[KOLUMNIS] Banjir memerangkap kemiskinan
Prof Madya Mohd Yusof Saari
November 25, 2023 17:31 MYT
November 25, 2023 17:31 MYT
BANJIR sudah menjadi "acara” tahunan yang melanda negara dan kesannya telah menjejaskan kehidupan ribuan orang. Mengikut salah satu kajian, banjir di Terengganu dianggarkan mengurangkan potensi Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) sebanyak 1.5%. Banjir juga memberi kesan kepada kedudukan fiskal kerajaan apabila bantuan langsung kepada isi rumah yang terjejas dan pembaikan aset awam perlu dilaksanakan.
Tahukah kita bahawa banjir menjadi salah satu perangkap kemiskinan di Malaysia? Bagaimanakah banjir mempengaruhi kitaran kemiskinan? Saya ulas secara ringkas dalam artikel ini serta cadangan mudah yang boleh dipertimbangkan. Moga perkongsian ini sedikit memberi manfaat kepada pihak kerajaan dalam usaha menoktahkan kemiskinan di Malaysia.
Banjir, terutamanya di kawasan berpendapatan rendah, boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat. Banjir memusnahkan rumah, infrastruktur, tanaman dan aktiviti pertanian yang memberi kesan kepada kehidupan dan mata pencarian rakyat. Kehilangan harta benda dan aset mata pencarian boleh mendorong individu dan masyarakat ke dalam kemiskinan atau memperdalam tahap kemiskinan sedia ada.
Data menunjukkan bahawa isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di kawasan berpadatan tinggi dan luar bandar lebih terdedah kepada risiko banjir. Jika sebahagian besar daripada golongan ini adalah terdiri daripada mereka yang bergantung kepada pekerjaan tak formal seperti pertanian dan kurang perlindungan sosial, keadaan ini berkemungkinan menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran kemiskinan bencana alam iaitu banjir.
Kitaran kemiskinan ini terhasil apabila wujudnya corak kitaran di mana individu berulang kali terdedah kepada banjir, dan kesannya terkumpul dari semasa ke semasa. Setiap kejadian banjir menghalang sebarang kemajuan yang dicapai, mewujudkan perjuangan berterusan untuk melepaskan diri daripada kemiskinan.
Memecahkan perangkap kemiskinan yang dikaitkan dengan banjir memerlukan kepada peralihan pendekatan. Negara memerlukan pendekatan berbeza dalam menangani bencana banjir bagi mengurangkan risiko ekonomi dan melindungi pekerjaan. Bilangan orang yang terjejas dan kerosakan akibat banjir menunjukkan ketidakmampuan kita dalam menangani kejadian sedemikian dan memberi isyarat jelas bahawa kita mesti mencari kaedah baharu yang lebih mampan untuk mengurangkan beban ekonomi mereka yang terjejas.
Selain intervensi berkait infrastruktur, mewujudkan jaringan keselamatan sosial dan mekanisme insurans boleh memberikan sokongan kewangan kepada mereka yang terjejas akibat banjir adalah menjadi keperluan. Banjir berlaku saban tahun dan memberi implikasi besar kepada ekonomi isi rumah tetapi aspek jaringan keselamatan sosial berkait banjir hampir dipandang sepi.
Kita tahu bahawa terdapat beberapa skim insurans banjir atau insurans bencana yang terdapat di pasaran. Walau bagaimanapun, skim insurans tersebut direka bentuk untuk menampung kos kerosakan bangunan dan isi kandungannya (seperti perabot) yang terkesan akibat banjir. Oleh itu, skim berkenaan hanya menyediakan bantuan separa kepada isi rumah kerana ianya tidak menampung dan membantu kelangsungan hidup mereka dari perspektif pekerjaan. Ringkasnya, insurans banjir yang sedia ada di pasaran tidak dapat menampung kerugian ekonomi dan pendapatan akibat bencana banjir.
Pada pandangan penulis, terdapat keperluan untuk mengadakan program intervensi aktif, mungkin dalam bentuk pemerkasaan insurans pekerjaan, yang mampu mengimbangi pendapatan dan kehilangan pekerjaan akibat banjir. Kelebihan intervensi ini selain dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan, ianya menyediakan mekanisma bantuan yang lebih mampan melalui campur tangan dasar pasaran buruh yang aktif dengan mengambil kira bencana banjir dan dan seterusnya menjadikannya lebih inklusif.
Menoktahkan kemiskinan bukanlah satu usaha yang mudah jika kita benar-benar memahami operasi sistem ekonomi konvensional pada ketika ini dan pengaruh kitaran ekonomi. Kemiskinan wujud hasil daripada tindak balas ekonomi yang tidak cekap yang mewujudkan kegagalan pasaran termasuk alam sekitar.
Kemiskinan tetap wujud hatta bagi sebuah negara yang telah mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi. Realitinya, kemiskinan hanya dapat dikurangkan dan sejauhmana ianya dapat dikurangkan bergantung sejauhmana kita mengenali perangkap-perangkap kemiskinan dan usaha yang dilakukan bagi mengeluarkan isi rumah daripada perangkap tersebut.
* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari merupakan anak Malaysia yang kini memegang jawatan Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.