[KOLUMNIS] Belanjawan 2023: Untuk siapa?

Zouhair Rosli
Mac 5, 2023 12:40 MYT
Belanjawan yang dibentangkan bukanlah saiz belanjawan atau jumlah keseluruhan hutang kerajaan tetapi, apa yang akan dibelanjakan dan siapa yang akan menerima manfaat paling banyak? - Gambar hiasan
SUDAH lebih seminggu Belanjawan 2023 dibentangkan.
Walau bagaimanapun, perbincangan tentang belanjawan saban tahun hanya berkisar pada jumlah belanjawan dan jumlah hutang kerajaan yang “terbesar dalam sejarah”.
Terdapat dua mitos yang wajib dihapuskan berkenaan perbincangan seperti ini.
Mitos 1: Bajet paling besar dalam sejarah?
Sejak tahun 1970, bajet yang diumumkan sentiasa lebih tinggi dari tahun sebelumnya. Sepanjang 53 tahun ini, hanya enam kali bajet yang diumumkan adalah lebih rendah.
Justeru, untuk “bermegah-mega” atau menyatakan bahawa bajet sekian-sekian adalah yang terbesar dalam sejarah adalah membuang masa dan seolah-olah menyatakan bahawa kanak-kanak yang berumur 17 tahun sekarang adalah lebih tinggi berbanding ketika mereka berumur satu tahun.
Mitos 2: Kerajaan tidak harus berhutang.
Justeru, hutang harus dikurangkan. Ini adalah satu tanggapan bahawa kerajaan adalah seperti syarikat swasta, di mana kerajaan harus beroperasi dengan lebihan dan tidak boleh ada defisit. Maka, hutang harus dikurangkan. Ini tidak benar.
Kerajaan harus berbelanja selagi mana ekonomi sedang perlahan, syarikat swasta tidak mampu untuk berkembang, dan kebanyakan keluarga sedang bergelut untuk berbelanja dan menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
Dan ini adalah keadaan yang akan kita hadapi tahun ini.
Syarikat swasta dijangka tidak akan berkembang pantas. Ini dapat dilihat dari pertumbuhan ekonomi global dan Malaysia pada tahun 2023 yang dijangkakan sedikit perlahan masing-masing pada kadar 1.7% dan 4.5%.
Begitu juga dengan perbelanjaan swasta, di mana perbelanjaan isi rumah akan terbatas kerana pengguna akan lebih berhati-hati akibat dari peningkatan harga barangan.
Menurut Belanjawan 2023, inflasi bagi makanan dijangka kekal tinggi pada kadar 5.8% tahun ini.
Oleh itu, apa yang harus dilihat pada setiap belanjawan yang dibentangkan bukanlah saiz belanjawan atau jumlah keseluruhan hutang kerajaan.
Tetapi, apa yang akan dibelanjakan, siapa yang akan menerima manfaat paling banyak, dan apa yang telah dan akan menyebabkan hutang kerajaan meningkat semakin tinggi.
Walaupun ekonomi dijangka berkembang, peratusan kutipan hasil semakin berkurangan. Peratusan kutipan hasil kepada KDNK dijangka berada pada tahap 15.4%, lebih rendah dari tahun sebelum pandemik iaitu 17.5% pada tahun 2019, dan 22.3% pada tahun 2009.
Begitu juga dengan peratusan hasil kutipan cukai (contoh, cukai pendapatan dan cukai jualan). Peratusan hasil kutipan cukai pada tahun 2023 adalah lebih rendah (11.6%) dari peratusan pada tahun 2019 (11.9%) dan 2009 (14.9%).
Tambahan pula, walaupun ingin mencapai status negara maju pada tahun 2025, peratusan hasil kutipan cukai di Malaysia (11.6%) adalah lebih rendah dari negara-negara kaya dan berpendapatan tinggi (15.3%) dan negara-negara maju seperti OECD (15.5%).
Kadar cukai untuk individu maha kaya tidak ditingkatkan.
Kadar cukai untuk golongan M40 telah dikurangkan dan kadar cukai untuk golongan T20 telah ditingkatkan.
Tetapi, kadar cukai untuk mereka yang maha kaya tidak ditingkatkan, kekal sama, dan tidak berubah pada kadar 28% (bagi mereka yang mempunyai pendapatan lebih dari RM1 juta-RM2 juta) dan 30% (bagi mereka yang mempunyai pendapatan lebih dari RM2 juta).
Mengapa kerajaan meningkatkan kadar cukai untuk mereka yang mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM90,000 ke bawah, tetapi mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi untuk mereka yang lebih kaya?
Terdapat sekitar 2,000 individu yang mempunyai pendapatan yang lebih dari RM1 juta setahun.
Cukai keuntungan modal yang tidak menyeluruh.
Cukai ini hanya akan dikenakan terhadap saham yang dilupuskan bagi syarikat yang tidak tersenarai di pasaran.
Tiada cukai keuntungan modal untuk saham bagi syarikat yang tersenarai. Walhal, terdapat juga mereka yang maha kaya melupuskan saham syarikat yang tersenarai di pasaran.
Sepanjang tahun 2020-2021, seorang individu menerima dividen sehingga sekitar RM1 bilion hanya dalam masa enam bulan.
Perbelanjaan subsidi lebih menguntungkan orang kaya.
Subsidi minyak dikekalkan dengan peruntukan sebanyak RM50.8 bilion.
Ini bermakna mereka yang mempunyai pendapatan tinggi akan menerima sebanyak RM18 bilion berbanding hanya RM12 bilion keluarga yang berpendapatan rendah.
Walau bagaimanapun, bantuan sosial ada diberi kepada mereka yang memerlukan.
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan membantu isi rumah yang berpendapatan kurang RM5,000 (B40).
Keluarga yang mempunyai pendapatan kurang dari RM2,500 sebulan akan menerima bantuan (maksimum) sebanyak sekitar RM200 sebulan.
Sejumlah RM6 bilion akan diperuntukkan untuk inisiatif ini. Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk individu warga emas dan individu bujang.
Mengapa masih diteruskan projek mega yang tidak pasti sama ada mampu memberi keuntungan kepada rakyat malah mungkin akan menambah bayaran hutang negara?
Jaminan pinjaman kerajaan untuk projek-projek mega semakin meningkat. Contohnya projek pembinaan MRT, LRT, dan ECRL.
Jaminan hutang kerajaan untuk projek-projek ini sahaja sudah mencecah RM150 bilion, hampir separuh (49%) dari jumlah RM320 bilion hutang yang dijamin kerajaan.
Akibatnya, bayaran hutang oleh kerajaan juga telah meningkat. Bagi setiap RM100 perbelanjaan mengurus, kerajaan akan berbelanja sebanyak RM16 untuk bayaran hutang sahaja. Ini adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi dari tahun 2009, di mana kerajaan hanya berbelanja sebanyak RM9 bagi setiap RM100 perbelanjaan mengurus.
Peningkatan peruntukan untuk bayaran hutang telah menyebabkan kekangan dari pihak kerajaan untuk berbelanja lebih bagi subsidi dan bantuan sosial.
Akibatnya, pada tempoh yang sama, peruntukan terhadap subsidi dan bantuan sosial juga berkurangan dari RM13 kepada RM10 bagi setiap RM100 perbelanjaan mengurus kerajaan.
Sekarang, kerajaan kononnya mahu mengurangkan hutang. Tetapi, masih bersetuju untuk meneruskan projek pembinaan MRT3 dengan kos kurang dari RM45 bilion.
Apakah jaminan yang projek ini akan peroleh penumpang yang ramai? Apakah MRT1 and MRT2 sudah mencapai sasaran sebenar jumlah penumpang? Semua ini harus dibentangkan dan dibincangkan di Parlimen, bukan dibincangkan dalam kalangan anggota Kabinet sahaja.
Kerajaan tidak serius dalam berbelanja dalam sektor-sektor yang menguntungkan rakyat (sektor sosial).
Perbelanjaan pembangunan lebih banyak diperuntukkan untuk pembangunan ekonomi (pengangkutan, industri) berbanding sosial (kesihatan, pendidikan).
Bagi setiap RM100 perbelanjaan pembangunan, RM57 diperuntukkan untuk pembangunan ekonomi berbanding RM27 untuk pembangunan sosial.
Pembangunan ekonomi lebih tertumpu kepada sektor pengangkutan, yang melibatkan pembinaan LRT dan MRT.
Sektor sosial lebih tertumpu kepada latihan and pendidikan. Secara keseluruhan, perbelanjaan untuk kesihatan hanya meningkat sekitar RM4 bilion, dari RM32 bilion pada tahun 2022 kepada RM36 bilion pada tahun 2023.
Dengan masalah pegawai perubatan kontrak dan fasiliti KKM sekarang, adakah ini mencukupi?
Perbelanjaan ini hanyalah bersamaan dengan sekitar 2% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Negara maju mempunyai perbelanjaan kesihatan awam yang lebih tinggi berbanding Malaysia, walaupun negara Malaysia ingin mencapai negara status negara maju pada tahun 2025, antaranya ialah Jerman (11%), United Kingdom dan Sweden (10%).
Malah, negara yang mempunyai tahap pembangunan yang sama macam Malaysia juga berbelanja lebih tinggi: Mexico and Turkiye 3%, Afrika Selatan 4%, dan Poland 5%.
Apakah kita mahu menjadi negara yang kaya tapi rakyatnya merana dan tidak menerima akses terhadap perkhidmatan kesihatan awam yang cukup dan berkualiti?
Perbelanjaan subsidi haruslah lebih bertanggungjawab.
Jika dilihat dari sudut bantuan sosial, B40 akan menerima sebanyak RM6 bilion untuk STR, dan RM12 bilion dari subsidi petrol, menjadikan jumlah yang golongan B40 terima dari dua program subsidi dan bantual sosial ini ialah sebanyak RM18 bilion.
Golongan T20 juga akan menerima jumlah yang sama sebanyak RM18 bilion dari program subsidi minyak yang tidak bersasar. Ini adalah satu pembaziran kerana ia boleh digunakan untuk tujuan lain seperti penambahbaikan bantuan sedia ada dengan meningkatkan jumlah bantuan dan penerima bantuan.
Bantuan maksimum STR sekarang ialah sekitar RM200. Jika subsidi RM18 bilion untuk golongan T20 ini disalurkan kepada STR, bantuan maksimum STR mampu diberi sehingga RM450 sebulan.
Selain itu, duit subsidi yang dibazirkan kepada golongan T20 ini juga boleh disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk memastikan semua pegawai perubatan kontrak dapat diserap ke jawatan tetap.
Menurut bekas Perdana Menteri Mahiaddin Yassin, kos untuk menyerap doktor kontrak ke jawatan tetap ialah RM2 bilion. Ini hanyalah sekitar 11% dari jumlah “bantuan” subsidi minyak yang diberi kepada golongan T20.
Kesimpulannya, kerajaan bukanlah tiada duit. Tetapi yang paling penting ialah cara berbelanja.
Tidak kira sebesar mana jumlah belanjawan secara keseluruhan atau sebesar mana jumlah hutang kerajaan sekalipun, jika cara berbelanja lebih menguntungkan orang kaya, maha kaya, dan tidak mementingkan sektor yang memberi manfaat kepada rakyat, kita tidak akan dapat merasai manfaat yang maksimum daripada belanjawan yang diumumkan saban tahun.

* Dr Zouhair Rosli ialah Pengarah Unit Sosioekonomi, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM).

** ** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Kolumnis AWANI #Belanjawan 2023 #Sumbangan Tunai Rahmah #PM Anwar Ibrahim
;