abdullah; Ahli Parlimen Batang Lupar, YB Tuan Mohamad Shafizan Kepli; Ahli Parlimen Tawau, YB Tuan Lo Su Fui; dan Ahli Parlimen Bentong, YB Puan Young Syefura Othman. Manakala tiga lagi
ahli sedang dalam proses pelantikan calon baharu.
Malah, komposisi ahli-ahli JKMR yang mana pelantikan mereka dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong terdiri daripada kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat mewakili parti pemerintah dan pembangkang.
Peruntukan seksyen tersebut juga menetapkan tidak ada seorang pun Anggota Pentadbiran boleh dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas ini.
JKMR dan panel pemantau bebas lain berperanan menjadi penanda aras keupayaan SPRM bertindak sebagai badan bebas atau sebaliknya.
Sehubungan itu, keyakinan masyarakat terhadap ketelusan dan kredibiliti SPRM akan meningkat setelah memahami fungsi dan tugas JKMR ini, di samping fungsi dan peranan empat lagi panel pemantau bebas yang lain, iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).
Kewujudan lima badan bebas ini dilihat amat signifikan dalam memastikan SPRM bertindak bebas, adil dan profesional. Namun, secara holistiknya, segenap lapisan masyarakat perlu mempunyai prinsip dan semangat
untuk memartabatkan tanah air dengan sentiasa mengamalkan sesuatu menurut nilai dan norma-norma integriti yang tinggi.
Oleh itu, semua pihak tidak kira bangsa mahupun agama perlu berganding bahu ‘bagai aur dengan tebing’ demi memastikan usaha memboikot rasuah ini dinoktahkan segera sekiranya mahu menjadikan Malaysia ini sebuah negara bebas rasuah.
* Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah adalah Ahli Parlimen Paya Besar dan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Badan Pemantau Bebas SPRM.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.