[KOLUMNIS] Bayar guna kad bank, transformasi kutipan tol kurangkan kesesakan

Hasimi Muhamad
Mac 12, 2025 08:00 MYT
Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) mulla dilaksanakan pada September 2023. - Foto fail/BERNAMA
APABILA Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan bahawa Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) dilaksanakan pada September 2023 - penulis yakin ia suatu yang cukup menggembirakan ramai pengguna jalan raya.
Ini kerana kalau sebelum itu, pilihannya mungkin tidak banyak. Situasi itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di plaza tol, menjadi isu yang berlarutan selama bertahun-tahun. Contohnya, pada waktu puncak atau musim perayaan.
Keadaan ini bukan sahaja menyusahkan pemandu, tetapi juga menyebabkan pembaziran masa dan bahan api.
Pada masa lalu, plaza tol di Malaysia hanya menerima bayaran secara tunai, yang sering menyebabkan kesesakan di lorong-lorong tol.
Setiap kenderaan yang melalui plaza tol perlu berhenti untuk membayar tol, mengakibatkan laluan menjadi perlahan dan mereka perlu beratur panjang.
Kesesakan ini bukan sahaja mengganggu pemandu yang ingin sampai ke destinasi dengan cepat, tetapi juga memberi kesan kepada alam sekitar kerana pembakaran bahan api yang tidak efisien ketika berhenti dan bergerak dalam keadaan trafik yang perlahan.
Tetapi, seiring dengan perkembangan teknologi dan usaha kerajaan, sistem bayaran tol di Malaysia telah melalui pelbagai transformasi yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol.
18 Syarikat Konsesi Laksana SPT
Setakat Mei tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan enam lagi lebuh raya bersetuju melaksanakan SPT.
Ia menjadi keseluruhan 18 syarikat konsesi yang telah mengguna pakai kaedah tersebut.
Penyertaan enam lebuh raya ini menyaksikan sebanyak 35 lorong dibuka bagi kemudahan atau penggunaan sistem SPT.
Menerusi SPT, pengguna boleh menggunakan kad debit atau kad kredit untuk membayar tol.
Ini secara tidak langsung, memberikan pilihan tambahan kepada kaedah pembayaran sedia ada menggunakan Touch 'n Go (TNG), SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Lebuh raya yang terlibat adalah:
1. Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
2. Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH)
3. Lebuhraya Linkedua
4. Lebuhraya Grand Saga
5. Lebuhraya Grand Sepadu
6. Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE)
7. Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE)
8. Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP)
9. Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
10. Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
11. Terowong Lebuhraya SMART
12. Lebuhraya Kuala Lumpur - Putrajaya (MEX)
13. Lebuhraya Sungai Besi
14. Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
15. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
16. Lebuhraya Koridor Guthrie
17. Jambatan Pulau Pinang
18. Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)
Keberkesanan inisiatif SPT ini perlu diakui dan ia wajar diperluaskan kepada lebih banyak lebuh raya di seluruh negara.
SPT menyediakan satu mekanisme mesra pengguna, yang membolehkan mereka lebih terbuka untuk memilih kaedah pembayaran khususnya ketika Malaysia menggorak langkah sebagai negara tanpa tunai.
Namun, sudah tentu dalam usaha untuk memperluaskan penggunaan inisiatif ini, ia memerlukan kerjasama banyak pihak termasuk syarikat konsesi.
Penambahbaikan dari segi sistem dan infrastruktur di plaza tol juga perlu diambil kira bagi mengelakkan situasi luar jangka seperti gangguan teknikal.
Usaha Realisasikan MLFF
Bergerak ke hadapan, KKR juga dalam usaha untuk merealisasikan satu lagi sejarah iaitu pelaksanaan sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
Alexander sebelum ini turut mengumumkan Kabinet secara dasar dan prinsipnya sudah bersetuju untuk melaksana sistem ini.
Pada Februari lalu, KKR memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementerian itu akan mendapatkan hala tuju baharu daripada Kabinet berkaitan kaedah pelaksanaan sistem MLFF.
MLFF merupakan inisiatif KKR bagi masa depan untuk sistem kutipan tol dan sejajar dengan pelan pelaksanaan sistem pengangkutan pintar negara (ITS).
Melalui sistem kutipan tol MLFF, pengguna tidak perlu lagi berhenti atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol dan seterusnya melancarkan aliran trafik di kawasan plaza tol.
Cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia menggunakan gabungan teknologi RFID dan CANPNR berupaya mengesan kenderaan serta maklumat pengguna bagi tujuan pembayaran tol lebih lancar
Beberapa negara di dunia seperti Singapura, Amerika Syarikat (AS), Australia, Taiwan, Perancis, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kanada, Brazil serta Austria sudah beralih kepada kaedah MLFF.
Manakala di rantau Asia Tenggara, Thailand dan Indonesia juga telah mengorak langkah ke arah sistem ini.
Memetik kenyataan Pengasas My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan, sebagai berkata, MLFF adalah sebahagian daripada sistem pengurusan trafik yang terintegrasi, dan dijangka mengurangkan kesesakan di plaza tol dengan ketara serta menyumbang kepada aliran trafik yang lebih lancar secara keseluruhan.
"Walaupun saya bersetuju bahawa MLFF sahaja bukan penyelesaian mutlak untuk semua masalah kesesakan, adalah penting untuk mengiktiraf sumbangan besar sistem ini dalam mengurangkan kesesakan, terutamanya di plaza tol.
"Dengan menghapuskan kaunter tol fizikal, kenderaan dapat mengekalkan kelajuan yang lebih konsisten, yang dapat mengurangkan kesesakan setempat dengan drastik dan meningkatkan aliran trafik secara keseluruhan," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MDS Consultancy, Rosli Azad Khan, turut menyokong MLFF, dengan menyatakan bahawa ia akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kecekapan bahan api bagi pengguna jalan raya, dan mengurangkan kos operasi bagi pengendali tol.
Penggunaan data, kempen kesedaran, penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur lebuh raya serta kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) - sebahagian inisiatif yang boleh mengurangkan kesesakan di plaza tol.
Sudah tentu ini semua dalam radar kerajaan dan KKR. Sebagai pengguna, penambahbaikan ini adalah suatu yang dialu-alukan oleh mereka demi perkhidmatan yang lebih cekap dan keselesaan.

* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#Alexander Nanta Linggi #Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka #Kesesakan plaza tol #Transformasi kutipan tol
;